SAYA pelajar institusi pengajian tinggi swasta dan kini di tahun keempat pengajian. Saya mempunyai kekasih, A dan kami mula berpasangan empat tahun lalu. A teman wanita yang baik serta anak orang berada.
Saya pula berasal daripada kampung di utara Semenanjung. Saya dan A sering keluar bersama pada hujung minggu seandainya masing-masing tiada kuliah.
Namun kami berbeza taraf kerana dia gemar pergi ke restoran berkelas tinggi dan tidak selesa makan di warung serta kedai makan biasa.
Saya pula gemar ke kedai biasa. Saya juga tidak selesa mengikutnya membeli-belah kerana caranya berbelanja benar-benar menakutkan saya.
Saya menjadi tidak yakin pada diri setiap kali kami keluar apabila melihat caranya berbelanja. Tambah merunsingkan lagi apabila memikirkan, adakah dia sesuai menjadi pasangan hidup.
KURT
Pulau Pinang
Tentu kekok seandainya enggang terbang bersama pipit, begitu juga keadaannya jika beras dan antah ditanak sekali, nasi dihasilkan tidak enak dimakan.
Itu antara perumpamaan menggambarkan situasi saudara berkasih dengan gadis yang punya kedudukan kewangan mahupun taraf hidup lebih tinggi berbanding saudara.
Pada mulanya mungkin ia bukan perkara sukar, tetapi sebaik berperanan sebagai ketua keluarga dan dia menjadi isteri, saudara pasti berdepan situasi sukar untuk memenuhi keperluan serta permintaannya.
Untuk itu, perkara pertama saudara perlu lakukan ialah menasihati pasangan supaya belajar mengawal perbelanjaan.
Saudara perlu ingatkan pasangan, saudara tidak mungkin mampu menanggung jika dia kekal dengan gaya hidup sedemikian sebaik berkahwin kelak.
Cuba uji dengan mengajaknya ke gerai makanan biasa serta mengingatkan dia supaya belajar berjimat cermat kerana saudara tidak yakin boleh menanggung dirinya yang biasa hidup senang.
Andainya dia kekal dengan gaya hidup sekarang dan sukar mengamalkan gaya hidup sederhana, saudara dan dia perlu curi masa berbincang dengan hala tuju hubungan supaya dia mahupun saudara tidak kecewa kelak.
No comments:
Post a Comment