Sunday, 22 January 2012

Tangani ibu mentua dengan bijak

SAYA baru melangsungkan perkahwinan bersama jejaka pilihan hati dan kini bahagia bersamanya. Di sebalik perkahwinan membahagiakan, saya terganggu dengan sikap ibunya yang suka lepas cakap.

Apa saja yang tidak elok pada pandangannya, dia akan membebel dan membuat pelbagai tuduhan. Oleh kerana saya tinggal dengannya, saya terpaksa telan semua perkara buruk yang dilemparkan terhadap saya.

Tuduhan mengatakan saya malas, pengotor dan kerap menjaja cerita palsu mengenai saya kepada jiran membuatkan orang di sekeliling saya memandang serong. Namun saya diamkan saja.

Disebabkan tidak tahan, saya mengadu kepada suami tetapi tidak diendahkan kerana dia tidak pernah mendengar ibunya memarahi saya.


Tidak dinafikan ketika suami ada, layanan ibunya lebih baik berbanding ketika dia bertugas di luar. Adakah ibu mentua cemburukan kebahagiaan saya bersama suami?


IZMA
Cheng, Melaka




Sebaik puan mengusulkan permasalahan, terbayang di fikiran sketsa mahupun adegan drama yang dimainkan di televisyen menjadi paparan realiti kehidupan.

Tidak dinafikan, hubungan antara menantu, terutama perempuan, dengan ibu mentua bagaikan persaingan dua wanita yang cuba meraih perhatian seorang lelaki, iaitu suami puan.

Seharusnya, sebelum perkahwinan, puan perlu jelas bagaimana hubungan suami dengan ibunya. Tentukan perkara yang menjadi punca mengapa dia bersikap sedemikian terhadap puan. Dengan itu, puan dapat memahami dan menemui cara untuk menangani ibu mentua.

Kadangkala kehadiran menantu perempuan antara dirinya dan anak lelaki menzahirkan persepsi negatif di mana peranannya bakal diambil alih.

Secara tidak langsung, dia akan berasa kehilangan kerana tumpuan anak lelakinya banyak beralih kepada isteri berbanding dirinya.

Terutama, puan yang tinggal sekali akan memperlihatkan kesan langsung terhadap dirinya setiap kali suami memberi lebih perhatian kepada puan.

Dang Setia sarankan puan menggunakan pendekatan lebih lembut dengan meluahkan perasaan serta berbincang dengannya.

Di samping itu, nyatakan padanya puan menghormati dan menyanjungi dirinya seperti ibu sendiri.

Kerap berbual dengannya dan cuba ambil hatinya dengan membuat perkara remeh seperti membelikan barang disukainya. Secara tidak langsung, puan menunjukkan kepadanya puan menghargai dirinya.

No comments:

Post a Comment