Sunday, 22 January 2012

Risiko warisi barah prostat

Soalan

SAYA berusia 31 tahun dan bakal mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun depan. Namun, baru-baru ini, bapa saya disahkan menghidap barah kelenjar prostat yang agak kronik iaitu di tahap serius. Malah, beliau masih lagi menjalani rawatan di sebuah hospital swasta ketika ini. Pertanyaan saya, apakah benar saya juga berisiko menghidap penyakit sama? Adakah sebarang cara untuk mengelaknya? Bolehkan doktor menjelaskan tanda-tanda barah kelenjar prostat ini dan bagaimanakah rawatannya?
Amirul A Damansara, Selangor

Jawapan

Saudara, risiko untuk saudara menghidap kanser kelenjar prostat adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki lain. Ini disebabkan kanser kelenjar prostat mempunyai kaitan genetik yang rapat. Bahkan, bukan saja saudara, malah adik beradik lelaki dan adik beradik lelaki ayah saudara juga mempunyai risiko sama.

Kanser kelenjar prostat ini boleh dikesan awal dengan cara saringan ujian darah PSA (prostate spesific antigen). Oleh kerana bapa anda menghidap kanser kelenjar prostat, anda perlu menjalani ujian PSA apabila umur mencecah 45 tahun.
Bagi lelaki yang tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, mereka boleh mula menjalani ujian PSA selepas berumur 50 tahun dan ujian ini perlu dijalani setiap tahun.

Tahap PSA yang normal secara am kurang daripada 4 ng/dl. Jika seseorang didapati mempunyai tahap PSA lebih dari 4 ng/dl, pakar urologi akan menyarankan supaya ujian trans rectal prostate biopsy (TRUS) dikendalikan. Ujian ini dilakukan melalui lubang dubur di mana tisu kelenjar prostat akan diambil dengan bantuan alat ultra sound. Ujian ini penting untuk memastikan kehadiran kanser dan tahap kanser kelenjar prostat.

Mengenai tanda-tanda penyakit ini, tiada tanda khusus untuk barah kelenjar prostat. Ia sama seperti tanda penyumbatan saluran kencing akibat pembesaran kelenjar prostat. Ini termasuk masalah seperti:

* Aliran kencing perlahan
* Air kencing yang meleleh selepas kencing
* Terpaksa tunggu lama untuk air kencing keluar
* Perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing
* Kerap ke tandas pada waktu malam.

Pada tahap lewat pula, pesakit akan mengalami sakit di bahagian tulang terutama tulang belakang. Pemeriksaan fizikal juga boleh mengesan kanser kelenjar prostat.

Melalui pemeriksaan ini, doktor akan memasukkan jari ke dalam lubang dubur bagi memeriksa bentuk dan kekerasan kelenjar prostat. Namun begitu, sekiranya kanser dapat dikesan dengan jari, kemungkinan besar ia sudah mencapai tahap yang lewat.

Ada pelbagai cara untuk merawat kanser kelenjar prostat. Jika dapat dikesan pada tahap awal, pembedahan radical prostatectony boleh dilakukan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kelenjar prostat.

Selain dari itu, kanser di tahap awal boleh dirawat dengan cara bracytherapy. Dengan cara ini, butiran-butiran radioaktif akan dimasukkan ke dalam kelenjar prostat dan melalui kaedah rawatan ini, kelenjar prostat tidak dibuang.

Kanser prostat pada tahap lewat pula dirawat secara manipulasi hormon. Ini kerana kanser kelenjar prostat memerlukan hormon testostorone untuk merebak. Oleh itu, ubat yang dipanggil anti androgen akan diberi untuk menurunkan paras testostorone dalam badan dan seterusnya mengawal dari kelenjar prostat ini merebak. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk tablet atau suntikan.

Paras hormon testostorone juga boleh diturunkan dengan cara pembedahan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kedua-dua buah zakar.

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras
tanyadrxy@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment