Sunday 22 January 2012

Ereksi lebih lama

Sembilan dari 10 lelaki di Malaysia akui kebolehan kekal ereksi amat kritikal dalam hubungan kelamin, peka kehendak pasangan

TAHUKAH anda mengikut kajian, lelaki Malaysia mengakui mereka cukup mementingkan kepuasan seksual pasangan. Ini kerana mereka berpendapat, wanita lebih merasa disayangi dan dihargai apabila mencapai kepuasan dalam hubungan seks.
Kaji selidik itu juga merumuskan, lelaki Malaysia yang meletakkan diri mereka pada skala tertinggi, tiga kali ganda lebih yakin dan puas dengan diri mereka sebagai pasangan seks, berbanding golongan lain yang kurang berkemampuan dalam aspek itu.
Kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi adalah salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya, ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. - Dr George Lee, Panel pengkaji ISS
Maklumat ini adalah antara penemuan kaji selidik Ideal Sex Survey (ISS) yang dikendalikan syarikat farmaseutikal terkemuka, Pfizer. Kaji selidik ISS bermula Disember lalu dengan kelompok 3,282 lelaki dan wanita sebagai responden di 10 negara di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Kaji selidik ini adalah sebahagian dari usaha berterusan Pfizer untuk memahami pemikiran lelaki dan wanita dalam menentukan konstitusi seks yang ideal. Kajian itu juga merumuskan pandangan lelaki mengenai kesihatan, bentuk badan, personaliti, gaya hidup idaman, keutamaan dalam kehidupan, hubungan seksual, kemampuan seksual dan sikap terhadap seks mengikut Skor Ketegangan Ereksi (EHS).

Apa yang penting, keputusan kaji selidik di Malaysia hampir sama dengan analisis yang diperoleh bagi negara di rantau Asia yang lain. Bagi responden Malaysia, sembilan daripada 10 lelaki dengan tiga daripada empat wanita, meletakkan ketegangan ereksi dan keupayaan untuk mengekalkan ereksi sebagai satu aspek kritikal untuk mencapai pengalaman seksual yang ideal. Rumusan bagi Asia pula menunjukkan lapan daripada 10 lelaki dan wanita memberi perakuan sama berhubung isu sama.

Lelaki dengan kadar ereksi optimum rata-rata lebih puas dengan tahap keinginan seksual mereka termasuk dari aspek keseluruhan kehidupan seksual serta kemampuan seksual berbanding lelaki yang mencapai ketegangan ereksi sub-optimum.
Kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita bersetuju bahawa ketegangan ereksi Gred Empat dan keupayaan untuk mengekalkannya, memberikan kedua-dua pasangan kualiti orgasma yang lebih baik ketika hubungan seks berbanding ereksi Gred Tiga. Ini bermakna, kedua-dua gender bersetuju bahawa lazimnya kualiti pengalaman seksual lebih penting dari kuantiti.

Salah seorang panel pengkaji ISS, Profesor Madya Dr George Lee dari Universiti Monash berkata, apa yang pasti melalui hasil kaji selidik itu, kualiti ereksi bukan saja memberi kepuasan kepada kaum lelaki secara fizikal, psikologi dan emosi, malah sama penting bagi pasangan. Sekiranya seseorang lelaki mendapat ereksi optimum, dia mencapai kemampuan seksual yang lebih baik dan boleh memuaskan pasangannya.

“Dengan kehidupan seksual yang membahagiakan, lelaki dengan EHS Gred Empat mempunyai imej diri dan keyakinan yang lebih baik dan individu terbabit merasa lebih berjaya dari orang lain,” kata Dr George kepada Sihat.

Selain pengalaman seks yang ideal, kaji selidik ISS juga merujuk kaitan antara kualiti ereksi lelaki dan status kesihatan mereka. Kajian menunjukkan, 25 peratus lelaki Malaysia yang menilaikan tahap ereksi mereka pada Gred Tiga mengaku mempunyai tahap kesihatan lemah atau sederhana, berbanding 17 peratus lelaki dengan EHS Gred Empat yang mengaku mempunyai tahap kesihatan rendah.

Corak sama dilihat di rantau Asia, di mana 38 peratus lelaki dengan EHS Gred Tiga mengaku memiliki tahap kesihatan lemah atau sederhana. Manakala 24 peratus lelaki dengan EHS Gred Empat mendapati tahap kesihatan mereka rendah. Ini adalah satu penemuan penting kerana ereksi sub-optimum sering dikaitkan dengan penyakit jantung iskemik.

“Kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi adalah salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya, ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Akibat kadar kolesterol dan diabetes yang tinggi, salur darah akan dihalang oleh pengumpulan lemak di sepanjang dinding arteri.

“Lama-kelamaan, salur darah ini akan mengeras dan menjadi sempit, mengakibatkan pengaliran darah yang tidak mencukupi kepada organ. Salur darah di bahagian alat kelamin lelaki lebih kecil berbanding di bahagian lain tubuh. Sehubungan itu, apabila salur darah ini bermasalah, bahagian tubuh lain turut terbabit terutama jantung,” katanya lagi.

Jelas Dr George lagi, ereksi sub-optimum boleh menyebabkan banyak hati yang terluka – kepuasan seksual bagi lelaki dengan EHS Gred Tiga dan pasangan mereka adalah lebih rendah, berbanding mereka yang mencapai ereksi Gred 4. Selain itu, risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik adalah lebih tinggi bagi lelaki dengan ereksi Gred Tiga berbanding Gred 4.

Mengambil berat soal kualiti ereksi dan mendapat rawatan intervensi awal melalui khidmat nasihat profesional bukan saja boleh meningkatkan pengalaman seksual anda dan imej diri, malah boleh meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan.

Prof Lee berkata, kajian ISS oleh Pfizer menunjukkan kedua-dua lelaki dan wanita Malaysia meletakkan harapan tinggi dalam mencapai hubungan seks yang baik dan tidak lagi menganggap seks hanya untuk menambah zuriat.

“Berbeza dengan kepercayaan popular, rakyat Malaysia mempunyai harapan yang tinggi dan keinginan untuk mencapai pengalaman seks yang sempurna dan memuaskan dengan pasangan biarpun tidak diperkatakan secara terbuka.

“Kita berharap kaji selidik ini dapat memberi jawapan kepada masalah kegagalan fungsi ereksi, bukan saja di kalangan pesakit dan pasangan mereka, malah pihak yang memberi rawatan dan khidmat nasihat kepada pesakit.

INFO: Faktor dan punca ED
  • Dadah (anti-depresi dan nikotin)
  • Kecelaruan neurogenik (saraf tunjang dan kecederaan otak, kecelaruan saraf seperti Parkinson, Alzheimer, multiple sclerosis dan strok
  • Faktor psikologi seperti gelisah dengan keupayaan, tekanan, masalah dan mental
  • Surgeri (terapi radiasi, surgeri kolon, prostat, pundi kencing, rektum boleh merosakkan saraf dan pembuluh darah membabitkan ereksi)
  • Lelaki 60 tahun ke atas empat kali lebih tinggi kebarangkalian berbanding lelaki 40-an
  • Kegagalan buah pinggang
  • Penyakit kencing manis dan multiple sklerosis
  • Gaya hidup seperti merokok dan alkohol.


  • Oleh Suzan Ahmad

    No comments:

    Post a Comment