PERASAAN kecewa saya sukar dibendung sebaik ibu tidak mempedulikan tindakan adik menghalau saya. Ibu sedikit pun tidak menyebelahi saya apabila saya membela diri kerana tuduhan adik yang tidak berasas.
Adik menuduh saya menggoda suaminya hanya kerana suaminya membelikan sarapan untuk saya. Kami tinggal serumah dan sudah tentu suaminya akan membelikan hidangan pagi tanda menghormati saya sebagai kakak ipar.
Sebenarnya, konflik saya dan adik bermula tiga tahun lalu. Ini kerana suaminya adalah bekas tunang saya. Dalam erti kata lain, dia merampas tunang saya tetapi saya tidak salahkan dia dan menganggap saya tiada jodoh.
Sehingga kini dia tiada cahaya mata dan saya dituduh mengenakan sihir terhadapnya kerana dendam. Saya hanya mampu beristighfar dan meminta dia melupakan kisah saya serta suaminya.
Saya buntu bagaimana untuk memperbaiki semula hubungan kami yang satu ketika dulu terjalin erat.
ARINA
Klang, Selangor
Terminologi ‘paranoid’ mungkin sesuai menerangkan perlakuan adik saudari sehingga menjejaskan hubungan saudari dan dirinya.
Paranoid ialah gangguan psikologi di mana individu yang mengalaminya berasa terlalu curiga dan sering melempar tuduhan tidak berasas serta tindakan luar rasional terhadap individu tertentu.
Tatkala saudari memberi gambaran mengenai sikapnya yang sering menuduh saudari menggoda suaminya hanya kerana membelikan sarapan, terselit elemen gangguan psikologi berkenaan.
Ditambah pula tuduhan di atas kegagalan dia mempunyai cahaya mata sebab saudari mengenakan sihir pada dirinya antara alasan tidak masuk akal.
Oleh itu, jangan ambil hati di atas perlakuannya yang teruk terhadap saudari. Tambahan pula sebelum ini saudari dengannya sangat rapat.
Mungkin berpunca daripada status diri saudari dulunya, ‘bekas kekasih’ suaminya serta tinggal serumah pula, seakan-akan menjadi tekanan yang tidak dapat dikawal lagi.
Justeru itu, Dang Setia sarankan sebagai langkah permulaan, saudari perlu berbincang dan menjelaskan hubungan saudari dengan suaminya sudah berakhir.
Jika ia masih menemui situasi buntu, pujuk ibu mahupun suaminya supaya membawa adik saudari menemui pakar psikologi supaya perasaan paranoid tidak terus membelenggunya.
No comments:
Post a Comment