SAYA anak bongsu daripada empat adik-beradik. Ayah sudah meninggal dan saya duduk serumah dengan mak serta adik beradik yang lain termasuk kakak ipar. Di sini bukan saya nak menjatuhkan air muka kakak ipar, cuma saya ingin luahkan rasa sakit hati dengan sikapnya.
Dang Setia, abang sulung saya seorang yang pendiam. Sejak dia berkahwin dengan kakak ipar, segala urusan di rumah terganggu dan dia pula seperti dikawal oleh kakak ipar saya.
Kakak ipar sering duduk dalam bilik saja apabila tetamu datang ke rumah. Dulu kakak ipar saya tidak bekerja, kini dia sudah bekerja dengan syarikat swasta.
Dia sering menjadikan alasan sibuk bekerja sebagai alasan dia tidak dapat menghadiri majlis dianjurkan oleh keluarga mahupun saudara-mara.
Ini menyebabkan ada saudara-mara kecil hati dan tidak lagi mengunjungi rumah kami kerana sikapnya. Sedangkan jika majlis sebelahnya, abang tidak pernah gagal menghadirinya. Geram saya melihat sikapnya yang seolah-olah dominan terhadap abang.
Hal di rumah pula, mak saya yang urus segala-galanya. Daripada kerja mengemas rumah hinggalah memasak, emak saya masak sendiri. Kakak ipar sedikit pun tidak membantu, sedangkan emak juga bekerja.
Saya simpati melihat emak membuat kerja rumah seorang diri dan hanya berpeluang membantunya ketika hujung minggu kerana saya tinggal di asrama. Baru-baru ini, saya balik ke rumah dan melihat baju kering tidak berlipat seminggu terbiar atas kerusi.
Hendak diharapkan adik beradik lain, semuanya lelaki dan ada antara mereka makan hati dengan sikap kakak ipar saya. Apatah lagi ibu saya yang mengharapkan kakak ipar saya boleh membantu dirinya.
Bagaimanakah cara menegur kakak ipar yang tidak begitu mesra dengan keluarga saya.
Irma Syaza
Kuala Lumpur
Jangan cepat melatah sebaik melihat kakak ipar sering mengasingkan diri dan tidak membantu ibu adik. Menunjukkan rasa marah dan kurang senang dengan sikapnya lebih mengundang ketegangan antara adik dan dia.
Dang Setia berasa lebih elok adik memainkan peranan menjadi perantara antara kakak ipar dan keluarga. Ini kerana adik satu-satunya saudara mahupun anak perempuan tunggal membolehkan adik bergaul mesra dengan kakak ipar.
Kemungkinan sikapnya berpunca daripada perasaan janggal dalam menyesuaikan diri sebagai menantu mahupun ipar duai ketika ini.
Ditambah pula dia menantu tunggal yang dikelilingi adik beradik lelaki, menyebabkan dia kekok bergaul mesra dengan saudara lain. Manakala sikap abang adik yang pendiam tidak membantu dia berasa selesa untuk beramah mesra dengan keluarga adik.
Oleh itu, adik perlu bijak mencari alasan serta mencipta butir bicara yang dapat membantu adik dan dia berbual mesra. Sebaik dia gembira dan berasa dirinya dihargai, dia pasti bermurah hati untuk membantu adik dan keluarga.
Selain itu, pelawa dia menyertai setiap aktiviti keluarga. Kemungkinan dia beranggapan adik dan keluarga seperti tidak bersungguh menjemputnya menyertai majlis anjuran keluarga menyebabkan dia berasa jauh hati.
Malah, adik boleh berkongsi pendapat bersama ibu dalam menegur sikap abang yang lebih gemar berdiam diri supaya menegur kelakuan isteri. Teguran itu perlu menggunakan ayat yang sesuai dan berhemah supaya ia dilihat sebagai teguran positif. Biarlah peranan menegur dilakukan ibu agar ia mudah diterima.
No comments:
Post a Comment