GLAUKOMA, katarak dan pereputan makular berkaitan umur (AMD) adalah antara penyakit mata kronik yang menjadi punca utama kehilangan penglihatan serius di kalangan mereka yang berusia lebih 40 tahun. Ia juga adalah satu daripada punca buta di kalangan orang dewasa.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui maksud glaukoma secara jelas. Glaukoma adalah kumpulan penyakit yang merosakkan saraf optik mata dan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau buta.
Glaukoma bukan hanya satu penyakit, sebaliknya sekumpulan penyakit yang merosakkan saraf optik. Saraf optik selalunya mengandungi jutaan saraf fiber yang menghubungkan mata dan otak. Ia juga sebahagian daripada retina yang memberi penglihatan.
Glaukoma juga kerap dirujuk sebagai ‘pencuri senyap penglihatan’ kerana ia selalu gagal dikesan pada peringkat awal. Namun, apabila kerosakan terjadi ia sukar dipulihkan.
Pakar Perunding Oftalmologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Chin Pik Kee, berkata tiada simptom pada peringkat awal serangan glaukoma.
“Ini menyebabkan kehadirannya tidak disedari. Apabila ia semakin teruk, penglihatan akan kelihatan turun naik dan jika tidak dirawat penglihatan berkurangan dan akhirnya buta.
“Bagaimanapun, dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan berkala dan rawatan, ia boleh melindungi mata daripada kehilangan penglihatan yang serius,” katanya.
Beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan tekanan mata adalah satu faktor risiko utama bagi kerosakan pada saraf optik.
Tambahnya, bagi mata glaukoma, tekanan cecair di dalam bebola mata meningkat kerana saluran cecair tersekat akibat kerosakan saraf. Bagi mata sihat (normal) pula, pengaliran keluar masuk cecair di dalam bola mata adalah seimbang.
Ramai yang menghidap glaukoma tidak sedar mereka ada masalah ini pada tahap awal. Glaukoma menyebabkan penglihatan bahagian tengah kabur pada tahap lewat saja.
Glaukoma sudut terbuka paling kerap ditemui dan ini terjadi apabila saliran air keluar dari mata menjadi tersumbat, menyebabkan tekanan mata naik sekadar perlahan dan pesakit akan mengalami kehilangan penglihatan dengan perlahan.
Glaukoma sudut tertutup (juga dipanggil akut) jarang dikesan. Dalam keadaan ini, saliran air akan tiba-tiba tertutup dan ini boleh menyebabkan buta jika tidak dirawat dengan cepat.
Biasanya mata yang mengalami serangan akut akan menjadi kemerahan dan sakit. Ini boleh diiringi dengan sakit kepala di bahagian sebelah, kekaburan mata, rasa loya dan muntah.
Rawatan kecemasan diperlukan dan pesakit mungkin akan ditahan di wad. Ubat akan diberi untuk merendahkan tekanan mata, diikuti dengan laser atau pembedahan. Mata sebelah juga diberikan rawatan kerana ada kemungkinan masalah yang sama boleh terjadi.
Terdapat dua jenis lagi penyakit glaukoma iaitu sekunder dan kongenital. Sekunder terjadi disebabkan tekanan tinggi dalam mata kerana masalah mata yang lain.
Glaukoma kongenital pula berlaku apabila kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan di sudut mata yang memperlahankan saliran normal cecair.
Kanak-kanak ini biasanya mempunyai tanda jelas seperti mata mendung, sensitif kepada cahaya dan mengoyak secara berlebihan.
Pembedahan konvensional lazimnya adalah rawatan yang disyorkan kerana ubat-ubatan tidak berkesan dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius di kalangan bayi.
Jika pembedahan dilakukan dengan segera, kanak-kanak ini biasanya mempunyai peluang sangat baik untuk memiliki penglihatan sempurna.
Satu lagi faktor risiko bagi kerosakan pada saraf optik iaitu berkaitan dengan tekanan darah. Oleh itu, penting untuk memastikan tekanan darah berada pada tahap yang baik.
Selain itu, menurut Dr Chin, katarak juga menjadi masalah kesihatan mata yang biasa terjadi di negara ini. Ia bermaksud kekaburan pada lensa dalam mata yang menjejaskan penglihatan. Ia memberi kesan kepada penglihatan dan biasa berlaku di kalangan orang yang lebih tua.
“Berdasarkan laporan yang ditunjukkan Institut Mata Kebangsaan (NIH), apabila menjelang usia 80 tahun, lebih separuh daripada rakyat Amerika mempunyai katarak atau sudah menjalani pembedahan katarak.
“Katarak biasanya terbentuk secara perlahan-lahan. Cermin mata baru, lampu yang lebih cerah, cermin mata antisilau atau gelap dan kanta pembesar boleh membantu pada mulanya.
“Selain itu, memakai cermin mata hitam dan topi antara cara mudah yang boleh menghalang sinaran matahari daripada terus terpancar pada mata bagi membantu melambatkan masalah katarak,” katanya.
Tambahnya, rawatan yang biasa menjadi pilihan adalah pembedahan. Ia membabitkan pembuangan kanta kabur dan menggantikannya dengan tiruan.
Terdapat beberapa jenis katarak selain faktor umur iaitu sekunder, traumatik, kongenital dan radiasi. Katarak sekunder boleh terbentuk selepas pembedahan disebabkan masalah lain seperti glaukoma.
Ia juga boleh terjadi di kalangan mereka yang menghidap penyakit lain seperti kencing manis dan kadangkala ia juga dikaitkan dengan penggunaan steroid.
Bagi katarak traumatik pula, ia boleh terjadi selepas mengalami kecederaan pada mata atau beberapa tahun kemudian manakala kongenital dihidap oleh sesetengah bayi yang dilahirkan dengan katarak dan biasanya berlaku pada kedua-dua mata.
Ia boleh menjadi begitu kecil tanpa menjejaskan penglihatan tetapi perlu dibuang bagi mengelakkan perkara buruk apabila membesar manakala katarak radiasi pula boleh berlaku jika mata terdedah dengan jenis radiasi berbahaya.
Satu lagi masalah berkaitan mata adalah pereputan makular berkaitan umur (AMD). Ia berkaitan dengan masalah penglihatan yang diganggu titik hitam, herot atau kesukaran mengenal wajah orang lain.
Penyakit yang berkaitan dengan usia itu adalah punca utama kehilangan penglihatan rakyat Amerika yang berusia 60 ke atas.
AMD sejenis penyakit yang merosakkan pusat ketajaman penglihatan, biasanya diperlukan untuk melihat objek dengan jelas dan melaksanakan tugas seperti membaca serta memandu.
AMD menjejaskan makular iaitu bahagian mata yang membolehkan anda untuk melihat butir secara terperinci. Ia tidak menyakitkan tetapi menyebabkan sel-sel di makular mati.
Terdapat dua jenis AMD iaitu kering dan basah. AMD kering adalah masalah yang biasa ditemui dalam kes AMD (90 peratus).
Ia terjadi dengan perlahan-lahan dan tidak menyebabkan kehilangan penglihatan serius. Dalam kes AMD kering, sel dan salur darah di bawah makular pecah dan menyebabkan mendapan di belakang mata disebut `drusen’.
Kerosakan ini menjejaskan makular dan keupayaan menghantar isyarat ke otak. Penglihatan tengah secara perlahan-lahan menjadi suram dan kelabu dalam satu jangka tempoh tertentu.
AMD basah kurang berlaku. Ia menyebabkan kerosakan kekal makular dalam tempoh sebulan atau seminggu. AMD basah biasanya berlaku selepas AMD kering. Salur darah yang rapuh dan abnormal tumbuh di belakang mata.
Salur darah ini bocor menyebabkan makular pecah. Ia juga menyebabkan makular berubah daripada kedudukan asalnya menyebabkan penglihatan tengah menjadi herot.
Dalam kes tertentu, AMD dapat dirasai secara perlahan-lahan pada mulanya dengan perubahan penglihatan mereka.
Pemeriksaan mata secara komprehensif yang kerap dapat mengesan AMD sebelum ia boleh menyebabkan anda kehilangan penglihatan. Namun, rawatan hanya boleh memperlahankan kehilangan penglihatan dan tidak memulihkan.
Menurut Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal Pusat Pakar UM Sdn Bhd (UMSC), Profesor Madya Dr Fong Choong Sian, masyarakat harus menyedari kepentingan menjaga kesihatan mata agar mereka tidak kehilangannya.
“Kesedaran awam mengenai masalah ini adalah penting. Mereka yang kehilangan penglihatan mata secara tiba-tiba harus menjalankan pemeriksaan segera.
“Kebiasaannya, golongan yang berumur 50 tahun mempunyai risiko tetapi yang paling berisiko adalah mereka yang mempunyai sejarah keluarga mendapat masalah AMD dan perokok.
“Biasanya, rawatan yang dijalankan adalah untuk AMD basah dengan memberikan suntikan ubat khas yang dipanggil antibodi antiVEGF ke dalam mata.
“Setiap suntikan menelan kos antara RM700 hingga RM4,000 manakala sesetengah pesakit mungkin memerlukan rawatan laser iaitu terapi photodinamik atau pembedahan.
“Disebabkan kos rawatan yang tinggi, masyarakat seharusnya mencegah masalah AMD dengan diet sayur-sayuran hijau, antioksidan dan gaya hidup sihat dengan bersenam, mengawal tekanan darah serta kolesterol yang baik,” katanya yang menasihati masyarakat agar menjaga deria penting untuk meneruskan kehidupan lebih sempurna hingga ke hujung usia pada satu forum sempena kempen kesihatan mata anjuran Focus Point, baru-baru ini.
Melalui kempen berkenaan, turut diadakan pemeriksaan mata percuma kepada pengunjung dan forum perbincangan mengenai masalah mata. Turut hadir pada kempen terbabit, Datuk Seri Ong Tee Kiat.
Fakta:
Glaukoma dikesan melalui pemeriksaan mata komprehensif yang dijalankan seperti:
Ia membantu pakar jika terdapat kehilangan penglihatan periferi yang menjadi tanda glaukoma.
- Pachymetry adalah ukuran ketebalan kornea anda.
Pakar mata menggunakan alat seperti gelombang ultrasonik untuk mengukur ketebalan kornea.
Tanda lazim katarak:
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
No comments:
Post a Comment