Sunday, 22 January 2012

Hilang keyakinan memandu sejak kemalangan

TRAUMA memandu dan saya tidak dapat menyentuh stereng apabila terlanggar seorang remaja lelaki.

Ketika itu, saya benar-benar terkejut dan menggigil serta masih terngiang-ngiang lagi suara remaja lelaki berkenaan sebaik saya melanggarnya.

Meskipun bukan salah saya kerana dia keluar simpang melulu, saya tetap terasa bersalah dan berasa saya boleh mendatangkan kecederaan terhadap orang lain.

Saya pernah cuba memandu tetapi tangan saya tiba-tiba berpeluh dan terasa sukar bernafas.


Saya lebih senang menaiki teksi dan membiarkan kereta di bengkel meskipun sudah enam bulan siap.


Meluahkan kepada keluarga, saya khuatir ibu bapa meminta saya pulang ke kampung dan membuatkan mereka risau. Saya tidak pasti apa yang perlu saya lakukan.

ESHA
Pulau Pinang




Terus terang keadaan emosi yang saudari alami kini bukan lagi bentuk gangguan normal dan semestinya memerlukan bantuan pakar.

Trauma dialami jangka masa panjang, menggagalkan saudari untuk melakukan rutin harian dengan normal dan ia ternyata membebankan saudari.

Usah segan dan jangan pendam perasaan itu sendiri terlalu lama kerana kesan jangka masa panjang akan dorong kepada kesan gangguan psikologi lebih teruk.

Kongsi dengan mereka yang saudari percaya dan selesa seperti keluarga mahupun kenalan rapat kerana saudari akan mendapat sokongan sementara diperlukan.

Untuk teliti sejauh mana tahap fobia atau trauma yang saudari alami, minta bantuan mereka yang saudari kenal rapat supaya menemani saudari memandu.

Seandainya masih gagal menangani ketakutan melampau berkenaan, segeralah menghubungi pakar psikologi untuk mendapat khidmat nasihat sewajarnya.

No comments:

Post a Comment