Sunday, 22 January 2012

Psoriasis kulit kepala datangkan aib


PENYAKIT psoriasis boleh dirawat dengan kemajuan dunia perubatan masa kini.


PSORIASIS merupakan salah satu penyakit kulit yang menjejaskan dua hingga tiga peratus populasi manusia di seluruh dunia.

Separuh daripada dua pertiga daripada pesakit menghidap psoriasis mengalami penyakit psoriasis kulit kepala. Psoriasis kulit kepala ini mungkin menyerang keseluruhan kulit kepala atau menjejaskan bahagian tertentu di kepala.

Seseorang yang menghidap psoriasis menunjukkan tanda-tanda seperti beberapa tompok kemerah-merahan serta bersisik putih berwarna perak selain mempunyai kulit kepala yang mengelupas persis kelemumur.

Jika keadaan ini dibiarkan lama tanpa rawatan, kemungkinan ia merebak ke bahagian dahi, leher atau di belakang telinga adalah tinggi.

Di Malaysia sahaja, ia menyerang satu hingga dua peratus daripada jumlah populasi rakyat negara ini.

Begitupun, pengamal perubatan masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar psoriasis kulit kepala, tetapi ia dikaitkan dengan genetik. Ia juga boleh berlaku kerana perubahan musim, kecederaan pada kulit, stres, alahan pada sesetengah ubat, alkohol dan tabiat merokok.

Walaupun ia tidak berjangkit, ia cukup membuatkan seseorang itu terganggu dengan simptom-simptom seperti pengelupasan berlebihan yang sering disalah anggap sebagai kelemumur teruk oleh sesetengah pesakit.

Pada masa yang sama, ia menyebabkan kegatalan kulit kepala hingga menyebabkan seseorang itu berasa malu seterusnya mengasingkan diri daripada bergaul dengan masyarakat.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengalami psoriasis kulit kepala lebih gemar bersendirian yang akhirnya menyebabkan kemurungan. Lebih teruk, sesetengah pesakit psoriasis mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

“Psoriasis kulit kepala merupakan penyakit kronik tetapi ia boleh dirawat dengan rawatan perubatan efektif.

“Namun begitu, banyak salah tanggapan tentang penyakit ini hinggakan ramai pesakit lambat mendapatkan rawatan kerana menganggap ia kelemumur biasa.


PERUBAHAN tekstur dan warna pada permukaan kulit seperti ini perlu dipandang serius. - Gambar hiasan


“Ada di antara mereka mendapati rawatan sedia ada tidak berkesan sementara ada yang lain menyifatkan ia sebagai beban,” kata Perunding Dermatologi dari Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Gleneagles, Dr. Steven Chow.

Hidup terbatas

Tambah Steven, gaya hidup pesakit psoriasis terbatas kerana beberapa aspek.

“Pesakit perlu memakai topi, menjauhi penggunaan produk rawatan rambut atau pewarna rambut, menahan diri melakukan aktiviti fizikal seperti berenang, mengelakkan diri memakai baju berwarna gelap supaya keruping kulit yang jatuh di baju tidak ketara kelihatan.

“Penghidap penyakit ini menderita dalam diam. Ada pula yang menganggap mereka akan hidup selama-lamanya dengan penyakit itu. Tanggapan itu ternyata tidak benar kerana ia boleh dirawat,” ujarnya sambil memberitahu psoriasis dialami oleh golongan lelaki dan wanita.

Sementara itu, penghidap psoriasis, Patricia Tang, 30 memberitahu, dirinya mula menghidap psoriasis sejak berumur 18 tahun ketika menuntut di kolej.

Bermula di bahagian paha, Patricia mendapati keadaannya seperti luka dan bersisik. Dia kemudian menyedari keadaan yang sama juga berlaku di belakang telinga.

“Sejak lima tahun lalu, ia merebak ke bahagian kaki, tangan dan kulit kepala.

“Ia sedikit sebanyak membataskan aktiviti sosial saya. Hendak keluar perlu pakai baju lengan panjang, seluar atau skirt panjang. Tipulah jika saya tidak malu,” luahnya.

Tambah Patricia, psoriasis juga turut mengganggunya dari aspek emosi iaitu sering berasa rendah diri.

“Aktiviti saya terbatas. Tidak dapat berenang, tidak boleh pakai baju berwarna hitam selain perlu memakai seluar panjang selalu.


PENERANGAN tentang psoriasis dan perubatan terkini disampaikan oleh (dari kiri) Steven, John Koo, dan Pengurus Negara LEO Pharma, Tan Keng Aun.


“Bagi meneruskan kehidupan seperti biasa, saya perlu berfikiran positif dan dalam masa yang sama berkongsi maklumat mengenai penyakit ini kerana ramai orang tidak tahu mengenai psoriasis,” katanya sambil memberitahu kulitnya akan berasa gatal-gatal apabila stres walaupun baru sahaja membasuh rambut.

Penyelesaian terbaharu

Dalam pada itu, bagi menyelesaikan masalah psoriasis kulit kepala, satu ubat alternatif rumusan calcipotriol/betamethasone dipropionate yang mula diperkenalkan baru-baru ini di Malaysia.

Menurut Naib Pengerusi Jabatan Dermatologi, Universiti California, Pusat Perubatan San Francisco, Profesor John. Y. M. Koo, ubat tersebut sangat efektif, cepat bertindak, tidak comot, tidak melekit, senang dibasuh serta tidak mengambil masa yang lama untuk digunakan.

“Ia merupakan gel jenih tanpa bau dan terbukti secara klinikal bagi mengurangkan kemerahan, pengelupasan kegatalan selepas seminggu digunakan.

“Bagi kesan yang optimum, seseorang pesakit itu perlu menggunakannya setiap hari selama empat minggu,” ujarnya.

Ubat gel khas untuk psoriasis kulit kepala ini dibangunkan oleh syarikat penghasilan ubatan dermatologi, LEO Pharma boleh didapati di negara ini dengan saranan daripada doktor berharga RM90 bagi 15 gram.


No comments:

Post a Comment