KETIKA mengenali suami, dia kerap bersumpah sebaik saya mempersoalkan kejujurannya.
Malah, dia turut menasihati saya supaya jangan percaya cakap orang luar.
Saya bagai hidung dicucuk tali dan hanya menyangkal segala khabar mengenai perilaku liarnya di luar, meskipun disampaikan oleh rakan sendiri.
Malah, saya cuba melupakan setiap cerita didengari kerana kami semakin menghampiri tarikh nikah ketika itu. Aneh pula, kian menghampiri tarikh bersejarah itu, semakin banyak hal buruk mengenainya saya temui.
Antaranya, saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa pernah bercinta dengan tunang saya.
Dia bersungguh-sungguh menasihati supaya membatalkan rancangan berkahwin dengannya.
Menurutnya, tunang (suami) saya kaki perempuan dan tidur bersama wanita yang menjalin hubungan dengannya adalah perkara biasa.
Malah, tunang saya menggunakan paras rupanya yang kacak sebagai taktik memikat mangsa yang kebanyakannya berumur jauh lebih muda.
Sebaik berkenalan, dia mengajak pasangan melakukan hubungan seks dan sering mengikis wang mangsanya.
Saya hairan kerana sepanjang kami bersama, dia tidak menunjukkan tanda sedemikian. Saya bingung dan tertekan tetapi masih meneruskan pernikahan.
Anggapan saya dia akan berubah kerana sebaik berkahwin, ternyata dia bertanggungjawab dan sangat menyayangi saya. Tidak lagi keluar tanpa tujuan dan menghabiskan masa di rumah bersama saya jika sama-sama bercuti.
Namun tabiatnya yang gemar melayari laman sosial, masih seperti dulu. Sekarang dia mula berahsia dan kerap menyorokkan telefon bimbitnya. Dia sangat takut kalau saya memegang telefon bimbitnya.
Baru-baru ini, perbuatan nakalnya terbongkar kerana saya menemui perbualan berbaur lucahnya dengan seorang janda anak satu dan mereka berjanji bertemu di satu tempat.
Lebih melukakan, saya menjejaki suami menerusi ‘finder’ dan memang dia menemui kekasih gelapnya di tempat berkenaan.
Saya benar-benar terluka dan tidak pasti mahu terus bersama dengannya lagi.
LIEN
Kepong, Kuala Lumpur
Besar sungguh dugaan puan kerana mempunyai suami yang gemar menjalin hubungan dengan wanita lain. Malah karakter suami berbeza ketika bersama puan berbanding apa dinyatakan rakan puan dan mereka yang mengenalinya.
Sudah tentu ia tamparan hebat buat puan yang ternyata setia dan percayakan dirinya. Malah puan berdepan perasaan dikhianati oleh pasangan. Ini bukan saja melukakan hati, dibimbangi ia memberi tekanan kepada puan.
Pertama sekali, puan perlu beristighfar supaya perasaan marah tidak menguasai diri, selain dapat menangani perlakuan suami dengan tenang.
Jangan mengikut telunjuk amarah kerana puan boleh membuat pertimbangan yang salah mahupun memilih jalan yang mempunyai pengaruh dendam.
Kemudian, puan perlu bersemuka dan berbincang daripada hati ke hati dengannya kerana tindakan dia bukan saja melukakan hati puan, tambahan menjurus kepada perlakuan zina.
Selaku isteri, wajar puan menasihati dan memperingatkan diri suami mengenai tabiat buruknya.
Islam melarang keras hubungan zina, terutama di kalangan pasangan berkahwin, kerana hukumnya lebih berat. Dijelaskan menerusi al-Quran, hukuman bagi penzina sudah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.
Andainya dia menafikan semua perlakuan, puan perlu bersedia kemukakan bukti seperti mesej mahupun menangkap dia ketika dengan pasangan supaya puan tidak dilihat membuat tuduhan melulu mahupun cemburu buta.
Selain itu, pohon kepada Allah supaya jodoh puan dipanjangkan dan sikap ‘biang kucing’ suami akan berakhir, insya-Allah.
Namun, jika dia masih kekal dengan tabiat kaki perempuan, mungkin puan perlu pertimbangkan sama ada mahu terus bertahan atau membawa haluan sendiri.
No comments:
Post a Comment