Sunday, 22 January 2012

Suami layan Isteri seperti musuh

SAYA berumur 27 tahun dan mempunyai anak berusia tiga bulan. Masalahnya, suami saya kaki pukul dan panas baran, pantang ada yang tak kena pada pandangannya, dia pasti memaki hamun dan memarahi saya.

Saya tertekan dengan keadaan begini. Banyak kali saya berbincang hal ini dengan suami dan dia memang boleh dibawa berbincang pada mulanya tetapi tetap mengulangi sikap barannya.

Kalau marah, dia menjadi tidak rasional hinggakan saya dan anak menjadi mangsa. Sebaik puas hati dan kemarahannya reda, suami meminta maaf daripada saya.

Hati saya hancur dengan keadaan begini, sebagai isteri saya hendak disayangi dengan kasih sayang dan dilayan dengan lemah lembut, namun saya sering disakiti.


Ada juga terkeluar daripada mulut saya meminta dilepaskan jika sudah benci kerana dia akan melayan saya tak ubah seperti seorang musuh ketika dalam keadaan marah.


Namun suami tak mahu lepaskan saya kerana masih sayang. Sayang apakah ini, Dang Setia? Jika sayang, kenapa saya dikasari secara mental dan fizikal?

Suami juga kuat cemburu, sampaikan saya tidak boleh menegur atau ditegur dengan kawan lelaki sepejabat. Pernah suami memaki hamun saya kerana rakan sepejabat senyum dan tegur saya.

Kadangkala saya berasa takut terserempak dengan rakan sepejabat lelaki jika bersama suami. Suami juga melarang saya bercakap dengan rakan lelaki sepejabat, dan mendoakan saya dilaknati Allah jika melanggar arahannya.

Masalahnya Dang Setia, saya kadangkala perlu bekerjasama dengan lelaki sepejabat demi memenuhi tuntutan tugas. Bantulah saya Dang Setia, saya betul-betul buntu. Saya kasihan dengan anak yang masih kecil terpaksa mendengar kami bertengkar.

ZIMIE
Melaka



Saling memekik dan menggunakan perkataan tidak baik mungkin adegan biasa dalam pertelagahan suami isteri, terutama yang membelakangi agama.

Tidak cukup dengan perkataan menyakitkan hati dan ekspresi muka yang tegang, ada pula lebih gemar menggunakan tindakan kasar sehingga mencederakan pasangan.

Bagaimanapun, terlalu kerap dicederakan dan dipukul bukan lagi perkara normal, puan perlu lihat ia sesuatu yang serius.

Tujuan Dang Setia bukan untuk menghasut tetapi sebagai langkah awal bagi puan melindungi diri dan anak. Memang gambaran puan mengenai suami menunjukkan dia tidak rasional dan perlu mendapatkan pandangan profesional.

Sebagai langkah awal, antaranya puan boleh merujuk corak kelakuan serta sifat luar biasa suami dengan pakar psikiatrik mahupun psikologi.

Pertemuan dengan pihak berkaitan bukan bermaksud gila atau kurang waras, tetapi lebih kepada membantu suami menangani penyakit panas barannya dan cemburu yang keterlaluan.

Dia pasti mendapat saranan betul bagaimana mengawal perasaannya. Mungkin awalnya dia akan menentang cadangan itu.

Puan perlu bijak menangani dan memujuknya supaya rumah tangga dapat diselamatkan andai puan masih sayang padanya.

Selain itu, puan perlu sentiasa memohon kepada Allah supaya dilembutkan hati dan selalu amalkan pembacaan surah seperti Al-Kauthar dan Taha yang dikenali penawar menyejukkan hati.

No comments:

Post a Comment