SAYA sering dibelenggu pelbagai jenis masalah menyebabkan saya berputus asa dengan kehidupan sendiri.
Kini masalah paling utama ialah hubungan saya dengan teman lelaki. Saya mengenalinya sejak di universiti lagi. Hubungan kami menjangkau lapan tahun ketika ini.
Saya dan dia pernah hampir bertunang tetapi dibatalkan kerana keluarganya tidak merestui hubungan kami. Saya dan dia menggunakan pelbagai cara untuk memenangi hati keluarganya, tetapi semuanya berakhir dengan penolakan.
Setiap kali saya berusaha mencari jalan supaya keluarganya akur dengan hubungan kami, setiap itu juga mereka mencipta alasan untuk tidak menerima saya.
Akhirnya kekasih saya menyebelahi keluarganya dan berputus asa dengan hubungan kami.
Saya cuba memujuknya supaya meneruskan majlis pertunangan serta melangsungkan perkahwinan kami dalam masa terdekat. Dia bukan saja tidak mempedulikan permintaan, malah memarahi saya.
Saya benar-benar buntu. Perlukah saya melepaskan hubungan ini, sedangkan keluarga saya tahu hubungan kami?
ZAI
Pantai Remis, Selangor
Satu laman halaqah pernah berdiskusi mengenai tujuan perkahwinan memperoleh ketenangan. Malah, ia pernah disebut di dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman bahawa: “Dan di antara tanda kebesaran Allah itu Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Namun melihat permasalahan adik, Dang Setia tidak pasti ketenangan itu mampu diperoleh lepas lapan tahun adik dan pasangan berusaha meyakinkan keluarganya.
Pasangan adik juga seakan-akan sudah buntu dan tidak mahu meneruskan hubungan. Mungkin ini petanda kehidupan bersamanya bukan lagi ketenangan atau dalam erti kata lain, jodoh adik mungkin bukan dengannya.
Terlalu mendesak dan memaksa meneruskan hubungan terhalang dibimbangi akan memberi kesan kepada adik seandainya penolakan itu masih berterusan selepas adik mengahwininya.
Pasangan yang berputus asa tidak boleh lagi menjadi sandaran harapan dan akhirnya adik menanggung bebanan.
Pada pandangan Dang Setia, adik cuma ada dua pilihan, iaitu terus setia dan menderita dengan pasangan yang akur dengan penolakan keluarganya, atau melupakan dia lalu mencari jodoh baru.
Andai yang kedua pilihan adik, tanamkan tekad untuk terus melupakan dia serta cuba mendapat sokongan keluarga supaya adik tidak berasa kehilangan.
No comments:
Post a Comment