Sunday, 22 January 2012

Ibu tak setuju nikah gantung

SAYA pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor. Teman wanita juga belajar di IPTA sama tetapi berlainan fakulti. Saya berasa bahagia ketika menjalin hubungan dengannya kerana dia serasi dengan jiwa saya.

Masalahnya, dia selalu minta ada hubungan halal (kahwin) meskipun ketika ini kami masih belajar. Saya tahu berdosa jika tiada hubungan halal dan saya setuju dengan cadangan nikah gantung sebaik digalakkan oleh ustaz.

Lalu saya nyatakan hasrat mengahwininya kepada ibu tetapi ibu kurang setuju kerana saya masih belajar. Saya bimbang kalau satu hari nanti kami terleka, saya cuma mahukan hubungan yang direstui ibu bapa. Saya terkilan mengapa ibu saya harus melarang saya mencari keredaan Allah.

ISHAM

Batu Arang, Selangor



Sabda Rasulullah SAW mengatakan: “Wahai para pemuda, barang siapa yang mempunyai kemampuan daripada kalangan kamu, maka berkahwinlah, kerana kahwin itu boleh menjaga pandangan dan boleh menjaga kehormatan. Jika kamu tidak mampu maka digalakkan berpuasa, kerana pada puasa itu ada penjagaan.”

Berdasarkan hadis berkenaan, memang nyata jelas wajib ke atas individu yang berasa tidak yakin dapat menghindari dosa zina tetapi ia masih bersyarat di mana lelaki berkenaan mampu menyara rumah tangga (seperti mahar dan nafkah isteri).

Di sini ada sebab ibu saudara melarang, mungkin kerana dia khuatir seandainya nanti saudara gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami yang memerlukan saudara memberikan nafkah kepada bakal isteri sedangkan pada masa yang sama, saudara masih berstatus pelajar.

Untuk itu, jika saudara masih berhasrat mengahwini pasangan, berbincanglah dengan keluarga.

Pujuk dan pohon sokongan kerana tanpa ibu bapa, Dang Setia bimbang berkahwin tanpa restu, keredaan dicari bertukar kepada bahana terhadap diri sendiri.

Selain itu, komitmen kahwin ketika belajar tanpa sokongan keluarga dibimbangi hubungan itu bertahan separuh jalan. Saudara yang tiada sumber pendapatan agak bermasalah menampung perbelanjaan bakal isteri.

Jika gagal dan saudara mahu kekal bahagia bersama pasangan, adalah lebih baik mengekalkan jarak selamat.

Kurangkan kekerapan perjumpaan bersama pasangan. Bertemu dengannya hanya ketika ada muhrim supaya dapat mengelak daripada pergaulan melampaui batasan.

No comments:

Post a Comment