SAYA berusia 38 tahun dan sudah memiliki empat orang anak. Anak bongsu saya sudah pun berusia lima tahun. Saya fikir, keluarga saya sudah lengkap dan isteri saya pun sudah tidak mahu mengandung lagi.
Saya ada terbaca mengenai pembedahan pemandulan lelaki. Boleh kiranya doktor jelaskan mengenai pembedahan ini.
Ayah Anak Empat
Jawapan:
SAUDARA, pembedahan pemandulan lelaki dikenali sebagai vasektomi. Ia adalah teknik pemandulan kekal. Selepas pembedahan ini, seseorang lelaki tidak akan mempunyai sperma dalam air mani selepas ejakulasi.
Ketika pembedahan ini, saluran vas deferens iaitu saluran yang membawa sperma dari buah zakar akan dipotong dan diikat. Ini akan menghalang sperma dari bercampur dengan air mani yang akan keluar semasa ejakulasi.
Tanpa kehadiran sperma, telur wanita (ovum) tidak akan dipersenyawakan walaupun pancutan air mani dilakukan ke dalam vagina .Selepas pembedahan ini, kedua-dua buah zakar akan terus menghasilkan sperma tetapi oleh kerana ia tidak boleh dikeluarkan, ia akan diserap kembali ke dalam badan.
Secara lazimnya, beberapa bulan selepas pembedahan diperlukan untuk membolehkan semua sperma diserap ke dalam badan. Oleh itu, dalam tempoh ini, saudara perlu menggunakan teknik kontrasepsi seperti kondom ketika bersetubuh.
Ujian air mani kemudian akan dilakukan untuk memastikan tiada sperma dalam air mani saudara. Bagaimanapun, saudara perlu faham bahawa walaupun tiub vas deferen sudah diikat, saudara masih lagi mempunyai ejakulasi air mani yang normal kuantitinya.
Ini adalah kerana sebahagian besar dari air mani datang dari kelenjar prostat dan kelenjar seminal.
Pembedahan vasektomi ini boleh dilakukan secara pesakit luar. Ini kerana ia adalah pembedahan ringkas dan menggunakan bius setempat saja. Pembedahan ini mengambil masa selama 20 ke 30 minit.
Ketika pembedahan ini:
Untuk makluman saudara, pembedahan vasektomi ini boleh dilakukan oleh pakar bedah dan pakar urologi.
Selepas pembedahan, saudara akan merasa kebas pada bahagian kerandut zakar selama sejam hingga dua jam. Saudara dinasihatkan supaya berehat untuk keseluruhan hari.
Seluar dalam yang dapat menyokong kerandut zakar perlu dipakai untuk membantu melegakan kesakitan. Saudara juga mungkin dapat melihat sedikit kebengkakan pada kerandut zakar. Namun, bengkak ini akan hilang dalam masa beberapa hari.
Saudara boleh mula bekerja selepas sehari atau dua hari. Namun, kerja-kerja berat tidak boleh dilakukan sehingga seminggu. Hubungan seks boleh dimulakan selepas seminggu tetapi seperti yang saya terangkan, saudara mungkin masih boleh menyebabkan isteri saudara hamil.
Jadi, saudara perlu membuat pemeriksaan air mani terlebih dulu sebelum melakukan hubungan seks dengan tidak memakai kondom. Pemeriksaan air mani ini selalunya akan dilakukan dua bulan selepas pembedahan (atau saudara boleh melakukan ejakulasi sebanyak 10 hingga 20 kali untuk membuang sperma yang sedia ada dari air mani)
Pembedahan ini tidak akan menjejaskan libido saudara. Ia juga tidak akan menjejaskan ereksi atau orgasma saudara. Ianya juga tidak akan menjejaskan pancutan air mani.
Kebaikan pembedahan vasektomi:
Keburukan pembedahan vasektomi:
Saya harap saudara sudah mendapat sedikit gambaran mengenai pembedahan vasektomi. Fikir masak-masak dan berbincang dulu dengan isteri sebelum saudara mengambil keputusan menjalani pembedahan ini.
Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras
No comments:
Post a Comment