Sunday 22 January 2012

Elak tersungkur di ranjang asmara

Bahagian Akhir

SECARA ringkas, PE pada asasnya ialah keadaan di mana anda tidak dapat mengawal pancutan air mani semasa seks. Ini menyebabkan kehilangan ereksi (ketegangan zakar), rasa tidak puas hati dan memberikan kesan negatif terhadap hubungan intim.
Walaupun kebanyakan orang menganggap ejakulasi pramatang diukur dari segi masa, isu sebenar bukan tempoh masa untuk mencapai ejakulasi, tetapi perasaan tiada kawalan dan keresahan.
Menurut Pakar Runding Urologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, kegagalan mengawal pancutan ialah suatu isu penting bagi lelaki yang menghidap PE.

Lelaki rasa resah kerana mereka mengalami ejakulasi lebih cepat daripada yang diingini mereka dan ini mencetus tekanan emosi dan minda. Dr Zulkifli menambah, PE juga mengurangkan kepuasan seks dan menyebabkan seseorang mengelak hubungan intim sama sekali, lantas menjejaskan kebahagiaan rumah tangga secara beransur-ansur.

Tinjauan AP PEPA juga mendapati PE boleh menimbulkan masalah besar dalam beribu-ribu perkahwinan dan hubungan peribadi antara pasangan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Hasil kajian menunjukkan Malaysia mempunyai peratus responden paling tinggi yang menyatakan bahawa masa yang lebih panjang akan menambah baik hubungan seks atau hubungan keseluruhan dengan pasangan, berbanding responden dari Indonesia dan Filipina – dan ini satu faktor yang menggalakkan!
Berita Baik! PE boleh dirawat sepenuhnya

SEKS amat penting – kita perlu menyedari hakikat bahawa tanpa seks, hubungan intim antara suami dan isteri pasti terjejas. Isu ini, jika dibiarkan berpanjangan, juga akan memberi kesan negatif kepada maruah diri lelaki dan keyakinannya di dalam dan luar bilik tidur.

Langkah pertama untuk menangani PE ialah mengakui masalah yang anda alami dan menyedari bahawa ia adalah suatu masalah umum yang boleh dirawat.

Kedua, luangkan masa untuk berbincang dengan isteri anda. Anda tidak harus menghadapinya seorang diri kerana masalah ini bukan saja menjejaskan hidup anda tetapi juga hidup isteri anda. Maklum balasnya yang ikhlas mengenai prestasi seks anda akan membolehkan anda memahami keadaan ini dengan lebih baik.

Langkah seterusnya dan yang paling penting ialah berjumpa dengan doktor anda. Dapatkan nasihat doktor yang anda yakini untuk mengesahkan masalah anda serta menentukan pilihan rawatan terbaik bagi anda. Anda berdua digalakkan untuk pergi bersama-sama berjumpa doktor untuk mencari punca masalah.

Sekiranya anda keberatan untuk berbincang dengan isteri, anda boleh meminta pendapat rakan atau ahli keluarga yang boleh dipercayai. Bagaimanapun, langkah paling baik ialah membincangkan masalah keintiman ini dengan isteri anda. Perlu diingat, ini bukan saja membabitkan anda, tetapi juga bertujuan mengekalkan (dan dalam kes yang serius, menyelamatkan) hubungan seks yang memuaskan!

Jika anda melihat tanda-tanda atau mengalami keadaan yang dibincangkan di atas, jangan biarkan masalah ini meranapkan kebahagiaan rumah tangga anda! Luangkan masa untuk berbincang dengan isteri dan dapatkan nasihat doktor.

Pastikan anda tidak tersungkur di ranjang asmara!

INFO: Perbezaan Disfungsi Erektil dan ejakulasi pramatang

Disfungsi Erektil
  • Hubungan seks berakhir dengan pantas
  • Masalah umum dan dialami lelaki di satu peringkat dalam kehidupan – tidak bergantung pada usia
  • Kurang didiagnos, kurang dilaporkan
  • Boleh dirawat dengan ubat PE, psikotherapi , kaunseling dan amalan tingkah laku.

    Disfungsi Erektil
  • Tidak mampu mengekalkan ketegangan zakar
  • Dialami kebanyakan lelaki lebih lanjut usia yang berumur lebih 45 tahun
  • Profil tinggi, mendapat liputan lebih luas
  • Banyak terapi yang sudah mantap, cth implan, supositori, ubat oral dan terapi suntikan.
  • No comments:

    Post a Comment