Sunday, 22 January 2012

Gadis buruan teruna lebih tertarik suami orang

SAYA jatuh hati kepada suami orang yang juga rakan sepejabat dikenali sebagai M. M bekerja di daerah saya manakala isterinya pula guru di negeri lain yang tidak jauh daripada daerah saya.

Hubungan yang terjalin tiga bulan lalu menjadi erat kerana dia pendengar yang baik dan saya berasa diri dihargai. Sedikit sebanyak sikap M yang matang dan pandai mengambil hati membuat saya jatuh hati padanya.

Segala ajakan keluar daripadanya saya terima. Jika sehari dia tidak menghubungi, saya akan tercari-cari. Malah, dia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas saya. Rasa sayang saya padanya semakin menebal.

Begitupun, suatu hari saya dan M bergaduh disebabkan saya mendapati teman rapat saya turut menjalin hubungan dengannya.


Saya mulai sedar saya hanya tempat dia hilangkan kebosanannya. Saya mula menjauhkan diri tetapi M tetap menjejaki saya.


Menyedari kesilapan saya memakan diri, saya memutuskan tidak mahu berpaling kepadanya. Meskipun sukar, saya berusaha mengalihkan perhatian kepada H.

Malah, H sangat baik dan tidak putus asa memikat saya meskipun saya tidak melayan dirinya seperti kekasih. Dia tetap sabar dan melayan saya dengan baik.

Saya mulai rasa bersalah kepada H. Bagaimanapun, perasaan cinta yang mendalam terhadap M membuatkan saya lupa kepada H.

CHUNA
Batu Berendam, Melaka



Tidak salah untuk terus setia andai pasangan dikasihi adalah sesuai dan calon terbaik buat diri. Namun, jangan disebabkan perasaan cinta mendalam kepada seseorang membuatkan adik terlalu buta untuk membezakan di antara kaca dan batu permata.

Buktinya, disebabkan perasaan cinta yang terlalu mendalam, segala kekurangan pada diri M tidak menghalang adik terus menyintainya.

Malah, kesilapannya yang pernah menjalin hubungan intim dengan rakan rapat adik tidak cukup kuat dijadikan alasan untuk melupakannya.

Bagi Dang Setia, segala keburukan terpamer mengenai diri M sepatutnya dilihat sebagai hikmah. Pengalaman pedih itu sewajarnya mengalih perasaan cinta terhadap H.

Cuba beri peluang dan lihat ciri positif pada diri H kerana ia dapat membantu menyuburkan perasaan cinta adik kepada individu lebih baik.

Jangan sesekali membuat perbandingan di antara H dan M kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

Pupuk perasaan dan salurkan perhatian kepada H. Awalnya mungkin nampak seperti adik mempergunakan H tapi dalam situasi lain, keadaan itu dilihat sebagai langkah terbaik melupakan M.

Di samping itu, kaji sejauh mana hubungan adik dan M boleh pergi dengan sikapnya yang tidak jujur.

No comments:

Post a Comment