Sunday, 22 January 2012

Padah penyakit gonorrhea

SAYA berumur 28 tahun. Sejak kebelakangan ini, saya merasa pedih apabila membuang air kecil. Air kencing yang keluar terasa pedih dan panas.

Bagaimanapun, zakar saya tidak membengkak. Apa yang membimbangkan saya ialah ada cecair berwarna kekuningan seperti nanah keluar dari kemaluan saya dan melekat pada seluar dalam.
Untuk makluman doktor, saya terlanjur beberapa kali dengan seorang gadis yang baru saya kenali kira-kira sebulan lalu. Setiap kali mengadakan hubungan seks, saya tidak menggunakan kondom.
Saya amat bimbang dan menyesal atas perbuatan saya ini. Keadaan bertambah teruk kerana sebenarnya, saya sudah beristeri dan beliau sedang mengandung anak pertama kami.

Soalan saya, apakah saya menghidapi penyakit transmisi seks? Apakah penyakit ini boleh membawa kemudaratan kepada isteri dan anak dalam kandungan isteri saya?

Jejaka Kesal

SAUDARA, dari tanda-tanda yang anda jelaskan kepada saya, kemungkinan besar anda menghidapi penyakit gonorrhea. Ini kerana tanda-tanda penyakit gonorrhea adalah seperti berikut:
  • Sakit atau rasa panas di bahagian zakar ketika membuang air kecil.

  • Pengeluaran cecair berwarna putih, hijau atau kuning dari lubang kencing.

  • Kadang kala ia boleh menyebabkan sakit dan bengkak pada bahagian buah zakar.

  • Tanda-tanda ini akan muncul antara tiga hingga lima hari selepas terdedah pada kuman gonorrhea tetapi ada juga yang mengambil masa sehingga 30 hari sebelum tanda-tanda penyakit ini mula dirasai pesakit.

    Bagi golongan wanita yang mengalami penyakit gonorrhea ini, kebanyakkan dari mereka tidak mempunyai tanda tanda atau symptom seperti kaum lelaki.

    Bagaimanapun, kesan jangka panjang dari penyakit gonorrhea ini adalah lebih teruk dan serius pada golongan wanita jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Selain dari kesan pada saluran kencing, gonorrhea ini juga boleh menjangkiti rectum. Ini kerap dilihat sekiranya persetubuhan dilakukan melalui dubur.

    Tanda-tandanya ialah:

  • Pengeluran cecair dari lubang dubur.

  • Kegatalan, kepedihan dan pendarahan di kawasan anus.

  • Kesakitan ketika membuang air besar.

    Gonorrhea ini juga boleh menjangkiti tekak yang akan menyebabkan infeksi di kawasan itu. Ini menyebabkan seseorang mendapat sakit pada bahagian tekak, tidak dapat menelan atau serak. Ini boleh terjadi semasa seks oral.

    Gonorrhea boleh dijangkiti melalui sentuhan pada zakar, vagina, mulut dan anus. Ia disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali seagai Neisseria gonorrhea.

    Bakteria ini boleh membiak dengan cepat dalam keadaan yang lembab dan suam seperti dalam vagina, rahim, tiub fallopian dan saluran kencing. Ia juga boleh membiak di dalam mulut, anus, mata dan rongga tekak.

    Disebabkan kebolehannnya membiak dengan cepat dan selalunya pada wanita, ia tidak mempunyai tanda-tanda, gonorrhea adalah penyakit tramsmisi seks yang paling sering dijumpai.

    Jika tidak dirawat, gonorrhea boleh membawa kesan sampingan kepada lelaki dan wanita. Pada wanita, ia boleh menyebabkan penyakit inflammatori pelvik (Pelvic Inflammatory Disease).

    Penyakit ini boleh memusnahkan tiub fallopian dan menyebabkan kemandulan atau boleh meningkatkan risiko mengandung di luar rahim. Ia juga boleh menyebabkan sakit kronik pada bahagian bawah abdomen. Ia juga boleh menyebabkan pengumpulan nanah dalam rongga pelvis yang sukar untuk dirawat.

    Pada kaum lelaki pula, ia boleh merebak ke bahagian buah zakar dan menyebabkan inflamasi pada buah zakar. Seterusnya, membawa kepada kemandulan. Ia juga boleh memasuki darah dan merebak ke sendi-sendi.

    Saudara, sekiranya penyakit ini menjangkiti isteri saudara yang sedang mengandung, infeksi ini boleh menjangkiti bayi dalam kandungan ketika proses kelahiran.

    Ini boleh terjadi apabila bayi melalui saluran peranakan yang dijangkiti kuman ini. Seseorang bayi yang dijangkiti gonorrhea ketika proses kelahiran boleh mendapat infeksi pada mata yang boleh menjadikannya buta, infeksi pada sendi dan infeksi darah yang boleh membawa maut.

    Saya ingin menasihatkan saudara untuk berjumpa doktor untuk pengesahan. Sebelum pengesahan dan rawatan, saudara dilarang dari melakukan hubungan seks dengan isteri kerana beliau boleh dijangkiti dengan mudah.

    Doktor akan mengambil sampel cecair dari kemaluan saudara untuk dihantar ke makmal dan ujian pengesahan gonorrhea boleh dilakukan dengan mudah.

    Selain dari itu, ujian untuk penyakit transmisi seks yang lain perlu dilakukan seperti ujian untuk clamydia dan herpes. Ini kerana kebanyakan orang yang dijangkiti gonorrhea juga dijangkiti dengan kuman chalmydia dan herpes.

    Rawatan untuk penyakit gonorrhea ialah dengan mengambil ubat antibiotik. Saudara perlu memakan ubat antibiotik ini sehingga habis tempoh rawatan.
    Seseorang yang sudah mendapat penyakit gonorrhea dan dirawat hingga sembuh boleh dijangkiti lagi oleh penyakit yang sama jika terdedah sekali lagi. Ini kerana badan kita tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini.

    Saudara, saya harap anda betapa seriusnya penyakit transmisi seks ini. Cara terbaik untuk mengelak semua ini daripada berlaku ialah dengan setia kepada pasangan saudara.

    Kaedah lain untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit transmisi seks ini ialah dengan menggunakan kondom. Seseorang yang pernah dijangkiti penyakit gonorrhea perlu memberitahu pasangan seksnya supaya mengambil langkah mengelak penyakit ini menjangkiti mereka.


  • Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras

    No comments:

    Post a Comment