Monday 23 January 2012

Sebar HIV melalui seks meningkat

PEMINDAHAN virus HIV melalui hubungan seksual di negara ini semakin meningkat dan begitu membimbangkan iaitu sebanyak 48.6 peratus melebihi jumlah kes disebabkan perkongsian jarum oleh penagih dadah.

Mengikut laporan akhbar Harian Metro pada 2 Disember lalu, 20 peratus daripada 96,000 penghidap HIV positif di negara ini terdiri daripada wanita dan kebanyakannya mendapat virus berkenaan daripada pasangan masing-masing.

Statistik yang dilaporkan oleh Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (2010) mendapati kadar insiden HIV kebangsaan pada tahun itu adalah 12.9 kes bagi setiap 100,000 orang.

Jika dilihat statistik pada 2010 yang dilaporkan mengenai pesakit HIV, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan dikesan melalui sistem pengawasan HIV kebangsaan menjadikan pertambahan catatan 91,362 kes sejak wabak itu dikesan pada 1986.


Berdasarkan laporan, kira-kira 1,035 kes berkaitan Aids meningkat manakala 904 kematian dilaporkan menjadikan jumlah pesakit yang hidup dengan HIV di Malaysia sebanyak 77,064 pada Disember 2010.


Ia menunjukkan betapa pentingnya memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko dan kesan jangkitan HIV itu di samping memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Menyedari hakikat pentingnya pengetahuan dan bantuan mengenai pesakit HIV, L’Oreal melancarkan Kempen Amal Potongan Rambut bersama lima duta L’Oreal Artistic.

Antara duta yang hadir termasuk Albert Nico, Andy Chan, Kevin Woo, Miko Au dan Simon Koh serta mendapat kerjasama daripada salun terpilih bagi memberikan perkhidmatan memotong rambut kepada pengunjung yang hadir.

Ia dilancarkan Timbalan Pengurus Besar L’Oreal Malaysia, Heng Thang Yih dan Pengerusi Yayasan Aids Malaysia (Mac), Profesor Dr Adeebah Kamarulzaman bersempena ulang tahun ke-10 kempen L’Oreal Hairdressers Againts Aids.

Melaluinya, terdapat dua sesi yang diadakan setiap hari kepada pengunjung yang ingin mendapatkan khidmat potongan rambut iaitu bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang dan 5.30 petang hingga 8.30 malam.

Menariknya, pengunjung ditawarkan dengan kos minimum sebanyak RM15 daripada salun serta tukang gunting rambut profesional.

Kempen yang diadakan pada 26 hingga 27 November yang lalu itu berlangsung di tingkat satu pusat beli-belah 1 Utama, Damansara.

Sumbangan yang berjaya dikutip akan didermakan ke Yayasan Aids Malaysia untuk kanak-kanak dijangkiti HIV.

Bukan hanya mendapatkan khidmat potongan rambut, malah sepanjang tiga hari kempen berlangsung pengunjung turut berpeluang menemui selebriti terkenal tanah air seperti Jojo Struys, Genevieve Sambhi, Atilia, Chermaine Poo, Chelsia Ng dan Daphne Iking.

Selebriti hadir mendapatkan khidmat potongan rambut bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen yang dilakukan selain menyalurkan sumbangan mereka untuk pesakit HIV.



FAKTA:

  • HIV adalah virus yang menyerang sistem imun badan manusia sehingga ia tidak lagi mampu melawan penyakit. Mereka yang dijangkiti dengan HIV (pembawa HIV) kelihatan normal (tidak sakit) dan biasanya tidak sedar virus ini menjangkiti mereka.

    Virus ini boleh mengambil masa bertahun-tahun dan secara beransur-ansur melemahkan sistem imun seseorang sebelum mereka akhirnya jatuh sakit.


  • Aids adalah peringkat terakhir jangkitan HIV, apabila sistem imun badan benar-benar lemah dan terdapat beberapa gejala atau penyakit tertentu dihidapi seperti:

    1. Berat badan berkurangan lebih daripada 10 peratus.
    2. Cirit-birit berpanjangan.

    3. Mendapat jangkitan paru-paru, pneumonia pneumocystis carinii yang menjadi penyebab utama kematian di kalangan pesakit Aids.

    4. Dijangkiti demam kuning atau cytomegalovirus.
    5. Batuk kering.
    6. Jangkitan kulat seperti kandida dan histoplasma.

    7. Jangkitan toxoplasma otak yang boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami jaundis, pembesaran hati dan limpa serta menyebabkan badannya menggigil atau kejang.

    8. Dijangkiti virus herpes simplex atau kayap sejuk (biasa terjadi di bahagian bibir atau alat kelamin) dan herpes zoster (kayap).

    9. Kanser seperti sarkoma kaposi (tumor) dan limfoma atau penyakit kanser
    kelenjar
  • Oleh Hajahfarhana Tarmudi

    Yoga cambah ketenangan

    SUASANA waktu rehat bagi 30 pengawal penjara Afghanistan mulai berubah kerana kini mereka mengisi tempoh itu dengan melakukan senaman yoga melalui program yang diusahakan untuk mencambahkan ketenangan di negara berkenaan.

    Pergerakan yoga yang dilakukan serentak dalam kumpulan itu diketuai guru dari Perancis, Amandine Roche, yang berusaha menyebarkan idea mengatakan bahawa ketenangan jiwa boleh menghentikan pergaduhan dan mengurangkan parut jiwa akibat peperangan.

    Dia percaya askar Taliban, Afghanistan dan Barat juga perlu berlatih yoga dan meditasi supaya boleh membentuk hubungan sosial yang harmoni dan membantu menghentikan peperangan di negara itu yang berlanjutan selama 30 tahun.

    Roche cuba menyampaikan mesej ini kepada semua pihak walaupun ia kurang mendapat sambutan. Setakat ini, kos untuk semua projeknya yang dilakukan secara kecil-kecilan keluar daripada poketnya sendiri. Walaupun secara umumnya masyarakat masih belum dapat menerima yoga tetapi dia sudah mempunyai pengikut berprofil tinggi.


    “Ketenangan datang dari dalam diri sama seperti perang. Asasnya mudah, kita cuma perlu tingkatkan tahap kesedaran.


    “Saya katakan, ‘saudara-saudara sekalian, mengapa anda tidak mahu berhenti (berperang)? Sudah 30 tahun anda membuang masa, marilah kita sama-sama duduk dan bertenang,” kata Roche yang ditemui di rumahnya di Kabul, ibu kota Afghanistan.

    Walaupun pergerakan yoga dipanggil ‘downward dogs’ dan ‘sun salutation’ masih asing di kalangan komander askar yang mengetuai peperangan di Afghanistan tetapi sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan yang bertanggungjawab memantau penjara mendengar penerangannya mengenai program berkenaan.

    Roche memberitahu Naib Laksamana, Robertt Harward, yang pernah mengetuai Pasukan Petugas 435 Tentera Laut Seal dan menjadi ketua penjara di bawah pemantauan Amerika
    di Afghanistan.

    “Dia berpendapat ini adalah program yang membina,” kata Mejar TG Taylor, jurucakap Pusat Perintah US Central tempat Harward bekerja sekarang.

    “Dia sentiasa bersikap terbuka untuk menganalisis cadangan baru dan menyokong supaya cadangan baru yang unik dipertimbangkan,” tambah Taylor lagi.

    Bagaimanapun, pegawai tentera yang masih berada di Afghanistan tidak menerima cadangan itu.

    “Kami perlu melihat dan mengkaji program ini dengan lebih mendalam. Ia masih dibincangkan,” kata jurucakap Pasukan Petugas 435, Kapten Tentera Laut Amerika, Kevin Aandahl.

    Meskipun cadangan memperkenalkan program yoga ini dipandang dingin tetapi Roche tidak berputus asa. Kini dia mengajar yoga dan meditasi sebanyak dua kali seminggu kepada askar Nato dan secara purata 16 askar yang tidak terbabit dalam pertempuran akan menghadiri kelasnya.

    Dia juga mengadakan satu sesi meditasi dengan bekas komander Taliban, malah pernah cuba memperkenalkan programnya itu kepada menteri kerajaan dengan harapan akan mendapat sokongan kerajaan tetapi sampai sekarang, semua usahanya masih belum membuahkan hasil.

    Mei lalu, projeknya ‘Sola Yoga’ tiba-tiba mendapat perhatian apabila dia menghadiri persidangan keamanan di New Jersey dan bertemu pengamal yoga kelahiran Iran-Amerika, Cameron Alborzian - juga seorang supermodel.

    ‘Yogi Cameron’ yang pernah membintangi video muzik Madonna ‘Express Yourself’ pada 1989 kini memperoleh pendapatan sebanyak RM95,400 seminggu sebagai guru penggubah gaya kepada bintang terkenal di Los Angeles dan sangat berminat untuk membantu Roche.

    Jun lalu, dia berada di Afghanistan selama dua minggu melawat pegawai pemerintah untuk menyatakan sokongannya terhadap projek berkenaan. Malah dia berjaya memasuki penjara Pul-e-charkh dan Bamiyan serta memujuk pengawal di sana mencuba beberapa pergerakan yoga.

    Komander penjara Bamiyan, Ghulam Ali Batur berkata, memang ada kakitangannya yang mencuba yoga (sekejap) tetapi masih tidak yakin ia berkesan walaupun dia mengakui yoga boleh menenangkan orang termasuk orang ganas.

    “Percaya cakap saya, ini tugas yang sangat sukar (untuk memperkenalkan yoga kepada penduduk Afghanistan), apatah lagi ia ada unsur Buddha dan Hindu,” katanya.

    Roche yang pernah bekerja dalam pasukan penenang untuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, Afghanistan mempunyai kaedah meditasi tersendiri ketika zaman pemerintahan Abdul Ghafar Khan, pemimpin pencinta kedamaian yang meninggal dunia pada 1988.

    Namun laluan untuk yoga sampai kepada penduduk Afghanistan masih jauh. Malah isu kesihatan mental juga sangat jarang dibincangkan di negara itu tetapi Roche berpendapat, meditasi dan yoga boleh menjadi alat untuk membantu penduduk Afghanistan mencapai ketenangan daripada trauma yang berlaku di sekeliling mereka.

    “Jika anda ada masalah mental, mereka kata anda dirasuk jin, syaitan. Mereka tidak tahu apa itu kesihatan mental. Saya boleh beri mereka alat untuk mengawal minda mereka yang trauma dan ketakutan.

    “Semua penduduk Afghanistan ada pengalaman pahit untuk diceritakan, anda boleh buat buku mengenai kisah mereka,” katanya.

    Setakat ini, kejayaan besar Roche ialah mengajar yoga kepada kanak-kanak jalanan di Kabul, bekerja dengan badan kebajikan Afghanistan Tomorrow untuk memberi inspirasi membentuk generasi yang lebih tenang.

    Mengetuai sekumpulan gadis muda di dalam bilik yang dinyalakan lilin, Roche mengajak pelajarnya duduk bersilang kaki, memejamkan mata dan melupakan semua masalah mereka. Kemudian, dia menyuruh mereka berdiri tegak seperti pokok di atas satu kaki.

    “Yoga menenangkan saya dan membantu saya untuk belajar lebih baik,” kata Roquia, 11, dengan nada tenang. - AFP

    Kulit kekal lembut tanpa risau bakteria (Shokubutsu)

    SOUTHERN Lion Sdn Bhd (SLion), pengeluar produk kebersihan dan penjagaan diri terkenal, memperkenalkan rangkaian produk terbaru yang terdiri daripada krim mandian, pencuci tangan dan sabun buku, Shokubutsu Active Guard khas bagi mereka yang aktif sepanjang hari.

    Rangkaian baru ini menawarkan perlindungan antibakteria yang lebih
    bijak kepada pengguna untuk mengatasi di samping menjaga kesihatan seisi keluarga.


    Pengarah Urusan SLion, Ho Mun Woh berkata, rangkaian antibakteria berkenaan mempunyai formula unik dan eksklusif dikenali sebagai Smart Sense.

    Rumusannya yang mengandungi 100 peratus bahan pembersih berupaya membasmi 99.9 peratus bakteria dengan berkesan sambil mengekalkan kelembutan semula jadi.

    “Formula ini melalui pelbagai kajian selama bertahun-tahun. Smart Sense dirumus khas untuk mengesan dan membunuh bakteria berbahaya secara bijak supaya boleh memberikan perlindungan kepada kita sekurang-kurangnya selama 12 jam sehari.

    “Bakteria kini membiak dan merebak dengan pantas.

    Apabila ia membiak dan bermutasi, sukar untuk menghapuskannya menggunakan produk antibakteria biasa. Rumusan ini membantu untuk memberikan perlindungan untuk menentang bakteria,” katanya.

    Menurut Ho, SLion turut berasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan chef selebriti tanah air, Chef Wan yang bertindak sebagai duta jenama berkenaan.
    Jenis pekerjaannya yang memerlukan dia menjalani gaya hidup sihat dan aktif di samping memenuhi jadualnya yang sentiasa berurusan dengan makanan, aspek kebersihan, amat diutamakan.

    Chef Wan pula berkata, dia tidak sabar mencuba semua rangkaian produk baru itu selepas dimaklumkan mengenai Active Guard.

    “Jenis pekerjaan saya memerlukan saya sentiasa bergerak, pergi ke merata tempat dan berinteraksi dengan ramai orang.

    “Oleh itu, saya sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis kuman dan bakteria. Justeru, saya perlu memastikan saya sentiasa sihat dan segar. Mujurlah sekarang saya boleh bergantung kepada Active Guard untuk perlindungan menyeluruh,” katanya yakin produk Shokubutsu Active Guard mampu memberikan rasa bersih dan kesegaran selepas setiap penggunaan.

    Shokubutsu Active Guard kini boleh didapati di farmasi terkemuka dan pasar raya utama bersama promosi pengenalan. Dapatkan 30 milimeter (ml) ekstra dengan pembelian pek botol 220 ml, dan 100 ml ekstra dengan pembelian pek botol 600 ml, selagi stok masih ada.

    Layari www.southernlion.com.my untuk penerangan lebih lanjut.

    Peti Ais Penyelamat atau pelindung makanan?

    PETI sejuk dikatakan pemudah kerja setiap keluarga pada zaman ini. Ia banyak memudahkan kerja, menjimatkan masa, tenaga dan wang.

    Peti sejuk memang menjadi kesayangan setiap wanita sama ada yang berkerjaya ataupun suri rumah tangga. Ia juga dikatakan penyelamat daripada melakukan pembaziran.

    Lebihan makanan memang sentiasa memenuhkan peti sejuk. Ketika membuat pembersihan, ada yang mendapati ada makanan yang disimpan sudah tamat tempoh, berkulat mahupun berubah bentuknya. Ini berlaku kerana ketika hendak menyimpan makanan itu kita selalu menyangka, peti sejuk adalah penyelamat dan pelindung makanan terbabit.

    Benarkah peti sejuk penyelamat dan pelindung makanan kita? Berapa lama lebihan makanan boleh disimpan di dalam peti sejuk? Bolehkah kita menikmati sayur dan lauk-pauk semalam pada keesokan harinya?


    Jangan memperjudikan kesihatan diri dan sekeluarga hanya semata-mata kerana kita sangat mempercayai peti sejuk. Tahukah anda, kita sebenarnya tidak boleh menyimpan makanan yang dimasak di dalam peti sejuk lebih daripada empat hari? Tidak kira ia sekadar sayur, nasi, ikan, daging ataupun puding.


    Ini kerana walaupun kita menyimpan lebihan makanan itu di dalam peti sejuk, tidak bermakna makanan itu tidak menjadi rosak. Bakteria membiak perlahan di dalam suhu sejuk tetapi ia masih ada. Ia seperti memandu laju ataupun memandu perlahan ke destinasi yang sama. Perjalanannya tetap ada cuma cepat atau lambat saja sampai ke tempat yang dituju.

    Untuk menyelamatkan makanan selama yang boleh, kita kena memastikan makanan yang hendak disimpan ke dalam peti sejuk dimasukkan dalam masa dua jam selepas ia dimasak.

    Ada makanan yang rosak lebih cepat daripada yang lain. Mayonis contohnya, mudah rosak dalam masa dua bulan walaupun berada di dalam peti sejuk selepas botolnya dibuka. Makanan bayi juga cepat rosak walaupun baru sehari disimpan. Jadi pastikan setiap botol yang sudah digunakan ditandakan tarikhnya supaya ia tidak memudaratkan keluarga.

    Sangat berbahaya apabila kaedah perubahan rupa dan bau tidak dapat digunakan bagi menentukan makanan itu masih elok atau tidak. Banyak makanan seperti mayonis, makanan bayi dan piza masih kelihatan cantik, tidak berbau dan rasanya sedap walaupun sebenarnya ia sudah rosak.

    Sangat elok jika kita mempunyai perasaan risau dengan tahap keselamatan makanan itu kerana sekiranya kita sentiasa menganggap ia masih selamat, dikhuatiri kita mudah mendapat keracunan makanan.

    Untuk memastikan makanan boleh disimpan lebih lama, boleh saja menyimpan ia di bahagian dingin beku. Makanan yang didingin beku boleh tahan beberapa hari lebih lama daripada di tempat sejuk biasa.

    Suhu di dalam peti sejuk pula mesti kekal antara 33 hingga 40 darjah Fahrenheit (0.5 hingga 4.4 darjah Celsius). Bagaimanapun, bukan semua bahagian di dalam peti sejuk mampu mengekalkan suhu sebegitu. Semakin ke dalam, semakin sejuk suhunya berbanding di bahagian luar berdekatan pintu.

    Jadi, pastikan meletakkan makanan seperti telur, susu, keju dan lebihan makanan lain di bahagian yang lebih dalam. Letakkan makanan yang tidak perlu suhu sejuk seperti air di bahagian depan.

    Lebihan makanan hanya boleh disimpan di dalam peti sejuk selama empat hari kerana ia mengurangkan risiko terkena keracunan makanan. Sekiranya anda rasa tidak mungkin menggunakannya semula dalam masa empat hari, dingin bekukan segera.

    Keracunan makanan dapat dielakkan sekiranya kita memasak dan menyimpannya dengan cara yang betul. Paling penting, makanan seperti daging, ayam, ikan, susu dan telur tidak dibiarkan berada di dalam suhu bilik (32 darjah Celsius) lebih daripada sejam.

    Makanan yang tidak melalui proses masakan seperti salad dan sandwic harus dimakan segera ataupun dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi meminimumkan pembiakan bakteria.

    Sebelum memakan lebihan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk, panaskan ia di atas dapur atau ketuhar. Periuk api perlahan atau penghidang makanan yang mempunyai pemanas tidak digalakkan untuk memanaskan lebihan makanan daripada peti sejuk.

    Supaya anda tidak perlu menyimpan lebihan makanan:

  • Rancang jadual pemakanan supaya tidak membazir. Amalkan memasak lauk yang ringkas, bukan pelbagai lauk kerana anda akan rambang mata ketika memakannya.

  • Selalu sangat nasi dimasak berlebih-lebihan! Latih diri dan keluarga supaya mengurangkan pengambilan nasi.

  • Sekiranya mengadakan majlis makan-makan, pastikan anda sediakan bekas dan pembungkus supaya makanan boleh diagihkan kepada tetamu bagi dibawa pulang.

  • Pastikan jumlah sebenar tetamu yang datang. Suruh mereka mengesahkan kehadiran dan beritahu mereka anda perlu berbuat demikian demi penyediaan makanan dan tidak mahu mengamalkan pembaziran yang dilarang agama.

  • Apabila mengajak tetamu datang, pastikan anda tahu apa kegemaran mereka dan sebaliknya. Jangan masak mengikut selera sendiri, sebaliknya utamakan tetamu. Ini supaya makanan dapat dinikmati bersama.

  • Periksa peti sejuk setiap minggu supaya lebihan makanan yang sudah tamat tempoh segera dibuang.
  • Oleh Kusyi Hirdan

    Masalah Glaukoma (Mata)

    GLAUKOMA, katarak dan pereputan makular berkaitan umur (AMD) adalah antara penyakit mata kronik yang menjadi punca utama kehilangan penglihatan serius di kalangan mereka yang berusia lebih 40 tahun. Ia juga adalah satu daripada punca buta di kalangan orang dewasa.

    Mungkin tidak ramai yang mengetahui maksud glaukoma secara jelas. Glaukoma adalah kumpulan penyakit yang merosakkan saraf optik mata dan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau buta.

    Glaukoma bukan hanya satu penyakit, sebaliknya sekumpulan penyakit yang merosakkan saraf optik. Saraf optik selalunya mengandungi jutaan saraf fiber yang menghubungkan mata dan otak. Ia juga sebahagian daripada retina yang memberi penglihatan.

    Glaukoma juga kerap dirujuk sebagai ‘pencuri senyap penglihatan’ kerana ia selalu gagal dikesan pada peringkat awal. Namun, apabila kerosakan terjadi ia sukar dipulihkan.


    Pakar Perunding Oftalmologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Chin Pik Kee, berkata tiada simptom pada peringkat awal serangan glaukoma.


    “Ini menyebabkan kehadirannya tidak disedari. Apabila ia semakin teruk, penglihatan akan kelihatan turun naik dan jika tidak dirawat penglihatan berkurangan dan akhirnya buta.

    “Bagaimanapun, dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan berkala dan rawatan, ia boleh melindungi mata daripada kehilangan penglihatan yang serius,” katanya.

    Beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan tekanan mata adalah satu faktor risiko utama bagi kerosakan pada saraf optik.

    Tambahnya, bagi mata glaukoma, tekanan cecair di dalam bebola mata meningkat kerana saluran cecair tersekat akibat kerosakan saraf. Bagi mata sihat (normal) pula, pengaliran keluar masuk cecair di dalam bola mata adalah seimbang.

    Ramai yang menghidap glaukoma tidak sedar mereka ada masalah ini pada tahap awal. Glaukoma menyebabkan penglihatan bahagian tengah kabur pada tahap lewat saja.

    Glaukoma sudut terbuka paling kerap ditemui dan ini terjadi apabila saliran air keluar dari mata menjadi tersumbat, menyebabkan tekanan mata naik sekadar perlahan dan pesakit akan mengalami kehilangan penglihatan dengan perlahan.

    Glaukoma sudut tertutup (juga dipanggil akut) jarang dikesan. Dalam keadaan ini, saliran air akan tiba-tiba tertutup dan ini boleh menyebabkan buta jika tidak dirawat dengan cepat.

    Biasanya mata yang mengalami serangan akut akan menjadi kemerahan dan sakit. Ini boleh diiringi dengan sakit kepala di bahagian sebelah, kekaburan mata, rasa loya dan muntah.

    Rawatan kecemasan diperlukan dan pesakit mungkin akan ditahan di wad. Ubat akan diberi untuk merendahkan tekanan mata, diikuti dengan laser atau pembedahan. Mata sebelah juga diberikan rawatan kerana ada kemungkinan masalah yang sama boleh terjadi.

    Terdapat dua jenis lagi penyakit glaukoma iaitu sekunder dan kongenital. Sekunder terjadi disebabkan tekanan tinggi dalam mata kerana masalah mata yang lain.

    Glaukoma kongenital pula berlaku apabila kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan di sudut mata yang memperlahankan saliran normal cecair.

    Kanak-kanak ini biasanya mempunyai tanda jelas seperti mata mendung, sensitif kepada cahaya dan mengoyak secara berlebihan.

    Pembedahan konvensional lazimnya adalah rawatan yang disyorkan kerana ubat-ubatan tidak berkesan dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius di kalangan bayi.

    Jika pembedahan dilakukan dengan segera, kanak-kanak ini biasanya mempunyai peluang sangat baik untuk memiliki penglihatan sempurna.

    Satu lagi faktor risiko bagi kerosakan pada saraf optik iaitu berkaitan dengan tekanan darah. Oleh itu, penting untuk memastikan tekanan darah berada pada tahap yang baik.

    Selain itu, menurut Dr Chin, katarak juga menjadi masalah kesihatan mata yang biasa terjadi di negara ini. Ia bermaksud kekaburan pada lensa dalam mata yang menjejaskan penglihatan. Ia memberi kesan kepada penglihatan dan biasa berlaku di kalangan orang yang lebih tua.

    “Berdasarkan laporan yang ditunjukkan Institut Mata Kebangsaan (NIH), apabila menjelang usia 80 tahun, lebih separuh daripada rakyat Amerika mempunyai katarak atau sudah menjalani pembedahan katarak.

    “Katarak biasanya terbentuk secara perlahan-lahan. Cermin mata baru, lampu yang lebih cerah, cermin mata antisilau atau gelap dan kanta pembesar boleh membantu pada mulanya.

    “Selain itu, memakai cermin mata hitam dan topi antara cara mudah yang boleh menghalang sinaran matahari daripada terus terpancar pada mata bagi membantu melambatkan masalah katarak,” katanya.

    Tambahnya, rawatan yang biasa menjadi pilihan adalah pembedahan. Ia membabitkan pembuangan kanta kabur dan menggantikannya dengan tiruan.

    Terdapat beberapa jenis katarak selain faktor umur iaitu sekunder, traumatik, kongenital dan radiasi. Katarak sekunder boleh terbentuk selepas pembedahan disebabkan masalah lain seperti glaukoma.

    Ia juga boleh terjadi di kalangan mereka yang menghidap penyakit lain seperti kencing manis dan kadangkala ia juga dikaitkan dengan penggunaan steroid.

    Bagi katarak traumatik pula, ia boleh terjadi selepas mengalami kecederaan pada mata atau beberapa tahun kemudian manakala kongenital dihidap oleh sesetengah bayi yang dilahirkan dengan katarak dan biasanya berlaku pada kedua-dua mata.

    Ia boleh menjadi begitu kecil tanpa menjejaskan penglihatan tetapi perlu dibuang bagi mengelakkan perkara buruk apabila membesar manakala katarak radiasi pula boleh berlaku jika mata terdedah dengan jenis radiasi berbahaya.

    Satu lagi masalah berkaitan mata adalah pereputan makular berkaitan umur (AMD). Ia berkaitan dengan masalah penglihatan yang diganggu titik hitam, herot atau kesukaran mengenal wajah orang lain.

    Penyakit yang berkaitan dengan usia itu adalah punca utama kehilangan penglihatan rakyat Amerika yang berusia 60 ke atas.

    AMD sejenis penyakit yang merosakkan pusat ketajaman penglihatan, biasanya diperlukan untuk melihat objek dengan jelas dan melaksanakan tugas seperti membaca serta memandu.

    AMD menjejaskan makular iaitu bahagian mata yang membolehkan anda untuk melihat butir secara terperinci. Ia tidak menyakitkan tetapi menyebabkan sel-sel di makular mati.

    Terdapat dua jenis AMD iaitu kering dan basah. AMD kering adalah masalah yang biasa ditemui dalam kes AMD (90 peratus).

    Ia terjadi dengan perlahan-lahan dan tidak menyebabkan kehilangan penglihatan serius. Dalam kes AMD kering, sel dan salur darah di bawah makular pecah dan menyebabkan mendapan di belakang mata disebut `drusen’.

    Kerosakan ini menjejaskan makular dan keupayaan menghantar isyarat ke otak. Penglihatan tengah secara perlahan-lahan menjadi suram dan kelabu dalam satu jangka tempoh tertentu.

    AMD basah kurang berlaku. Ia menyebabkan kerosakan kekal makular dalam tempoh sebulan atau seminggu. AMD basah biasanya berlaku selepas AMD kering. Salur darah yang rapuh dan abnormal tumbuh di belakang mata.

    Salur darah ini bocor menyebabkan makular pecah. Ia juga menyebabkan makular berubah daripada kedudukan asalnya menyebabkan penglihatan tengah menjadi herot.

    Dalam kes tertentu, AMD dapat dirasai secara perlahan-lahan pada mulanya dengan perubahan penglihatan mereka.

    Pemeriksaan mata secara komprehensif yang kerap dapat mengesan AMD sebelum ia boleh menyebabkan anda kehilangan penglihatan. Namun, rawatan hanya boleh memperlahankan kehilangan penglihatan dan tidak memulihkan.

    Menurut Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal Pusat Pakar UM Sdn Bhd (UMSC), Profesor Madya Dr Fong Choong Sian, masyarakat harus menyedari kepentingan menjaga kesihatan mata agar mereka tidak kehilangannya.

    “Kesedaran awam mengenai masalah ini adalah penting. Mereka yang kehilangan penglihatan mata secara tiba-tiba harus menjalankan pemeriksaan segera.

    “Kebiasaannya, golongan yang berumur 50 tahun mempunyai risiko tetapi yang paling berisiko adalah mereka yang mempunyai sejarah keluarga mendapat masalah AMD dan perokok.

    “Biasanya, rawatan yang dijalankan adalah untuk AMD basah dengan memberikan suntikan ubat khas yang dipanggil antibodi antiVEGF ke dalam mata.

    “Setiap suntikan menelan kos antara RM700 hingga RM4,000 manakala sesetengah pesakit mungkin memerlukan rawatan laser iaitu terapi photodinamik atau pembedahan.

    “Disebabkan kos rawatan yang tinggi, masyarakat seharusnya mencegah masalah AMD dengan diet sayur-sayuran hijau, antioksidan dan gaya hidup sihat dengan bersenam, mengawal tekanan darah serta kolesterol yang baik,” katanya yang menasihati masyarakat agar menjaga deria penting untuk meneruskan kehidupan lebih sempurna hingga ke hujung usia pada satu forum sempena kempen kesihatan mata anjuran Focus Point, baru-baru ini.

    Melalui kempen berkenaan, turut diadakan pemeriksaan mata percuma kepada pengunjung dan forum perbincangan mengenai masalah mata. Turut hadir pada kempen terbabit, Datuk Seri Ong Tee Kiat.


    Fakta:

    Glaukoma dikesan melalui pemeriksaan mata komprehensif yang dijalankan seperti:

  • Ujian ketajaman visual. Ia menjalankan ujian melalui carta untuk melihat pada pelbagai jarak.

  • Medan ujian visual. Ujian ini mengukur periferi anda (penglihatan sampingan).
    Ia membantu pakar jika terdapat kehilangan penglihatan periferi yang menjadi tanda glaukoma.

  • Peperiksaan ruang mata. Dalam peperiksaan ini, titisan diletakkan di mata untuk memperluaskan atau membesarkan mata. Pakar menggunakan kanta pembesar khas bagi memeriksa retina dan saraf optik untuk melihat tanda kerosakan serta masalah lain.

  • Tonometri adalah ukuran tekanan dalam mata menggunakan alat yang dipanggil tonometer. Titisan mata digunakan untuk ujian ini bagi mengesan glaukoma.

    - Pachymetry adalah ukuran ketebalan kornea anda.

    Pakar mata menggunakan alat seperti gelombang ultrasonik untuk mengukur ketebalan kornea.


    Tanda lazim katarak:

  • Penglihatan kabur
  • Warna yang kelihatan pudar
  • Silau
  • Tidak dapat melihat pada waktu malam
  • Penglihatan bertindih pada satu objek.
  • Perubahan preskripsi yang kerap pada cermin mata dipakai.
  • Oleh Hajahfarhana Tarmudi

    Ibu Bapa Usah elak berbincang topik tabu (akil baligh) dengan anak

    CEPAT betul masa berlalu, pejam celik sudah masuk tahun baru. Ini bermakna bertambah setahun lagi umur kita dan tanpa disedari, anak kita juga mula menjengah usia remaja.

    Pun begitu kebanyakan ibu masih berasa kurang selesa untuk bercakap mengenai akil baligh dengan anak terutama anak perempuan walaupun tahu ia sangat penting. Biasanya perkara ini hanya dibincangkan apabila anak datang haid

    Soal jawab bersama Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Nik Hazlina Nik Hussin, diharap dapat membantu meningkatkan pengetahuan anda mengenai perkara ini supaya anda boleh berkongsi ilmu dengan anak gadis atau sekurang-kurangnya menjawab persoalan yang berkaitan dengan akil baligh.

    Bilakah masa terbaik untuk bercakap dengan anak mengenai akil baligh?

    Lebih cepat ia dibincangkan, lebih baik. Akil baligh yang juga dirujuk sebagai perubahan seksual sekunder yang membabitkan pembesaran payudara, pertumbuhan bulu di ketiak dan di kawasan genitalia (kemaluan), peningkatan ketinggian dan juga kedatangan haid (menstruasi) tidak berlaku secara serentak pada semua gadis.

    Ia biasanya berlaku seawal umur lapan tahun, tetapi ada juga gadis yang lewat baligh iaitu pada usia 14 tahun. Walaupun tidak nampak perubahan luaran yang ketara, sebenarnya seseorang gadis sedang menjalani perubahan fisiologi, endokrin serta anatomi dalaman lain. Inilah sebabnya ibu disarankan untuk belajar dan memahami bagaimana serta mengapa perubahan ini berlaku. Malah berdasarkan perubahan ini juga kedatangan haid boleh dijangka.

    Mungkin perubahan pertama bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar. Kawasan yang gelap di sekeliling puting mula membengkak, bentuk payudara akan lebih bulat serta menjadi padat dan berat. Mungkin juga seseorang gadis berasa tidak selesa pada kedua-dua ataupun sebelah payudara.

    Namun, tidak perlu runsing kerana ini adalah normal untuk peringkat awal perkembangan. Kematangan hormon juga akan menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis di mana ovarinya kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan (ovulasi). Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

    Secara kesimpulannya, perbincangan tidak formal berkenaan perkembangan seseorang anak gadis itu sepatutnya bermula pada peringkat yang lebih awal lagi, mungkin seawal umur tujuh atau lapan tahun. Maksudnya, perbincangan ini dimasukkan dalam perbualan harian bersama anak gadis dari semasa ke semasa dan bukanlah selepas mereka mengalami haid yang pertama.


    Bagaimana hendak memulakan perbualan mengenai topik ini?

    Topik akil baligh ini perlu dimasukkan dalam perbualan harian secara tidak formal. Anda boleh berbual mengenainya ketika sedang melakukan aktiviti bersama anak gadis.

    Mungkin seseorang ibu dan anak gadisnya akan merasa agak kekok jika perbualan berkenaan dilakukan secara formal. Perbualan mengenai topik ini mungkin boleh dimulakan dengan menggunakan pemerhatian daripada orang di sekeliling, contohnya saudara sepupu perempuan, anak perempuan yang lebih tua atau rakan sebaya mereka.

    Seseorang ibu tidak sepatutnya mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah yang paling berhak untuk memberikan pemahaman jelas kepada anak gadis anda. Ini kerana ia membabitkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi, malah keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi ibu perlu berada di sisi anak dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri.

    Pada masa sama, anda akan melihat perubahan emosi anak. Ada sesetengah ibu bapa tidak faham mengapa anak mereka mula berubah ‘perangai’. Jangan bimbang, ia adalah disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula seawal umur 10 hingga 12 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.

    Usah mengelak daripada berkomunikasi dengan anak remaja mengenai topik tabu yang anda anggap tidak wajar dibincangkan. Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik intim seperti seks, pergaulan dan kontrasepsi (pencegahan kehamilan).

    Komunikasi terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga. Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.

    Memberikan ruang kepada anak gadis kita berbicara dengan ibu mengenai seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks. Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada anak kesayangan anda membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka. Tiada apa yang hendak dimalukan. Ibu dan anak adalah perempuan, jadi perbincangan seharusnya lebih mudah.


    Adakah topik ini boleh dibincangkan secara berkumpulan (bersama anak perempuan yang lain) atau bersendirian?

    Ada sesetengah ibu berpendapat ia lebih baik dibincangkan secara bersendirian untuk mengelakkan rasa malu.

    Boleh berbincang secara berkumpulan atau bersendirian, tertakluk kepada perangai dan sikap seseorang anak gadis anda. Ada anak gadis yang suka menyendiri dan mudah malu dan ada yang boleh menerimanya secara terbuka. Bagi anak gadis yang pemalu, eloklah berbincang dan memberi penerangan secara bersendirian.

    Bagi anak gadis yang berperangai sebaliknya pula mungkin tidak kisah kalau perkara sebegitu diperbincangkan secara berkumpulan. Pada pendapat saya, perbincangan secara berkumpulan mungkin lebih praktikal kalau ia dijalankan di sekolah bersama guru dan bukannya di rumah bersama ibu. Perbincangan bersama seseorang ibu sepatutnya tidak formal.


    Apakah perkara yang perlu dimasukkan dalam perbualan mengenai akil baligh ini?

    Peringkat akil baligh boleh mengakibatkan seseorang remaja menjadi tidak keruan. Ada pelbagai perubahan yang menghantui pemikiran mereka seperti kemahuan seks, perhubungan intim dan perubahan fizikal.

    Sebagai ibu, amatlah penting untuk kita juga ketahui masalah berkenaan supaya kita dapat membantu merungkaikan kemusykilan anak. Apa yang hendak dibincangkan itu sering kali berhadapan dengan kesukaran bagaimana dan di mana untuk memulakannya. Ibu atau bapa akan berhadapan dengan dilema untuk mengungkapkan kata-kata yang sesuai supaya anak-anak remaja mereka tahu mengenai isu seks dan hubungan intim.

    Sukar untuk mengetahui dengan tepat bila seorang anak gadis akan mengalami haid pertamanya. Kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 10 hingga 12 tahun. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

    Berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit. Bagaimanapun, anak gadis ini mungkin perlu mendapatkan rujukan doktor jika kedatangan haid masih tidak teratur, bercelaru dan juga selalu menyakitkan selepas dua tahun.

    Seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid di dalam diari ataupun kalendar dan catatkan sebarang masalah ataupun kesakitan semasa haid. Dengan cara begini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya akan datang dan juga julat di antara dua peristiwa haid berdekatan.

    Lazimnya julat darah haid adalah di antara 25 hari hingga 35 hari. Namun usah risau jika julat haid berbeza-beza dan hari pertama haid juga mungkin cepat atau lewat berbanding bulan sebelumnya kerana ia adalah perkara biasa.

    Untuk mereka yang sudah berkahwin pula, biasanya kelewatan haid dikaitkan dengan kemungkinan mengandung, bergantung kepada tempoh lewat datang haid. Lebih baik sekiranya perancangan awal disediakan sebelum datangnya haid seperti menyimpan tuala wanita di dalam beg sekolah.

    Perlu diingat tuala wanita ini perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang terkumpul mungkin menjadi tempat pembiakan yang baik untuk bakteria. Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak. Penggunaan tuala wanita yang diletakkan bau haruman juga tidak digalakkan kerana mungkin menyebabkan berlakunya keradangan pada kulit sekitar kemaluan.

    Ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran haid (dismenorea). Mungkin juga kesakitan itu merebak ke bahagian belakang (seperti mereka yang sakit bersalin).

    Ada juga keluhan seperti sakit kepala, pening, kekerapan buang air besar, loya dan muntah. Jangan runsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal kehadiran haid. Untuk menghilang masalah serta keluhan ini, anak gadis ini boleh mengambil pil penahan sakit seperti NSAIDs, contohnya ibubrofen ataupun naproxen sodium, bersenam dan meletakkan pemanas seperti bertungku di bahagian bawah abdomen.

    Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya dia belum datang haid pada usia 15 tahun, kehadiran haid yang tidak teratur, julat di antara sebelum dan selepas haid kurang daripada 21 hari ataupun melebihi 45 hari, julat haid berlaku selama 90 hari (tiga bulan) walaupun hanya untuk satu kitaran (bukan disebabkan mengandung), kehadiran darah haid melebihi tujuh hari dan sekiranya jumlah pendarahan terlampau banyak sehinggakan tuala wanita perlu ditukar setiap satu hingga dua jam.

    Banyak perubahan daripada segi emosi dan juga fizikal akan berlaku pada anak gadis anda. Nasihatkan mereka supaya menjaga pemakanan supaya berat badan ideal dapat dikekalkan. Bersenam serta beriadah mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan serta kesakitan ketika datang haid. Amalkan senaman untuk mengukuhkan jisim tulang, menguatkan otot dan juga mengurangkan kekejangan semasa datang haid.

    Akil baligh juga menyebabkan kelenjar di bawah kulit mengeluarkan sebum dan dengan kehadiran sebum yang banyak boleh menyekat lubang-lubang halus menyebabkan berlakunya jerawat. Membasuh muka dengan air ataupun bahan pencuci muka dengan kerap dapat mengurangkan kehadiran sebum di muka dan seterusnya dapat mengurangkan kehadiran jerawat di muka. Jangan biarkan jerawat berlarutan di muka kerana penyembuhan jerawat mungkin meninggalkan parut yang berkekalan.


    Apakah perubahan fizikal dan emosi yang berlaku semasa atau selepas baligh?

    Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa adalah sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.

    Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya. Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak mengorak langkah pertama menjadi seorang wanita.

    Anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi.

    Bermulanya menjadi seorang gadis, langkah pertama yang perlu difahami ialah perubahan hormon apabila mereka mendapat haid pertama di sebalik perkembangan fizikal yang semakin menonjol.

    Penekanan terhadap pendidikan berterusan serta persoalan mengenai isu seks dan perubahan fizikal hidup seorang gadis itu sepatutnya tidak terhenti setakat itu saja. Anak perempuan anda akan menjadi gadis remaja yang mana biologinya tidak lagi seperti kanak-kanak.

    Apabila dimatangkan dengan pelbagai maklumat, mereka boleh memahami dan dapat menimbang tara sebarang implikasi dalam tindakan serta bijak memilih dalam bertindak melindungi diri sendiri daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

    Usah jadikan budaya masyarakat Asia yang konservatif dalam membicarakan isu ini sebagai penghalang menyampaikan maklumat kepada anak gadis anda. Lebih baik anda yang memecahkan budaya daripada dia mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan atau sumber lain.

    Sebagai remaja, keinginan untuk mencuba sesuatu yang dianggap ‘baru’ sangat tinggi, terutamanya melakukan hubungan seks - tanpa berfikir apa yang akan terjadi selepas itu. Inilah sebabnya pengetahuan adalah cara yang terbaik bagi ‘menjaga’ anak-anak perempuan dari sebarang insiden yang tidak diingini.


    Bilakah masanya untuk memperkenalkan baju dalam (coli) kepada anak gadis?

    Bagi seseorang ibu yang sentiasa prihatin, rasanya perkara ini tidak menjadi masalah yang besar. Kebanyakan anak gadis akan mula mengalami pembesaran payudara dalam lingkungan umur lapan hingga 10 tahun. Pembesaran itu menjadi lebih ketara pada usia 10 hingga 12 tahun. Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkannya kepada anak.


    Jika anak malu untuk menyatakan perubahan pada dirinya, apakah soalan yang boleh ditanya oleh ibu supaya perubahan ini difahami dengan lebih jelas?

    Kebanyakan anak gadis yang di usia awal baligh agak malu untuk bertanya berkenaan penggunaan coli. Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab ibu memberi perhatian dan memahami setiap perubahan yang dialami oleh anak-anak gadis mereka.

    Jika perubahan sudah ada, maka anda hendaklah membelikan coli atau membawa anak gadis anda ke pusat membeli belah. Jangan sesekali menyuruh bapanya membelikan atau menyuruh bapanya membawakan mereka ke pusat membeli belah. Mereka amat sensitif dan malu untuk berkongsi perubahan ini dengan lelaki walaupun lelaki berkenaan adalah bapa sendiri.


    Adakah benar kejahilan membuatkan ramai gadis terlalu berani untuk mengadakan hubungan seks tanpa tahu kesannya sehingga melahirkan anak luar nikah?

    Menjadi seorang ibu atau bapa adalah satu cabaran hidup yang terbesar. Tetapi ibu bapa kepada remaja belasan tahun mungkin mempunyai tugas yang paling sukar di antara ibu bapa lain. Zaman remaja adalah satu perjalanan daripada zaman kanak-kanak menuju dewasa, daripada bergantung hampir sepenuhnya pada pandangan orang lain kepada bagaimana membuat keputusan yang bertanggungjawab secara berdikari.

    Ia boleh jadi satu peralihan yang sukar bagi remaja itu sendiri dan juga ibu bapa mereka, terutamanya dalam masyarakat di mana orang muda setiap hari berhadapan dengan risiko serius yang berkaitan dengan seks, keganasan, penyalahgunaan dadah, alkohol, merokok dan gagal dalam pelajaran - risiko yang biasanya adalah berkaitan antara satu sama lain. Oleh kerana pelbagai risiko yang dihadapi oleh remaja berkait rapat antara satu sama lain, begitu jugalah jalan penyelesaiannya.

    Ramai ibu bapa percaya pengaruh mereka terhadap anak sudah lupus sebaik saja mereka mencecah zaman remaja. Rakan dan media nampaknya lebih berkuasa. Tetapi kajian dan pengalaman menunjukkan dengan jelas: ibu bapa adalah penting dalam kehidupan remaja. Remaja belasan tahun memerlukan sokongan, panduan, dan perhatian daripada ibu bapa mereka seperti kanak-kanak juga. Remaja sendiri mengatakan bahawa mereka mahu mendengar apakah cabaran yang dihadapi orang dewasa, walaupun mereka tidak selalunya berlagak seperti demikian.

    Ibu bapa memainkan peranan dalam mengembangkan bakat dan kemahiran anak-anak serta memandu mereka ke arah pembesaran yang sihat. Ibu bapa juga boleh membentuk komuniti di mana anak-anak mereka membesar. Nasihat terbaik bagi ibu bapa adalah sama: teruslah mempunyai hubungan yang rapat dengan anak remaja anda. Idea di bawah boleh membantu ibu bapa membuat perubahan dalam kehidupan anak remaja mereka.


    Luangkan masa untuk bersama anak

    Lebih baik jika anda boleh terbabit sama dalam aktiviti mereka. Anda boleh berkongsi pengalaman kerana ia dapat membina hubungan yang rapat dan mesra. Makan bersama sekerap mungkin. Waktu makan adalah peluang terbaik untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Gunakan masa yang ada untuk berbual, bukannya berbalah. Membaca, menonton televisyen atau wayang, bersukan, melayari internet bersama-sama dan ajak anak untuk terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan.


    Bantu anak mendapatkan keyakinan diri

    Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh, bukannya diberi. Berikan anak-anak anda peluang untuk belajar kemahiran tertentu. Pujilah mereka atas tugas yang diselesaikan dengan baik, galakkan perkara positif dan tekankan perkara yang dilakukan dengan baik oleh anak anda.

    Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara untuk memperbaiki diri; jangan mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik, bukannya ketakutan atau keaiban.

    Bantulah anak anda mengenal pasti kelebihan, bakat dan minat mereka. Galakkan mereka terbabit dalam kerja sukarela, menjadi ahli kumpulan belia, kesenian atau sukan. Ini akan membuatkan mereka merasa satu pencapaian, menghubungkan mereka dengan kawan yang positif dan pemimpin dalam kalangan orang dewasa dan juga memenuhkan jadual harian mereka.


    Bantu anak memahami bagaimana pilihan hari ini boleh mempengaruhi keseluruhan kehidupan mereka.

    Perkenalkan anak dengan orang yang berjaya dalam komuniti dan terangkan apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan. Remaja yang mempunyai matlamat jangka panjang dalam pelajaran atau pekerjaan kurang berkemungkinan untuk merosakkan masa depan dengan membabitkan diri dalam perkara tidak sihat.


    Beritahu anak bahawa anda sangat menghargai pendidikan

    Babitkan diri dalam pendidikan anak-anak anda dan biarkan mereka tahu bahawa ia sangat penting bagi anda. Terangkan kepada anak bagaimana pelajaran akan membantu mereka pada masa hadapan. Kegagalan dalam pelajaran biasanya adalah tanda-tanda masalah lain. Jika anda mendapati pelajarannya merosot, berbincanglah dengan mereka dan dengan guru-gurunya dengan segera.


    Dekati sekolah anak

    Ibu bapa sering berhubungan dengan sekolah anak-anak semasa mereka di sekolah rendah, tetapi mula menjauh apabila mereka semakin membesar. Sebaiknya langkah ini diteruskan hingga ke sekolah menengah dengan menyertai Persatuan Ibu Bapa, menawarkan khidmat menjadi tutor, mentor atau penceramah, menghadiri majlis di sekolah anak. Jika anda tidak hadir, anak anda adalah orang yang pertama menyedarinya.


    Tahu di mana anak berada dan apa yang mereka lakukan

    Buat peraturan yang jelas bagi anak-anak anda mengenai apa yang boleh mereka lakukan dan dengan siapa mereka boleh meluangkan masa dan terangkan kepada mereka mengapa peraturan ini penting. Tetapkan masa untuk balik ke rumah dan jangan benarkan mereka menghadiri parti tanpa ditemani orang dewasa.

    Berusaha lebih sedikit untuk mengetahui di mana anak berada pada hari minggu dan selepas waktu sekolah, memandangkan ini adalah waktu ‘zon bahaya’ kerana ia adalah peluang untuk anak terbabit dalam kegiatan berisiko tinggi.


    Kenali rakan anak dan keluarga mereka

    Rakan mempunyai pengaruh kuat terhadap satu sama lain. Jemput mereka datang ke rumah dan berbual-bual dengan mereka secara terbuka.


    Terangkan dengan jelas nilai dan kelakuan yang anda harapkan

    Berkomunikasi dengan anak-anak mengenai isu-isu yang sukar adalah lebih mudah jika anda sebagai ibu bapa jelas mengenai perasaan sendiri.

    Kebanyakan ibu bapa bimbang dilihat sebagai seorang yang hipokrit, terutamanya jika mereka sendiri terbabit dalam perkara kurang sihat semasa remaja. Kebanyakan remaja mempunyai ‘radar hipokrit’ yang baik. Mereka biasanya cukup sofistikated untuk menyedari bahawa dalam dunia moden yang penuh dengan bahaya seperti Aids, senjata automatik dan bahaya-bahaya lain, standard yang baru adalah perlu.


    Jadilah contoh yang baik

    Jadilah contoh harian yang terbaik berkaitan dengan nilai-nilai dan standard yang anda harapkan. Tunjukkan kasih sayang, kejujuran, disiplin dan keterbukaan yang anda harapkan daripada anak-anak anda. Jangan jadi ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus.


    Beri perhatian kepada anak sebelum mereka mendapat masalah

    Program sokongan bagi remaja yang bermasalah adalah baik, tetapi semua kanak-kanak dan remaja dapat memperoleh kebaikan daripada galakan, perhatian dan sokongan. Jangan memfokuskan perhatian kepada mereka hanya apabila ada masalah. Biarkan anak-anak anda tahu bahawa anda berbangga dengan mereka, walaupun kadang kala ia kelihatan seperti bukannya satu perkara yang besar.


    Perhatikan tanda yang menunjukkan anak perlukan bantuan

    Perhatikan tanda-tanda penyalahgunaan dadah dan alkohol, kegagalan dalam pelajaran, kemurungan dan keganasan. Berikut adalah beberapa klu yang boleh anda perhatikan: banyak masa diluangkan bersendirian dan mengasingkan diri dari keluarga dan rakan-rakan, perubahan yang mendadak dalam prestasi di sekolah, perubahan kelakuan dan pertukaran emosi yang drastik, tidak berminat mempunyai hobi atau beraktiviti sosial atau rekreasi, dan perubahan pilihan rakan-rakan atau mengasingkan diri daripada kawan-kawan lama. Jangan takut untuk masuk campur dan mendapatkan bantuan dari luar. Kebanyakan komuniti mempunyai sumber-sumber bagi membantu ibu bapa membantu anak-anak mereka.


    Tahu apa yang ditonton, dibaca dan didengar oleh anak

    Adalah tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk menapis bahan yang sampai kepada anak-anak anda. Remaja pun memerlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan. Tonton televisyen atau dengar muzik bersama anak-anak anda dan bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media.


    Babitkan diri dalam komuniti

    Ibu bapa boleh membuat perubahan dalam kehidupan anak, tetapi ibu bapa tidak boleh menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

    Lebih banyak sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap perkembangan positif remaja, lebih mudah bagi anda menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu bapa. Galakkan pihak sekolah dan organisasi-organisasi lain untuk mengendalikan dan menjalankan kampus yang bebas rokok dan dadah.

    Ambil bahagian dalam organisasi-organisasi komuniti yang mempromosikan polisi untuk membantu kanak-kanak dan remaja, seperti menghalang penjualan rokok kepada kanak-kanak atau mengurangkan keganasan dalam masyarakat. Pergilah kedai-kedai yang mempromosikan pilihan-pilihan yang sihat bagi remaja. Bantulah remaja lain dalam masyarakat anda dengan menjadi mentor mereka atau mengambil remaja bekerja di tempat kerja anda.

    Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

    5 tip mudah untuk menguruskan badan dengan teratur

    Menyatakan azam mahu menguruskan badan memang mudah tetapi bagaimana mahu melaksanakannya? Adakah azam ini akan dilakukan secara bersungguh-sungguh atau ia hanya bakal menjadi angan dan omong kosong saja?

    Justeru, bagi membantu anda, saya akan memberikan lima tip mudah untuk memastikan anda dapat menguruskan badan dengan lebih teratur.

    Antara perkara penting yang harus disematkan di dalam diri adalah jangan sesekali mudah putus asa tetapi sebaliknya terus berusaha untuk mencapai matlamat itu.

    Anda juga perlu faham setiap individu berjaya menguruskan badan dengan tahap kepantasan yang berbeza. Berikut adalah lima tip untuk memastikan anda sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak akan ‘tergelincir’.


    Catatkan matlamat anda

    Jika anda benar-benar ingin berjaya dalam misi menurunkan berat badan, ia harus dirancang dan dijadualkan dengan baik sebelum pelaksanaannya. Ambil pen dan kertas untuk menyenaraikan semua butiran perkara yang boleh dan dilarang dibuat. Pastikan anda menyimpan kertas itu di tempat yang senang dilihat dan akan bertindak sebagai ‘alat penggera’ (peringatan).

    Tempat terbaik untuk menyimpannya ialah di pintu peti sejuk anda. Selain itu, anda juga perlu mengkaji semula matlamat anda pada setiap hari bagi memastikan ia masih berada di landasan yang betul.


    Tetap dan kekalkan tarikh sasaran

    Menetapkan atau menandakan tarikh sasaran pada kalendar akan membantu anda melawan kecanggungan selain dapat menghalang kegagalan azam yang ingin dicapai.
    Jangan biar dan benarkan rancangan anda gagal. Rencanakan sasaran dan tarikh tertentu untuk setiap perkara berhubung agenda matlamat tetapi biarlah ia realistik.


    Mengawal selera makan palsu

    Mulai sekarang, buang semua makanan yang kurang berkhasiat seperti kek, pastri, makanan segera, minuman berkarbonat dan snek makanan ringan. Aktiviti membuang dan menjauhkan diri daripada semua makanan itu memang diakui amat sukar pada awalnya tetapi faedah yang akan diperoleh kelak boleh membantu anda mencapai matlamat tahun baru.

    Apa yang harus anda lakukan selepas itu adalah menambah item makanan yang lebih berkhasiat ke dalam senarai pembelian barangan. Antaranya termasuk diet protein seperti putih telur, ikan dan ayam, buah-buahan seperti epal, kurma, pear, strawberi dan oren, sayuran-sayuran hijau seperti cendawan, kacang merah dan brokoli serta makanan berkalori rendah, keju rendah kalori, agar-agar tanpa gula dan air mineral.


    Menjadi lebih cekap dan mahir

    Jangan ambil mudah setiap perkara atau rutin kecil yang termasuk dalam senarai matlamat anda. Pastikan diri anda boleh melaksanakan rancangan itu supaya hasilnya berbaloi. Lakukan sesuatu aktiviti pada setiap minggu seperti anda boleh menetapkan minum lapan hingga 10 gelas air kosong pada minggu pertama.

    Minggu kedua pula, anda boleh tetapkan tidak akan menggunakan lif sebaliknya berjalan saja. Seterusnya, lakukan senaman selama 20 hingga 30 minit setiap hari dan elakkan menjamah makanan yang berlemak. Pada minggu kelima pula, anda perlu ambil makanan yang kaya dengan protein serta nutrien.


    Simpan buku rekod

    Setiap perkara yang direkod atau dicatatkan selalu memberi hasil yang lebih baik dan anda tidak perlu mencabar daya ingatan sendiri. Oleh itu, simpanlah segala butir aktiviti atau langkah yang sudah dicatatkan dengan sebaik mungkin.

    Gunakan bantuan visual untuk memastikan dan menyemak rejim misi menurunkan berat badan anda. Ini akan terus menggalakkan anda dalam memberikan yang terbaik seterusnya mencapai azam tahun baru dengan jayanya.-metro

    Ramai Wanita Pilih Kasut Tumit Tinggi (‘kasut pembunuh’)

    MUNGKIN anda perasan, tumit kasut wanita sekarang semakin tinggi. Memang nampak cantik apabila digayakan tetapi sedarkah anda banyak kasut tumit tinggi terutama yang halus dan runcing boleh memberi kesan buruk bukan saja pada kaki tetapi keseluruhan badan?

    Tidak hairan jika ada pakar penjagaan kaki atau podiatris menggelar kasut tumit tinggi ini sebagai ‘kasut pembunuh’ kerana ia boleh menyebabkan banyak masalah daripada buku lali tergeliat sehinggalah kesakitan kronik.


    Kasut tumit tinggi

    Masalah: Sama ada tumit tinggi atau separa tinggi, ia boleh menyebabkan kesakitan pada belakang tumit. Material kasut yang keras akan menekan bahagian tulang kaki sehingga boleh membuatkan kaki melecet, bengkak, sakit atau tendon Achilles (iaitu keadaan di mana tendon pada otot di bawah betis, di pergelangan kaki akan alami kecederaan). Bentuk kaki juga akan berubah sedikit di mana tulang pada kaki akan tertonjol keluar.

    Kasut yang tumitnya terlalu tinggi akan memaksa semua tekanan (beban badan) tertumpu pada bola kaki. Bola kaki ini ialah bahagian kaki paling lebar di bawah ibu jari. Walaupun saiznya kecil, tetapi di sinilah pertemuan beberapa
    tulang dan tekanan yang keterlaluan boleh menyebabkan tulang dan saraf di kawasan ini mengalami keradangan. Bahkan tekanan yang terlalu banyak juga boleh membuatkan tulang mengalami keretakan halus dan mengakibatkan kesakitan. Selain itu, semua kasut tumit tinggi boleh menyebabkan risiko pergelangan kaki terseliuh.

    Penyelesaian: Carilah kasut dengan tumit lebih rendah. Ia dapat mengelakkan anda daripada berhadapan dengan risiko mengalami masalah yang disenarai di atas, tetapi pada masa sama, masih boleh bergaya. Pakar podiatris menyarankan memilih kasut yang tumitnya tidak lebih daripada dua inci (lima sentimeter) - itu pun tidak dipakai selalu.


    Kasut tumit halus

    Masalah: Walaupun semua kasut tumit tinggi boleh menyebabkan masalah, kasut yang lebih berbahaya ialah bertumit halus. Ini kerana semua berat badan akan tertumpu pada satu pusat saja. Orang yang memakai kasut tumit halus perlu berjalan lebih perlahan dan berhati-hati kerana risiko untuk terseliuh atau jatuh sentiasa menunggu, apatah lagi jika lantai agak licin.

    Penyelesaian: Jika masih mahu memakai kasut tumit tinggi, carilah tumit yang tebal supaya berat badan diagihkan lebih sekata pada tumit. Ini membuatkan kaki lebih stabil berbanding memakai kasut tumit halus. Pun begitu, tekanan masih dirasai pada bola kaki, tetapi pemakaian kasut tumit tebal akan mengurangkan risiko jatuh.


    Kasut tapak rata

    Masalah: Siapa kata kasut tapak rata ini ‘mesra’ pada kaki? Berdasarkan perbandingan yang dijalankan Jurucakap Persatuan Perubatan Podiatrik Amerika, Hillary Brenner, kasut tapak rata ini tidak memberikan sebarang sokongan kepada kaki. Ia menghalang kaki daripada berfungsi sepenuhnya dan boleh menyebabkan masalah lutut, pinggul dan pinggang. Kekurangan atau ketiadaan sokongan pada tapak kaki dikaitkan dengan kesakitan yang dipanggil plantar fasciitis (keradangan pada tisu tapak kaki dan membuatkan tumit sakit ketika berjalan).

    Penyelesaian: Jika suka memakai kasut tapak rata, beli pelapik kasut yang boleh memberi sokongan kepada kaki, sekali gus memberi kusyen pada tumit. Pelapik ini terutama yang dibuat khas untuk kaki akan mengurangkan semua masalah dan kesakitan kaki. Sokongan pada lengkungan tapak kaki akan mengurangkan tekanan pada bahagian kaki yang sensitif.


    Selipar

    Masalah: Ia tidak menawarkan perlindungan pada kaki dan kaki anda terdedah kepada kecederaan. Mereka yang ada kencing manis tidak digalakkan memakai selipar untuk mengelakkan sebarang kecederaan. Ingat, pada
    pesakit kencing manis, luka yang kecil pun boleh mendatangkan kemudaratan kerana kaki mereka sudah tidak sensitif dan mungkin tidak sedar luka menjadi semakin teruk.

    Apa yang lebih membimbangkan, luka yang tidak dirawat dengan rapi boleh menyebabkan gangren (tisu mati) sehingga membawa kepada pemotongan kaki (amputasi).

    Selipar juga seperti kasut tapak rata, ia tidak memberi sokongan kepada kaki.

    Penyelesaian: Carilah selipar sporty yang memberi lebih banyak sokongan pada kaki. Tapak selipar yang lebih tebal akan melindungi kaki daripada berasa sakit terpijak batu. Lebih baik jika selipar itu direka mengikut lengkungan tapak kaki.


    Kasut tebal dan baji

    Masalah: Kasut tebal dan baji biasanya mempunyai lantai yang keras dan ia menghilangkan biomekanik ketika berjalan. Ini akan membuatkan kaki cuba membengkok dalam cara tertentu, tetapi tidak berjaya kerana kasut yang keras. Jika tumitnya jauh lebih tinggi daripada bahagian ibu jari, maka tulang jari kaki akan berasa banyak tekanan.

    Penyelesaian: Beli kasut tebal atau baji yang lebih rendah. Walaupun ia masih tidak disarankan, kasut ini tidak memberikan banyak tekanan berbanding kasut bertumit tinggi. Kalau masih mahu memakainya, selang selikan dengan kasut jenis lain, bukan dipakai setiap hari.


    Kasut runcing di depan

    Masalah: Ia mungkin nampak bergaya, tetapi kasut runcing di depan ini akan menghimpit keseluruhan bahagian depan kaki. Selepas satu tempoh, ia akan menyebabkan kesakitan saraf, bunion (ada benjolan sakit di bawah ibu jari dan menyebabkan jari bengkok), melecet dan jari kaki bertindan serta senget. Kasut runcing di depan adalah faktor paling biasa yang menyebabkan masalah bunion pada wanita.

    Selain itu jari kaki akan nampak cacat kerana ia dipaksa berhimpit antara satu sama lain. Apabila kecacatan berlaku, ia tidak boleh dikembalikan kepada keadaan asal kecuali melalui pembedahan.

    Penyelesaian: Cari kasut yang mempunyai rekaan lebar di depan. Jika masih mahukan kasut yang runcing di depan, pilih kasut yang bahagian runcing ini melepasi jari.


    Salah saiz

    Masalah: Sembilan daripada 10 wanita membeli kasut yang satu saiz lebih kecil kerana mahu kaki mereka nampak comel. Malangnya ia boleh menyebabkan belulang, melecet, bunion dan pelbagai masalah lain. Kajian menunjukkan ramai kanak-kanak kini juga memakai kasut yang salah saiznya dan meningkatkan risiko mengalami kecacatan kaki ketika membesar.

    Penyelesaian: Ukur kaki dan beli kasut yang sepadan dengan saiz kaki.
    Ketika mencuba, cuba kasut baru sambil berdiri dan berjalan. Lebih baik beli kasut pada waktu petang ketika kaki kembang sedikit. Paling penting, ia perlu selesa dan memberi sokongan yang diperlukan oleh kaki dan seluruh badan.

    Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

    Ibu Hamil usah abai asid folik

    SEIMBANG...makanan seimbang lengkap mengandungi semua gizi dalam piramid makanan.
    SEIMBANG...makanan seimbang lengkap mengandungi semua gizi dalam piramid makanan.
    BUAH...buah-buahan sumber vitamin C untuk ibu dan bayi.
    BUAH...buah-buahan sumber vitamin C untuk ibu dan bayi.

    “IBU mengandung kena makan dua kali ganda kerana untuk dua orang, satu untuk ibu dan satu untuk bayi dalam kandungan.”

    Seringkali kita mendengar ayat ini diucapkan terutama bagi wanita yang baru pertama kali mengandung. Kadangkala ia mungkin diluahkan sekadar untuk bergurau, namun daripada segi konsep matematiknya, seakan-akan ada logiknya.
    Bagaimana pula daripada segi diet serta pemakanan sebenar untuk ibu hamil?


    Ramai wanita terutama yang baru pertama kali hamil mengajukan pelbagai soalan mengenai makanan boleh dimakan dan makanan yang perlu dielakkan. Ini kerana mereka berasakan perlu makan dalam jumlah yang banyak terutama ketika lapar sedangkan pada trimester pertama, makan adalah untuk menambah tenaga dan ibu hamil cuma memerlukan 300 kalori setiap hari manakala selebihnya akan pergi kepada organ ibu sendiri.

    Namun, bagi ibu yang mengalami alahan yang teruk sehingga tidak mampu makan dalam jumlah yang sepatutnya, mereka perlu mengatur pemakanan supaya bayi mendapat zat mencukupi manakala ibu tetap bertenaga sepanjang tiga bulan pertama.

    Alahan ketika mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening, perut sebu dan tidak selesa. Keadaan ini biasa berlaku terutama ketika bangun tidur, namun bagi wanita yang bernasib baik mereka langsung tiada alahan.

    Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya alahan wanita hamil disebabkan perubahan fizikal dan hormon pada badan.

    Kebanyakan wanita yang mengalami alahan akan sedikit sebanyak merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini, malah ada yang terpaksa bercuti kerana alahan yang terlalu teruk.

    Secara amnya, alahan dalam jangka masa pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Namun, bagi alahan terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan muntah kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi manakala kesihatan ibu akan terjejas. Tambahan pula, ibu akan mengalami kekurangan air dalam badan dan mengalami pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Jika mengalami tanda ini, anda memerlukan rawatan segera. Biasanya doktor akan menambah cecair dalam badan dan makanan tambahan melalui drip.

    Bagi mengurangkan penghidratan, ibu hamil dinasihatkan minum air putih atau jus buah yang banyak bagi menggantikan kehilangan bendalir. Makan jenis makanan yang mudah dicerna seperti nasi, jagung, kentang dan ubi serta mengelak makanan mengandungi kadar lemak tinggi atau berminyak seperti makanan bersantan atau bergoreng. Bagi yang alah kepada bau-bauan, elakkan aneka aroma yang boleh menyebabkan rasa mual dan muntah. Makan sedikit, tetapi secara kerap misalnya dengan mengambil biskut, roti, kurma, kismis dan buah-buahan bagi mengelak perut dimasuki angin dan boleh menyebabkan muntah dengan teruk.

    Paling penting wanita hamil perlu mengambil asid folik yang dibekalkan doktor.
    Ini kerana terdapat banyak kajian menunjukkan kepentingan asid folik untuk perkembangan saraf dan otak bayi dalam kandungan. Namun, malangnya ramai wanita tidak tahu penambahan pengambilan asid folik perlu dilakukan tiga bulan sebelum mengandung.

    Ini kerana asid folik dapat membantu menghindarkan kecacatan bayi yang dipanggil neural tube defect atau NTD. Mengikut kajian, pengambilan asid folik membantu mencegah kecacatan ini sebanyak 50 peratus sehingga 70 peratus daripada berlaku.

    Asid folik penting untuk pembinaan sel otak, tulang belakang, organ, kulit dan tulang manakala satu kempen pernah dijalankan di Amerika Syarikat untuk memberikan kesedaran kepada wanita mengenai kepentingan asid folik bagi bakal ibu dan ibu hamil.

    Keperluan asid folik boleh didapati sama ada dengan memakan makanan diperkaya dengan asid folik atau dengan pil asid folik. Jumlah yang disyorkan adalah sekitar 400 mikrogram atau 0.4 miligram setiap hari pada dua hingga tiga bulan sebelum merancang hamil dan ketika hamil. Sumber asid folik juga boleh diperoleh daripada makanan barli, daging lembu, ragi yang ditapai, beras perang, keju, ayam, kurma, sayuran berdaun hijau, daging kambing, hati, susu, cendawan, oren, sayuran berubi, ikan salmon, tuna, gandum dan bijirin.

    Pada trimester kedua, kebanyakan wanita hamil semakin berselera makan. Malah ada yang menganggap mereka perlu meningkatkan jumlah pemakanan atas alasan keperluan bayi dalam kandungan. Dengan itu ada yang menambah pengambilan makanan mungkin daripada tiga kali sehari kepada lima kali sehari dalam jumlah yang banyak.

    Namun sebenarnya selain meningkatkan jumlah makanan, apa yang lebih penting adalah jenis makanan serta kandungan zat yang terdapat dalam makanan.

    Kebiasaannya, wanita hamil memerlukan penambahan 300 kalori sehari daripada biasa terutama semasa trimester terakhir apabila bayi membesar dengan pantas.
    Penambahan 300 kalori sehari perlu diperoleh daripada makanan berkhasiat supaya boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.

    Ketika hamil, apa saja yang dimakan dan diminum adalah sumber utama nutrien bagi bayi.

    Sama ada seseorang wanita itu hamil atau tidak, diet yang sihat merangkumi semua yang terdapat dalam piramid makanan seimbang iaitu protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi.



    INFO:

    Bagi ibu hamil, penting untuk mempelbagaikan hidangan makanan bagi memperoleh semua keperluan nutrisi untuk ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan ketika hamil termasuk:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran untuk lima hidangan sehari termasuk snek, jus dan salad.

  • Makanan berkanji seperti roti, nasi, pasta, ubi kentang serta memperbanyakkan bijirin penuh.

  • Makanan berprotein tinggi seperti daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Namun wanita digalakkan memperbanyakkan makan ikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

  • Makanan berkalsium tinggi seperti susu, dadih dan keju.

  • Makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.

    Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah-buahan juga segar dan tidak mengandungi racun serangga (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada racun serangga).

    Ikan mengandungi protein, mineral, vitamin D dan asid lemak omega-3 yang tidak akan dibekalkan kepada bayi jika wanita itu langsung tidak mengambil ikan. Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan bersesuaian bagi diet seharian.


    Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan itu dapat dipastikan:
  • Halal kerana akan menjadi darah daging kita dan bayi.
  • Berkhasiat untuk kesihatan bayi.

  • Perhatikan tarikh luput serta pembungkus dan tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar atau kemek). Walaupun nampak remeh, ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah luput tarikh boleh menyebabkan keracunan makanan sekali gus memudaratkan kesihatan bayi.


    Makanan yang perlu dielakkan ibu hamil termasuk:

  • Makanan laut mentah seperti tiram atau sushi.
  • Makanan laut yang tidak dimasak dengan sempurna.

  • Bahan makanan stimbot yang tidak dimasak sepenuhnya. Pastikan sup dididihkan setiap kali bahan baru ditambah terutama bagi makanan laut bercengkerang, daging dan telur.

  • Hati serta organ dalaman haiwan perlu dielakkan kerana berkemungkinan mengandungi bentuk retinol vitamin A dalam jumlah yang tinggi dan ini tidak baik untuk bayi yang sedang membesar.
  • Senaman jantung, otot perut

    SENAMAN memang diakui mempunyai kebaikannya. Terdapat pelbagai jenis senaman ringkas boleh dilakukan sendiri di rumah mahupun di pejabat jika tahu cara yang betul.

    Misalnya, senaman untuk kesihatan jantung dan menguatkan otot perut. Ia boleh dilakukan di mana saja namun memerlukan meja, dinding atau objek yang boleh menyandar dan berdiri kukuh bagi mengelak sebarang kemungkinan kecederaan semasa melakukan senaman.

    Amalan senaman ringkas itu jika dilakukan setiap hari akan memberikan kebaikan dan hasilnya untuk mereka yang malas bersenam. Hanya tetapkan masa yang sama seperti senaman ringkas lain iaitu 10 minit, tiga kali sehari berbanding regim biasa senaman 30 minit.

    Ambil masa 10 minit ketika waktu rehat atau makan dan sebelum pulang ke rumah. Jika berada di rumah, lakukan senaman ringkas misalnya ketika memasak atau menonton televisyen, mengikut keselesaan masing-masing.


    Bukan hanya mengambil kira kesihatan jantung dan kecantikan perut, bahagian tangan juga harus dijaga rapi bagi melegakan atau mengurangkan ketegangannya apatah lagi bagi mereka yang sentiasa bergerak aktif atau bekerja menggunakan tenaga tangan.


    Ia boleh dilakukan di mana saja tidak kira ketika menunggu lif, pengangkutan awam atau di pejabat bagi meredakan kepenatan.

    Hanya perlukan masa singkat iaitu lima atau 10 minit setiap hari dan lihatlah hasilnya apabila bahagian bahu dan tangan terasa lega.

    Bagi mereka yang masih tercari-cari senaman ringkas bersesuaian, ikuti beberapa langkah mudah untuk dilakukan di rumah seperti yang ditunjukkan oleh jurulatih bebas, Noor Ashikin Mohd Ruzi, Ada Sandha Anuar dan Dyana Sidek.-metro

    Kanser usus , Usah abai buang air besar

    Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

    LEBIHKAN...pemakanan harus dijaga terutama lebihkan sayuran dan buah-buahan.
    LEBIHKAN...pemakanan harus dijaga terutama lebihkan sayuran dan buah-buahan.



    Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.

    Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

    Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

    Tanda-tanda

    Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

  • Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.

  • Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.

  • Najis bercampur dengan darah.

  • Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).

  • Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).

  • Perut rasa memulas.

  • Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).

  • Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).

  • Muntah.

  • Hilang selera makan.

  • Berat badan turun tanpa sebab.

  • Kerap penat.

  • Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.


    Faktor risiko

    Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:

  • Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.

  • Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.

  • Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.

  • Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.

  • Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.

  • Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.

  • Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.

  • Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.

  • Kurang bersenam.


    Saringan dan pengesanan

    Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap ‘pembawa maut’, ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

    Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

    Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, iaitu antara 85 hingga 95 peratus, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.

    Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan. Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).

    Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun, peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.
    Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda antara 26 hingga 29 bulan.

    Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang.

    Menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan kanser yang mahal, Dr Christina memulakan program saringan sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

    “Cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser usus ialah dengan menjalani ujian saringan terutama bagi individu berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai sejarah kanser atau penyakit keradangan usus yang lain. Pengesanan awal dan pembuangan polip sebelum ia bertukar menjadi kanser adalah cara terbaik mencegah penyakit ini.

    “Pesakit kanser usus peringkat awal sebenarnya mempunyai peluang sembuh yang tinggi jika ia dikesan awal dan diberikan rawatan sewajarnya. Apa yang penting ialah datang ke hospital menjalani ujian saringan atau menyertai program Empowered! bagi yang berkelayakan,” kata perunding onkologi itu.

    Apa yang pasukan sukarelawan Empowered! lakukan? Mereka akan mengagihkan risalah ke setiap rumah untuk memberitahu mengenai kanser usus. Selain itu di kawasan terpilih, sukarelawan ini akan menampal poster dan kain rentang mengajak penduduk menyertai program saringan berkenaan.

    Sasaran Empowered! ialah golongan berpendapatan rendah yang kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai kanser usus, serta tidak mempunyai masa menjalani saringan kesihatan mahu pun menyertai ceramah kesihatan. Ini kerana setiap kes kanser usus menunjukkan peningkatan dengan purata 3,500 kes setahun dan program ini menjadi lebih penting kerana Malaysia kini menuju ke arah masyarakat berumur-yang bermakna setiap orang berisiko mendapat kanser usus.

    “Program ini sangat berkesan dan bermanfaat. Tahun lalu, kami mendapat 600 penyertaan, lebih tinggi berbanding tahun pertama program ini diperkenalkan. Setiap peserta akan diberikan penerangan mengenai kanser usus dan kit untuk mengambil sampel najis masing-masing. Peserta akan diajar bagaimana cara mengambil sampel najis mereka dan kit ini akan dipungut oleh sukarelawan yang datang ke rumah peserta sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

    “Empowered! bukan saja menyediakan buku panduan malah ada perkhidmatan bas untuk membawa penduduk mendengar ceramah dan penerangan mengenai kanser usus. Saya rasa susah payah sukarelawan yang bersengkang mata melaksanakan program kemasyarakatan ini termasuk bermesyuarat, mengorbankan cuti hujung minggu dan mengetuk 20,000 pintu rumah penduduk adalah sangat berbaloi, apatah lagi apabila melihat penduduk mula sedar dan faham mengenai penyakit,” katanya. Penduduk yang menyertai program ini bukan saja mendapat saringan awal kanser usus percuma tetapi turut diberikan sekampit beras!

    Namun cabaran sebenar dihadapi 240 sukarelawan yang terdiri daripada pakar pemakanan, pakar fisioterapi, kaunselor, pelajar perubatan dan rakan yang menemani peserta ke hospital ialah apabila peserta disahkan menghidap kanser. Dalam keadaan ini mereka (peserta) sangat memerlukan sokongan daripada keluarga, rakan dan anggota kesihatan supaya mereka tabah serta segera menjalani rawatan. Inilah sebabnya ada sukarelawan yang dikhususkan bertugas menemani pesakit ke hospital.

    Biasanya apabila ada acara kesihatan, rata-rata pesertanya adalah wanita tetapi berbeza dengan Empowered! kerana 60 peratus peserta terdiri daripada lelaki. Ini dianggap satu perkembangan yang memberangsangkan kerana semakin ramai ketua keluarga mulai sedar kepentingan menjaga kesihatan. Bahkan pasukan sukarelawan menggalakkan seisi keluarga untuk menyertai program yang diadakan di tempat mereka.

    Berdasarkan pemeriksaan makmal untuk saringan tahun pertama didapati dua peratus peserta mempunyai keputusan tidak normal iaitu najis mereka mengandungi darah. Peserta ini kemudiannya dihubungi untuk menjalani ujian susulan bagi memastikan sama ada kandungan darah dalam najis mereka disebabkan kanser atau masalah kesihatan lain dan diberikan rawatan sewajarnya.

    Pakar kesihatan menganggarkan 70 peratus kes kanser usus boleh dicegah melalui perubahan tabiat pemakanan dan bersenam. Malah, melakukan aktiviti yang kurang menggunakan tenaga selama dua jam seperti membersihkan rumah juga didapati boleh memberi banyak perubahan kepada kesihatan seseorang.

    Melalui program yang sama, penduduk diajar cara untuk mengurangkan risiko mendapat kanser iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti:

  • Mengambil pemakanan seimbang

  • Mengekalkan berat badan normal

  • Meningkatkan aktiviti fizikal

  • Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Teh Panda kaya khasiat?

    TEH PANDA sangat berkhasiat? Ramai tidak percaya, tetapi inilah yang cuba diyakinkan seorang pengusaha China, An Yanshi apabila dia mengatakan menemui bahan rahsia untuk menghasilkan teh termahal di dunia iaitu dengan menggunakan najis panda.

    Bekas guru kaligrafi itu membeli 11 tan najis dari pusat pembiakan panda untuk dijadikan baja tanaman teh di kawasan pergunungan di wilayah Sichuan di barat daya China yang menjadi kediaman beruang hitam dan putih itu.

    Menurut An, tanaman tehnya yang diberikan baja najis panda itu akan dituai kali pertama pada musim bunga ini dan ia bakal menjadi ‘teh paling mahal’ di dunia dengan harga hampir 220,000 yuan (RM112,000) bagi 500 gram daun teh.

    Peminum teh Cina menganggap teh yang dituai untuk kali pertama pada awal musim bunga sebagai teh terbaik dan tuaian berikutnya juga dianggap berkualiti tinggi dan boleh dijual pada harga 20,000 yuan.


    Pengusaha berumur 41 tahun yang sangat teruja dengan projeknya itu mengenakan pakaian bertema panda ketika ditemu bual, pernah diejek dan disindir sesetengah orang di China kerana dakwaannya yang dianggap keterlaluan mengenai khasiat teh panda.


    Bagaimanapun, An tegas dengan pendapatnya dan berkata, dia sanggup berhenti kerja daripada Universiti Sichuan untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada syarikat barunya, Teh Panda. Di logo syarikatnya terpapar gambar panda tersenyum, memakai tali leher reben sambil memegang secawan teh hijau panas.

    Walaupun An berharap dapat membuat keuntungan daripada teh berkenaan yang ditanam di kawasan seluas satu hektar, misi utamanya adalah meyakinkan dunia untuk melindungi alam sekitar dan menggantikan penggunaan baja kimia dengan najis haiwan sebelum terlambat.

    “Najis panda sangat kaya dengan khasiat dan ia sepatutnya lebih baik berbanding baja kimia. Manusia perlu mengadakan hubungan yang harmoni dengan syurga, bumi dan alam sekitar.

    “Setiap orang bertanggungjawab melindungi alam ini,” katanya sambil duduk di meja teh tradisional Cina dan menikmati teh yang ditanam menggunakan baja najis lembu.

    Dia kemudian menunjukkan kertas lukisan tradisional Cina yang semuanya mempunyai gambar panda yang ceria, buluh dan tulisan kaligrafi.

    Pencinta teh ini mendapat ilham untuk menggunakan najis panda sebagai baja selepas menghadiri seminar tahun lalu apabila dia mendapati beruang berkenaan hanya menyerap 30 peratus khasiat daripada buluh yang dimakannya dan 70 peratus lagi akan dibuang sebagai najis.

    An juga menunjukkan satu jag najis panda yang masih ‘segar’ dan digunakan untuk menyiram dua pokok teh di dalam pejabatnya dengan memberi penekanan terhadap ‘kualiti’ dan ‘warna hijau’ baja asli berkenaan.

    Dia yang begitu yakin bahawa Teh Panda akan mendapat sambutan ramai, sudah mempatenkan ideanya itu bagi mengelakkan pesaing daripada meniru dan mencurinya - satu perkara yang sangat biasa di negara itu apabila ramai melanggar undang-undang melindungi harta intelek.

    Dakwaannya yang mengatakan teh hijau akan membantu orang mengurangkan berat badan dan melindungi mereka daripada radiasi juga ditertawakan sesetengah pelayar laman web. Mereka secara terang-terangan melahirkan keraguan terhadap kesahihan manfaat kesihatan teh berkenaan, apatah lagi apabila An mahu menjual hasil tuaian pertama pada harga yang sangat mahal.

    “Jika najis panda itu baja yang sangat baik untuk pokok teh, saya hendak tanya cikgu ini, mengapa dia tidak makan najis panda itu saja? Dengan cara itu, anda akan dapat 70 peratus khasiat yang tidak diserap badan panda,” kata salah seorang pelayar laman web, Baihuashu.

    Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai 24-0 menulis, “200,000 yuan untuk satu jin (500 gram) daun teh yang dibaja dengan najis panda - ini minum teh ke minum darah panda?”

    Walaupun mendapat pelbagai sindiran dan kecaman terhadap teh yang akan dituai hasilnya tidak lama lagi itu, An berkata, semangatnya tidak luntur malah kini memikirkan cara untuk memperluaskan perniagaannya.

    “Selepas tuaian pertama, jika kualitinya betul-betul bagus, kami akan gandakan pengeluarannya,” kata An sambil melambaikan tangannya yang memakai sarung tangan panda - sebagai tanda keyakinan. - AFP

    10 tip menghilangkan berat badan dalam masa singkat

    Amat mudah untuk berat badan meningkat tetapi bagaimana cara mahu menurunkannya dalam tempoh masa yang singkat? Agak sukar bukan? Perkara ini akan bertambah sulit lagi apabila kita tidak mempunyai disiplin diri yang tinggi.

    Jangan khuatir dan bimbang kerana saya mempunyai 10 tip mudah untuk anda ikuti agar dapat menghilangkan berat badan dalam jangka waktu yang singkat.

    Syaratnya, anda harus lakukan dengan bersungguh-sungguh sama seperti yang saya sarankan pada edisi sebelum ini.

    Berikut adalah 10 tip yang boleh diikuti dan diuar-uarkan kepada rakan serta mungkin juga anda boleh melakukannya bersama-sama.


  • Ambil kesempatan terhadap air minuman

    Salah satu cara terbaik untuk menurunkan berat badan adalah dengan meningkatkan pengambilan air minuman. Minum sejumlah air yang mencukupi akan memberi rasa kekenyangan pada perut dan secara automatik, keinginan anda terhadap makanan menjadi berkurangan.

    Ambil minuman sebelum makan turut membantu mengurangkan minat kepada jumlah makanan yang bakal diambil.


  • Tetapkan matlamat sukar tapi diyakini mampu dicapai

    Jangan menetapkan sebarang sasaran jangka masa panjang tetapi sentiasa buat sasaran jangka masa sederhana. Anda perlu beri penekanan lebih kepada jumlah kehilangan berat badan tertentu dalam minggu tertentu. Sebaik saja anda sudah berjaya melakukannya, berhenti dan jangan sama sekali kembali semula mengambil makanan kurang berkhasiat.


  • Gembirakan diri sendiri

    Jangan pula berasa berputus asa untuk menjamah makanan kegemaran anda. Ini kerana jika anda berbuat demikian, keinginan untuk menikmati makanan lazat akan
    semakin meningkat dan akhirnya, anda akan makan apa jua jenis makanan terutama makanan kurang berkhasiat dalam kuantiti yang banyak. Makanlah makanan kegemaran anda sekali atau dua kali sebulan.


  • Mulakan pengiraan

    Setiap kali anda berasa lapar, berehat selama 10 minit dan berfikir mengenai perkara lain. Dengan cara ini, ia akan mengalihkan keinginan anda terhadap makanan.

    Kajian sudah membuktikan keinginan untuk makanan berlangsung tidak lebih daripada 10 minit dan dalam tempoh itu, rasa lapar akan terus hilang.


  • Makan makanan kurang berlemak

    Sebaiknya, makan makanan yang tidak terlalu berat dengan kerap kerana ia akan membuat anda berasa lebih bertenaga. Cara ini akan mengehadkan selera anda di samping meningkatkan kadar metabolisme. Lebihkan pengambilan teh hijau kerana ia salah satu cara terbaik untuk membakar kalori dan meningkatkan kadar pencernaan.


  • Buat perubahan dalam jadual

    Anda tidak akan dapat menambah berat badan dalam tempoh satu malam saja. Jadi, jangan pernah terfikir untuk berjaya menurunkan berat badan dalam waktu yang singkat pula. Jangan melakukan banyak perubahan drastik untuk mencapai sasaran sehingga akan menimbulkan masalah lain dalam kehidupan seharian.

    Jayakannya secara satu persatu sambil disusuli usaha berterusan. Kemudian, barulah anda boleh bergerak ke arah perubahan bahagian yang lain seterusnya mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik.


  • Sasar 10 peratus

    Tetapkan matlamat jangka masa panjang dan mulakan dengan bahagian kecil terlebih dulu. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan matlamat akan mengurangkan 23 kilogram berat badan tetapi lebih wajar sekiranya anda fokus untuk menghilangkan 10 peratus daripada jumlah itu terlebih dulu.


  • Berikan makanan anda rasa baru

    Menambah cili ke dalam makanan anda akan memberikan rasa lazat tanpa meningkatkan tahap kandungan lemak sedia ada. Selain itu, campuran seperti salsa atau yogurt pada burger contohnya juga boleh dilakukan kerana ia rendah lemak.


  • Kurangkan hidangan anda kepada satu pertiga

    Cuba kurangkan jumlah pengambilan makanan anda. Jika anda melihat makanan yang sedap dan kemudian gagal mengawal godaan, maka ambil ia dalam kuantiti satu pertiga daripada pinggan anda saja. Cuba lakukan formula ini di persekitaran yang berbeza seperti di rumah atau restoran. Dengan mengaplikasikannya, anda boleh membakar kira-kira 500 kalori pada setiap hari.


  • Pastikan anda makan

    Bagi membolehkan anda menurunkan berat badan, jangan sesekali berhenti makan atau melangkaui waktu makan. Cuba makan lima hingga tujuh jenis makanan dalam kuantiti yang kecil. Menerusi cara ini, ia bukan saja mengawal tahap kelaparan anda tetapi turut membantu mengekalkan kadar metabolisme badan.-metro
  • Kurangkan kolesterol

    TEH CINA...teh Cina kaya dengan bahan antioksidan untuk kuatkan sistem imun.
    TEH CINA...teh Cina kaya dengan bahan antioksidan untuk kuatkan sistem imun.
    BANYAK KHASIAT...limau kaya dengan vitamin A dan C tetapi pesakit diabetes harus berjaga-jaga kerana kemanisannya.
    BANYAK KHASIAT...limau kaya dengan vitamin A dan C tetapi pesakit diabetes harus berjaga-jaga kerana kemanisannya.

    HARI ini bermula Tahun Naga yang dianggap sebagai tahun yang sangat istimewa dalam kalendar Cina kerana haiwan mistik ini bukan saja menjadi lambang kebesaran dan kemegahan maharaja zaman dulu, malah ia dikatakan akan membawa tuah.

    Pemilihan sajian untuk sambutan hari besar bagi kaum Cina ini dilakukan dengan teliti dan biasanya mereka akan menghidangkan makanan yang mempunyai perkataan dengan makna bernasib baik, tuah, makmur, kekayaan, kegembiraan dan kesejahteraan serta panjang umur.

    Menurut Pakar Perunding Diet, Indra Balaratnam, antara makanan yang ada makna perkataan di atas termasuk udang, ikan, yee sang, salad, limau mandarin, nanas, buah-buahan kering, biji-bijian, sosej Cina, daging panggang manis, tat nanas, kuih kapit dan kuih bangkit.

    Pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini, buah naga mendapat permintaan yang tinggi kerana ia bertepatan dengan simbol Tahun Naga.


    Namun soal kepercayaan dan tuah tahun tidak sepatutnya mempengaruhi corak pengambilan makanan, khususnya bagi mereka yang ada masalah kesihatan. Pun begitu, kata Indra, pada hari istimewa ini, tidak mengapa jika terlebih makan sedikit kerana ia hanya disambut setahun sekali.


    “Seperti perayaan lain, makanan yang dihidangkan pada Tahun Baru Cina juga tidak terlepas daripada mengandungi banyak lemak, gula dan garam. Seperti yang saya katakan, oleh kerana makanan ini hanya dinikmati setahun sekali, maka tidak mengapa jika makan lebih sedikit.

    “Bagaimanapun, ada satu perkara yang perlu diingat iaitu cara memasak sangat penting untuk mengurangkan lemak dan kalori dalam semua sajian tahun baru ini. Kalau anda makan di luar, pesan makanan yang dikukus, bukannya bergoreng.

    “Beringat juga apabila mengambil makanan sampingan seperti kerepek, biskut dan kek. Bukan tidak boleh ambil langsung tetapi bersederhana kerana makanan ‘kecil’ seperti ini memberi sumbangan besar dalam pertambahan kalori.

    “Kini banyak keluarga yang makan di restoran pada makan malam tahun baru kerana ia lebih mudah. Malangnya, set yang mempunyai lapan hingga 10 bahagian hidangan mengandungi kalori yang sangat tinggi dan ia juga merangsang kepada masalah terlebih makan.

    “Jadi, jika anda dan keluarga merancang untuk makan di luar, jangan memesan terlalu banyak makanan. Pilih sajian ringkas kerana apa yang lebih penting ialah bergembira dapat makan bersama-sama,” katanya.

    Benarkah pendapat yang mengatakan minum teh Cina dapat membersihkan lemak yang dimakan? Tidak. Pendapat ini tidak benar, kata Indra.

    Teh Cina tidak boleh membasuh lemak yang masuk ke dalam perut, tetapi ia kaya dengan bahan antioksidan yang dapat membantu menguatkan sistem imun. Malah ia pilihan lebih baik berbanding minuman berkarbonat yang banyak dihidangkan dalam mana-mana perayaan.

    Apa yang menarik, pada musim perayaan ini, kaum Cina terutama keluarga yang mementingkan pengambilan sayur-sayuran akan tetap menghidangkan sajian berasaskan sayur untuk memastikan makanan dihidang seimbang.

    Penulis juga adalah orang yang menantikan kedatangan Tahun Baru Cina kerana inilah masanya untuk menikmati limau mandarin sepuas hati. Soalnya, limau yang hanya ada setahun sekali ini dimakan banyak? Ya, kata Indra. Ini kerana limau mandarin mempunyai ciri yang menarik iaitu:

  • Ia terdiri daripada 85 peratus air dan hanya mengandungi 64 kalori. Ini menjadikan ia snek rendah kalori terbaik terutama untuk mereka yang menjaga atau mahu mengurangkan saiz pinggang.

  • Setiap limau mandarin memberikan kita dua gram serat dan ia adalah makanan yang baik untuk mengurangkan paras kolesterol yang tinggi.

  • Dengan kandungan lebih 50 peratus daripada pengambilan vitamin C harian anda, limau mandarin juga sangat baik untuk kulit. Vitamin C membantu dalam penghasilan kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit dan mengurangkan kedut.

  • Penglihatan anda turut mendapat kebaikan limau mandarin ini kerana ia menyumbangkan kira-kira 16 peratus daripada jumlah pengambilan vitamin A harian. Vitamin ini membantu menghasilkan pigmen retina untuk penglihatan yang baik.

  • Bagi pesakit diabetes, perlu berhati-hati kerana limau mandarin ini manis. Justeru, jangan makan terlalu banyak pada satu-satu masa kerana ia boleh menaikkan paras gula dalam darah. Jumlah yang disarankan ialah sebiji pada satu masa.


    Panduan pemakanan sihat Tahun Baru Cina

  • Ajar diri bersabar apabila berhadapan dengan makanan. Ini kerana anda akan mengunjungi banyak rumah terbuka, jadi buat perancangan bijak. Makan sedikit di setiap rumah yang anda kunjungi.

  • Elakkan makan terlalu banyak makanan bergoreng. Sebaliknya, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersederhana dalam pengambilan daging, ayam dan makanan laut.

  • Di parti, jangan berdiri di sebelah meja yang menghidangkan makanan. Anda akan terdorong untuk ambil lebih makanan. Berpindahlah ke tempat lain selepas habis makan supaya anda ada lebih banyak peluang untuk berbual.

  • Pada musim perayaan ini juga, kebanyakan tuan rumah menyediakan minuman beralkohol. Minum banyak air masak untuk memastikan badan anda mempunyai cukup air. Sebagai panduan mudah, apabila anda minum segelas minuman beralkohol, ambillah segelas air masak.

  • Bersederhana dalam mengambil biskut, kek dan sajian manis lain. Makanan ini kurang berkhasiat tetapi tinggi kandungan lemak dan gula. Untuk mereka yang sukakan sajian manis, ambillah buah-buahan segar yang bukan saja enak malah kurang kalori.

  • Hadkan pengambilan air berkarbonat dan minuman ringan lain. Sebaliknya, pilih teh Cina atau air masak.

  • Teruskan amalan senaman harian pada musim perayaan ini. Mulakan hari anda dengan bersenam pada waktu pagi untuk membakar kalori sebelum anda melancarkan misi pergi ke rumah terbuka.


    Resipi


    Udang kukus berlimau (lima orang)

    1.2 kilogram udang besar
    3 helai daun limau purut dihiris halus
    2 sudu teh perahan limau nipis (boleh tambah ikut kesesuaian rasa)
    5 sudu makan sos cili Thai
    Garam secukup rasa (jika cukup masin tidak perlu tambah)
    1 sudu makan minyak masak
    Daun parsli untuk hiasan


    Bahan A (ditumbuk)

    1 biji bawang besar
    2 ulas bawang putih
    3 batang serai
    3 atau 4 biji cili padi


    Cara membuatnya:

    1. Panaskan pengukus. Gunting kaki udang. Biarkan kulit udang atau membuang kulitnya. Susun udang dalam pinggan dan tekap dengan tisu dapur untuk mengering�kan airnya. Ketepikan.

    2. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan yang ditumbuk. Kacau hingga naik bau.

    3. Masukkan daun limau purut, perahan limau nipis, sos cili, cili padi dan kacau lagi hingga mendidih. Padam�kan api dan tuangkan sos ini ke atas udang tadi.

    4. Kukus udang lapan hingga 10 minit atau udang menjadi merah. Hiaskan dengan daun parsli dan hidangkan.


    Analisis nutrien setiap sajian:

    Kalori: 245
    Jumlah lemak: 6 gram
    Lemak tepu: 0.8 gram
    Kolesterol: 274 miligram
    Karbohidrat: 0.4 gram
    Protein: 37 gram
  • sumber metro