Jika saya tidak membengkokkan zakar ketika masturbasi, saya tidak akan berasa sakit selepas ejakulasi. Apa yang saya tahu, lelaki boleh melakukan banyak stail ketika melakukan masturbasi atau hubungan seks.
TINDAKAN saudara membengkokkan zakar ketika onani boleh menimbulkan kecederaan serius pada batang zakar saudara. Ketika zakar menegang, darah akan memenuhi ruang dalam tisu corpora cavernosa iaitu dua struktur yang berbentuk tiub yang juga struktur utama dalam batang zakar.
Kedua-dua struktur ini dibaluti dengan satu lapisan tisu yang dikenali sebagai tunica albuginea. Fungsi lapisan ini adalah untuk mengekalkan darah dalam corpora cavernosa dan ia juga untuk membolehkan batang zakar menjadi keras.
Dalam keadaan zakar yang tegang, lapisan tunica albuginea ini akan menjadi tersangat nipis. Apa yang boleh berlaku ialah jika saudara kerap membengkokkan zakar ketika masturbasi, lapisan tunica albuginea boleh koyak.
Apabila koyak, darah akan mengalir keluar dari ruang corpora cavernosa dan memenuhi kawasan di bawah permukaan kulit. Batang zakar juga tidak akan menjadi tegang lagi akibat kebocoran darah dari ruang corpora cavernosa. Keadaan ini dikenali sebagai ‘patah’ batang zakar atau Fracture Penis.
Fracture penis ini sering terjadi ketika mastubasi, tambah lagi apabila seseorang itu gemar membengkokkan zakar pada sudut yang tertentu. Ia juga boleh berlaku ketika persetubuhan terutama apabila tusukan batang zakar ke dalam vagina berlaku pada sudut yang tidak normal atau zakar tiba-tiba terbengkok ketika tusukan.
Sering kali sebelum ianya berlaku, seseorang lelaki akan mendengar bunyi crack diikuti dengan sakit pada batang zakar. Batang zakar akan terus menjadi lembik dan akan menjadi bengkak serta berwarna kebiruan.
Fracture penis ini perlu dirawat secara pembedahan kecemasan. Ketika pembedahan, pakar urologi terpaksa mencari tempat di mana koyakan berlaku dan tempat itu perlu dijahit semula.
Jika tidak dirawat, batang zakar sukar untuk mendapat ketegangan akibat dari kebocoran darah. Pada jangka masa panjang, kawasan itu akan ditutupi tisu parut yang akan menyebabkan batang zakar menjadi bengkok ketika tegang.
Kecederaan pada saluran urethra juga boleh berlaku bersama-sama dengan fracture penis. Selain dari fracture penis, tabiat saudara membengkokkan batang zakar ketika masturbasi boleh menyebabkan pembentukan tisu parut pada batang zakar. Pembentukkan tisu parut ini boleh menyebabkan batang zakar bengkok ketika ereksi dan pada kes yang teruk, penetrasi tidak dapat dilakukan.
Janganlah saudara terpengaruh dengan aksi filem porno. Sudah semestinya pelbagai aksi digayakan untuk menarik perhatian penonton. Anggapan bahawa membengkokkan zakar semasa masturbasi boleh menambahkan keseronokan adalah ilusi semata mata.
Ini kerana sarat-saraf yang memberikan sensasi ketika masturbasi atau hubungan jenis ada banyak di kepala batang zakar, bukannya pada batang zakar.
Jika saudara berminat untuk mempelajari pelbagai teknik dalam hubungan seks suami isteri, ada banyak buku di pasaran mengenai teknik berkenaan. Usah gunakan video lucah sebagai sumber rujukan.
Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
No comments:
Post a Comment