SAYA ada seorang kekasih bernama A dan seluruh keluarga saya mengenalinya. Pada masa sama saya menjalin hubungan dengan B yang berstatus janda.
Setiap hari saya bersama B seperti suami isteri. Saya gembira bersamanya kerana B pandai menguruskan segala-galanya. Makan minum dan segala keperluan saya dia jaga.
Manakala A pandai mengambil hati keluarga saya sehingga ibu bapa saya senang dengannya. Saya turut menyayanginya dan tidak sanggup memutuskan hubungan dengan A.
Kesimpulannya, kedua-duanya saya sayang. Saya tidak sampai hati meninggalkan seorang daripada mereka. Saya buntu untuk memilih mana yang sesuai dijadikan isteri.
ANGAH
Kedah
Tindakan menduakan pasangan akhirnya menyebabkan saudara berdepan dilema dalam pemilihan bakal isteri. Di sini saudara perlu rasional dan memahami yang mana menjadi keutamaan dalam ciri-ciri pasangan yang saudara cari.
Saudara juga perlu berbincang dengan keluarga supaya perkahwinan dilalui tidak mendapat halangan dan disokong mereka.
Jika saudara masih kurang pasti antara A mahupun B mana satu paling sesuai, kembalilah kepada ajaran agama yang mempunyai garis panduan tertentu dalam pemilihan pasangan.
Teliti antara mereka siapa mempunyai kelebihan dan tidak lupa juga mohon petunjuk daripada Allah supaya peroleh pilihan tepat.
Sebagai contoh, saranan Sheikh al-‘Azim Abad di dalam kitab ‘Annul Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud menyatakan, yang sewajarnya dipilih adalah wanita yang baik agamanya dan memiliki adab yang baik supaya kelak berupaya menjadi pertimbangan kepadanya dalam pelbagai urusan kehidupan, terutama dalam urusan rumah tangga.
No comments:
Post a Comment