CEPAT betul masa berlalu, pejam celik sudah masuk tahun baru. Ini bermakna bertambah setahun lagi umur kita dan tanpa disedari, anak kita juga mula menjengah usia remaja.
Pun begitu kebanyakan ibu masih berasa kurang selesa untuk bercakap mengenai akil baligh dengan anak terutama anak perempuan walaupun tahu ia sangat penting. Biasanya perkara ini hanya dibincangkan apabila anak datang haidSoal jawab bersama Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Nik Hazlina Nik Hussin, diharap dapat membantu meningkatkan pengetahuan anda mengenai perkara ini supaya anda boleh berkongsi ilmu dengan anak gadis atau sekurang-kurangnya menjawab persoalan yang berkaitan dengan akil baligh.
Bilakah masa terbaik untuk bercakap dengan anak mengenai akil baligh?
Lebih cepat ia dibincangkan, lebih baik. Akil baligh yang juga dirujuk sebagai perubahan seksual sekunder yang membabitkan pembesaran payudara, pertumbuhan bulu di ketiak dan di kawasan genitalia (kemaluan), peningkatan ketinggian dan juga kedatangan haid (menstruasi) tidak berlaku secara serentak pada semua gadis.
Ia biasanya berlaku seawal umur lapan tahun, tetapi ada juga gadis yang lewat baligh iaitu pada usia 14 tahun. Walaupun tidak nampak perubahan luaran yang ketara, sebenarnya seseorang gadis sedang menjalani perubahan fisiologi, endokrin serta anatomi dalaman lain. Inilah sebabnya ibu disarankan untuk belajar dan memahami bagaimana serta mengapa perubahan ini berlaku. Malah berdasarkan perubahan ini juga kedatangan haid boleh dijangka.
Mungkin perubahan pertama bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar. Kawasan yang gelap di sekeliling puting mula membengkak, bentuk payudara akan lebih bulat serta menjadi padat dan berat. Mungkin juga seseorang gadis berasa tidak selesa pada kedua-dua ataupun sebelah payudara.
Namun, tidak perlu runsing kerana ini adalah normal untuk peringkat awal perkembangan. Kematangan hormon juga akan menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis di mana ovarinya kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan (ovulasi). Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.
Secara kesimpulannya, perbincangan tidak formal berkenaan perkembangan seseorang anak gadis itu sepatutnya bermula pada peringkat yang lebih awal lagi, mungkin seawal umur tujuh atau lapan tahun. Maksudnya, perbincangan ini dimasukkan dalam perbualan harian bersama anak gadis dari semasa ke semasa dan bukanlah selepas mereka mengalami haid yang pertama.
Bagaimana hendak memulakan perbualan mengenai topik ini?
Topik akil baligh ini perlu dimasukkan dalam perbualan harian secara tidak formal. Anda boleh berbual mengenainya ketika sedang melakukan aktiviti bersama anak gadis.
Mungkin seseorang ibu dan anak gadisnya akan merasa agak kekok jika perbualan berkenaan dilakukan secara formal. Perbualan mengenai topik ini mungkin boleh dimulakan dengan menggunakan pemerhatian daripada orang di sekeliling, contohnya saudara sepupu perempuan, anak perempuan yang lebih tua atau rakan sebaya mereka.
Seseorang ibu tidak sepatutnya mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah yang paling berhak untuk memberikan pemahaman jelas kepada anak gadis anda. Ini kerana ia membabitkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi, malah keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi ibu perlu berada di sisi anak dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri.
Pada masa sama, anda akan melihat perubahan emosi anak. Ada sesetengah ibu bapa tidak faham mengapa anak mereka mula berubah ‘perangai’. Jangan bimbang, ia adalah disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula seawal umur 10 hingga 12 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.
Usah mengelak daripada berkomunikasi dengan anak remaja mengenai topik tabu yang anda anggap tidak wajar dibincangkan. Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik intim seperti seks, pergaulan dan kontrasepsi (pencegahan kehamilan).
Komunikasi terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga. Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.
Memberikan ruang kepada anak gadis kita berbicara dengan ibu mengenai seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks. Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada anak kesayangan anda membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka. Tiada apa yang hendak dimalukan. Ibu dan anak adalah perempuan, jadi perbincangan seharusnya lebih mudah.
Adakah topik ini boleh dibincangkan secara berkumpulan (bersama anak perempuan yang lain) atau bersendirian?
Ada sesetengah ibu berpendapat ia lebih baik dibincangkan secara bersendirian untuk mengelakkan rasa malu.
Boleh berbincang secara berkumpulan atau bersendirian, tertakluk kepada perangai dan sikap seseorang anak gadis anda. Ada anak gadis yang suka menyendiri dan mudah malu dan ada yang boleh menerimanya secara terbuka. Bagi anak gadis yang pemalu, eloklah berbincang dan memberi penerangan secara bersendirian.
Bagi anak gadis yang berperangai sebaliknya pula mungkin tidak kisah kalau perkara sebegitu diperbincangkan secara berkumpulan. Pada pendapat saya, perbincangan secara berkumpulan mungkin lebih praktikal kalau ia dijalankan di sekolah bersama guru dan bukannya di rumah bersama ibu. Perbincangan bersama seseorang ibu sepatutnya tidak formal.
Apakah perkara yang perlu dimasukkan dalam perbualan mengenai akil baligh ini?
Peringkat akil baligh boleh mengakibatkan seseorang remaja menjadi tidak keruan. Ada pelbagai perubahan yang menghantui pemikiran mereka seperti kemahuan seks, perhubungan intim dan perubahan fizikal.
Sebagai ibu, amatlah penting untuk kita juga ketahui masalah berkenaan supaya kita dapat membantu merungkaikan kemusykilan anak. Apa yang hendak dibincangkan itu sering kali berhadapan dengan kesukaran bagaimana dan di mana untuk memulakannya. Ibu atau bapa akan berhadapan dengan dilema untuk mengungkapkan kata-kata yang sesuai supaya anak-anak remaja mereka tahu mengenai isu seks dan hubungan intim.
Sukar untuk mengetahui dengan tepat bila seorang anak gadis akan mengalami haid pertamanya. Kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 10 hingga 12 tahun. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.
Berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit. Bagaimanapun, anak gadis ini mungkin perlu mendapatkan rujukan doktor jika kedatangan haid masih tidak teratur, bercelaru dan juga selalu menyakitkan selepas dua tahun.
Seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid di dalam diari ataupun kalendar dan catatkan sebarang masalah ataupun kesakitan semasa haid. Dengan cara begini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya akan datang dan juga julat di antara dua peristiwa haid berdekatan.
Lazimnya julat darah haid adalah di antara 25 hari hingga 35 hari. Namun usah risau jika julat haid berbeza-beza dan hari pertama haid juga mungkin cepat atau lewat berbanding bulan sebelumnya kerana ia adalah perkara biasa.
Untuk mereka yang sudah berkahwin pula, biasanya kelewatan haid dikaitkan dengan kemungkinan mengandung, bergantung kepada tempoh lewat datang haid. Lebih baik sekiranya perancangan awal disediakan sebelum datangnya haid seperti menyimpan tuala wanita di dalam beg sekolah.
Perlu diingat tuala wanita ini perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang terkumpul mungkin menjadi tempat pembiakan yang baik untuk bakteria. Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak. Penggunaan tuala wanita yang diletakkan bau haruman juga tidak digalakkan kerana mungkin menyebabkan berlakunya keradangan pada kulit sekitar kemaluan.
Ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran haid (dismenorea). Mungkin juga kesakitan itu merebak ke bahagian belakang (seperti mereka yang sakit bersalin).
Ada juga keluhan seperti sakit kepala, pening, kekerapan buang air besar, loya dan muntah. Jangan runsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal kehadiran haid. Untuk menghilang masalah serta keluhan ini, anak gadis ini boleh mengambil pil penahan sakit seperti NSAIDs, contohnya ibubrofen ataupun naproxen sodium, bersenam dan meletakkan pemanas seperti bertungku di bahagian bawah abdomen.
Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya dia belum datang haid pada usia 15 tahun, kehadiran haid yang tidak teratur, julat di antara sebelum dan selepas haid kurang daripada 21 hari ataupun melebihi 45 hari, julat haid berlaku selama 90 hari (tiga bulan) walaupun hanya untuk satu kitaran (bukan disebabkan mengandung), kehadiran darah haid melebihi tujuh hari dan sekiranya jumlah pendarahan terlampau banyak sehinggakan tuala wanita perlu ditukar setiap satu hingga dua jam.
Banyak perubahan daripada segi emosi dan juga fizikal akan berlaku pada anak gadis anda. Nasihatkan mereka supaya menjaga pemakanan supaya berat badan ideal dapat dikekalkan. Bersenam serta beriadah mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan serta kesakitan ketika datang haid. Amalkan senaman untuk mengukuhkan jisim tulang, menguatkan otot dan juga mengurangkan kekejangan semasa datang haid.
Akil baligh juga menyebabkan kelenjar di bawah kulit mengeluarkan sebum dan dengan kehadiran sebum yang banyak boleh menyekat lubang-lubang halus menyebabkan berlakunya jerawat. Membasuh muka dengan air ataupun bahan pencuci muka dengan kerap dapat mengurangkan kehadiran sebum di muka dan seterusnya dapat mengurangkan kehadiran jerawat di muka. Jangan biarkan jerawat berlarutan di muka kerana penyembuhan jerawat mungkin meninggalkan parut yang berkekalan.
Apakah perubahan fizikal dan emosi yang berlaku semasa atau selepas baligh?
Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa adalah sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.
Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya. Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak mengorak langkah pertama menjadi seorang wanita.
Anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi.
Bermulanya menjadi seorang gadis, langkah pertama yang perlu difahami ialah perubahan hormon apabila mereka mendapat haid pertama di sebalik perkembangan fizikal yang semakin menonjol.
Penekanan terhadap pendidikan berterusan serta persoalan mengenai isu seks dan perubahan fizikal hidup seorang gadis itu sepatutnya tidak terhenti setakat itu saja. Anak perempuan anda akan menjadi gadis remaja yang mana biologinya tidak lagi seperti kanak-kanak.
Apabila dimatangkan dengan pelbagai maklumat, mereka boleh memahami dan dapat menimbang tara sebarang implikasi dalam tindakan serta bijak memilih dalam bertindak melindungi diri sendiri daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
Usah jadikan budaya masyarakat Asia yang konservatif dalam membicarakan isu ini sebagai penghalang menyampaikan maklumat kepada anak gadis anda. Lebih baik anda yang memecahkan budaya daripada dia mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan atau sumber lain.
Sebagai remaja, keinginan untuk mencuba sesuatu yang dianggap ‘baru’ sangat tinggi, terutamanya melakukan hubungan seks - tanpa berfikir apa yang akan terjadi selepas itu. Inilah sebabnya pengetahuan adalah cara yang terbaik bagi ‘menjaga’ anak-anak perempuan dari sebarang insiden yang tidak diingini.
Bilakah masanya untuk memperkenalkan baju dalam (coli) kepada anak gadis?
Bagi seseorang ibu yang sentiasa prihatin, rasanya perkara ini tidak menjadi masalah yang besar. Kebanyakan anak gadis akan mula mengalami pembesaran payudara dalam lingkungan umur lapan hingga 10 tahun. Pembesaran itu menjadi lebih ketara pada usia 10 hingga 12 tahun. Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkannya kepada anak.
Jika anak malu untuk menyatakan perubahan pada dirinya, apakah soalan yang boleh ditanya oleh ibu supaya perubahan ini difahami dengan lebih jelas?
Kebanyakan anak gadis yang di usia awal baligh agak malu untuk bertanya berkenaan penggunaan coli. Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab ibu memberi perhatian dan memahami setiap perubahan yang dialami oleh anak-anak gadis mereka.
Jika perubahan sudah ada, maka anda hendaklah membelikan coli atau membawa anak gadis anda ke pusat membeli belah. Jangan sesekali menyuruh bapanya membelikan atau menyuruh bapanya membawakan mereka ke pusat membeli belah. Mereka amat sensitif dan malu untuk berkongsi perubahan ini dengan lelaki walaupun lelaki berkenaan adalah bapa sendiri.
Adakah benar kejahilan membuatkan ramai gadis terlalu berani untuk mengadakan hubungan seks tanpa tahu kesannya sehingga melahirkan anak luar nikah?
Menjadi seorang ibu atau bapa adalah satu cabaran hidup yang terbesar. Tetapi ibu bapa kepada remaja belasan tahun mungkin mempunyai tugas yang paling sukar di antara ibu bapa lain. Zaman remaja adalah satu perjalanan daripada zaman kanak-kanak menuju dewasa, daripada bergantung hampir sepenuhnya pada pandangan orang lain kepada bagaimana membuat keputusan yang bertanggungjawab secara berdikari.
Ia boleh jadi satu peralihan yang sukar bagi remaja itu sendiri dan juga ibu bapa mereka, terutamanya dalam masyarakat di mana orang muda setiap hari berhadapan dengan risiko serius yang berkaitan dengan seks, keganasan, penyalahgunaan dadah, alkohol, merokok dan gagal dalam pelajaran - risiko yang biasanya adalah berkaitan antara satu sama lain. Oleh kerana pelbagai risiko yang dihadapi oleh remaja berkait rapat antara satu sama lain, begitu jugalah jalan penyelesaiannya.
Ramai ibu bapa percaya pengaruh mereka terhadap anak sudah lupus sebaik saja mereka mencecah zaman remaja. Rakan dan media nampaknya lebih berkuasa. Tetapi kajian dan pengalaman menunjukkan dengan jelas: ibu bapa adalah penting dalam kehidupan remaja. Remaja belasan tahun memerlukan sokongan, panduan, dan perhatian daripada ibu bapa mereka seperti kanak-kanak juga. Remaja sendiri mengatakan bahawa mereka mahu mendengar apakah cabaran yang dihadapi orang dewasa, walaupun mereka tidak selalunya berlagak seperti demikian.
Ibu bapa memainkan peranan dalam mengembangkan bakat dan kemahiran anak-anak serta memandu mereka ke arah pembesaran yang sihat. Ibu bapa juga boleh membentuk komuniti di mana anak-anak mereka membesar. Nasihat terbaik bagi ibu bapa adalah sama: teruslah mempunyai hubungan yang rapat dengan anak remaja anda. Idea di bawah boleh membantu ibu bapa membuat perubahan dalam kehidupan anak remaja mereka.
Luangkan masa untuk bersama anak
Lebih baik jika anda boleh terbabit sama dalam aktiviti mereka. Anda boleh berkongsi pengalaman kerana ia dapat membina hubungan yang rapat dan mesra. Makan bersama sekerap mungkin. Waktu makan adalah peluang terbaik untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Gunakan masa yang ada untuk berbual, bukannya berbalah. Membaca, menonton televisyen atau wayang, bersukan, melayari internet bersama-sama dan ajak anak untuk terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan.
Bantu anak mendapatkan keyakinan diri
Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh, bukannya diberi. Berikan anak-anak anda peluang untuk belajar kemahiran tertentu. Pujilah mereka atas tugas yang diselesaikan dengan baik, galakkan perkara positif dan tekankan perkara yang dilakukan dengan baik oleh anak anda.
Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara untuk memperbaiki diri; jangan mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik, bukannya ketakutan atau keaiban.
Bantulah anak anda mengenal pasti kelebihan, bakat dan minat mereka. Galakkan mereka terbabit dalam kerja sukarela, menjadi ahli kumpulan belia, kesenian atau sukan. Ini akan membuatkan mereka merasa satu pencapaian, menghubungkan mereka dengan kawan yang positif dan pemimpin dalam kalangan orang dewasa dan juga memenuhkan jadual harian mereka.
Bantu anak memahami bagaimana pilihan hari ini boleh mempengaruhi keseluruhan kehidupan mereka.
Perkenalkan anak dengan orang yang berjaya dalam komuniti dan terangkan apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan. Remaja yang mempunyai matlamat jangka panjang dalam pelajaran atau pekerjaan kurang berkemungkinan untuk merosakkan masa depan dengan membabitkan diri dalam perkara tidak sihat.
Beritahu anak bahawa anda sangat menghargai pendidikan
Babitkan diri dalam pendidikan anak-anak anda dan biarkan mereka tahu bahawa ia sangat penting bagi anda. Terangkan kepada anak bagaimana pelajaran akan membantu mereka pada masa hadapan. Kegagalan dalam pelajaran biasanya adalah tanda-tanda masalah lain. Jika anda mendapati pelajarannya merosot, berbincanglah dengan mereka dan dengan guru-gurunya dengan segera.
Dekati sekolah anak
Ibu bapa sering berhubungan dengan sekolah anak-anak semasa mereka di sekolah rendah, tetapi mula menjauh apabila mereka semakin membesar. Sebaiknya langkah ini diteruskan hingga ke sekolah menengah dengan menyertai Persatuan Ibu Bapa, menawarkan khidmat menjadi tutor, mentor atau penceramah, menghadiri majlis di sekolah anak. Jika anda tidak hadir, anak anda adalah orang yang pertama menyedarinya.
Tahu di mana anak berada dan apa yang mereka lakukan
Buat peraturan yang jelas bagi anak-anak anda mengenai apa yang boleh mereka lakukan dan dengan siapa mereka boleh meluangkan masa dan terangkan kepada mereka mengapa peraturan ini penting. Tetapkan masa untuk balik ke rumah dan jangan benarkan mereka menghadiri parti tanpa ditemani orang dewasa.
Berusaha lebih sedikit untuk mengetahui di mana anak berada pada hari minggu dan selepas waktu sekolah, memandangkan ini adalah waktu ‘zon bahaya’ kerana ia adalah peluang untuk anak terbabit dalam kegiatan berisiko tinggi.
Kenali rakan anak dan keluarga mereka
Rakan mempunyai pengaruh kuat terhadap satu sama lain. Jemput mereka datang ke rumah dan berbual-bual dengan mereka secara terbuka.
Terangkan dengan jelas nilai dan kelakuan yang anda harapkan
Berkomunikasi dengan anak-anak mengenai isu-isu yang sukar adalah lebih mudah jika anda sebagai ibu bapa jelas mengenai perasaan sendiri.
Kebanyakan ibu bapa bimbang dilihat sebagai seorang yang hipokrit, terutamanya jika mereka sendiri terbabit dalam perkara kurang sihat semasa remaja. Kebanyakan remaja mempunyai ‘radar hipokrit’ yang baik. Mereka biasanya cukup sofistikated untuk menyedari bahawa dalam dunia moden yang penuh dengan bahaya seperti Aids, senjata automatik dan bahaya-bahaya lain, standard yang baru adalah perlu.
Jadilah contoh yang baik
Jadilah contoh harian yang terbaik berkaitan dengan nilai-nilai dan standard yang anda harapkan. Tunjukkan kasih sayang, kejujuran, disiplin dan keterbukaan yang anda harapkan daripada anak-anak anda. Jangan jadi ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus.
Beri perhatian kepada anak sebelum mereka mendapat masalah
Program sokongan bagi remaja yang bermasalah adalah baik, tetapi semua kanak-kanak dan remaja dapat memperoleh kebaikan daripada galakan, perhatian dan sokongan. Jangan memfokuskan perhatian kepada mereka hanya apabila ada masalah. Biarkan anak-anak anda tahu bahawa anda berbangga dengan mereka, walaupun kadang kala ia kelihatan seperti bukannya satu perkara yang besar.
Perhatikan tanda yang menunjukkan anak perlukan bantuan
Perhatikan tanda-tanda penyalahgunaan dadah dan alkohol, kegagalan dalam pelajaran, kemurungan dan keganasan. Berikut adalah beberapa klu yang boleh anda perhatikan: banyak masa diluangkan bersendirian dan mengasingkan diri dari keluarga dan rakan-rakan, perubahan yang mendadak dalam prestasi di sekolah, perubahan kelakuan dan pertukaran emosi yang drastik, tidak berminat mempunyai hobi atau beraktiviti sosial atau rekreasi, dan perubahan pilihan rakan-rakan atau mengasingkan diri daripada kawan-kawan lama. Jangan takut untuk masuk campur dan mendapatkan bantuan dari luar. Kebanyakan komuniti mempunyai sumber-sumber bagi membantu ibu bapa membantu anak-anak mereka.
Tahu apa yang ditonton, dibaca dan didengar oleh anak
Adalah tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk menapis bahan yang sampai kepada anak-anak anda. Remaja pun memerlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan. Tonton televisyen atau dengar muzik bersama anak-anak anda dan bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media.
Babitkan diri dalam komuniti
Ibu bapa boleh membuat perubahan dalam kehidupan anak, tetapi ibu bapa tidak boleh menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.
Lebih banyak sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap perkembangan positif remaja, lebih mudah bagi anda menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu bapa. Galakkan pihak sekolah dan organisasi-organisasi lain untuk mengendalikan dan menjalankan kampus yang bebas rokok dan dadah.
Ambil bahagian dalam organisasi-organisasi komuniti yang mempromosikan polisi untuk membantu kanak-kanak dan remaja, seperti menghalang penjualan rokok kepada kanak-kanak atau mengurangkan keganasan dalam masyarakat. Pergilah kedai-kedai yang mempromosikan pilihan-pilihan yang sihat bagi remaja. Bantulah remaja lain dalam masyarakat anda dengan menjadi mentor mereka atau mengambil remaja bekerja di tempat kerja anda.
No comments:
Post a Comment