DOKTOR, saya remaja 18 tahun dan mengalami masalah peluh yang serius. Masalah ini selalu terjadi pada bahagian tangan dan tapak kaki yang turut menyebabkan saya kurang keyakinan diri dan menimbulkan pelbagai masalah seperti kesukaran menulis. Ia berlaku pada setiap masa dan paling serius ketika cuaca panas. Soalan saya, apakah cara pemakanan yang dapat mengurangkan masalah ini atau sebarang rawatan dan ubat-ubatan bagi memulihkan penyakit ini?
PADA pandangan saya, saudara Zahid mengalami hiperhidrosis iaitu masalah perpeluhan yang berlebihan pada anggota badan dan kebiasaannya berlaku pada tapak tangan dan kaki dan juga di bawah ketiak.
Hiperhidrosis selalunya berlaku seawal zaman kanak-kanak dan remaja. Penyakit ini tidaklah sehingga ke tahap membawa kematian tetapi ia juga boleh menyebabkan kualiti hidup seseorang terganggu akibat tekanan emosi, malu untuk bersosial dan mengganggu pekerjaan seperti susah menulis.
Untuk pengetahuan saudara, hiperhidrosis sukar untuk dirawat dengan berkesan tetapi pada masa sekarang ada banyak kaedah-kaedah baru yang boleh digunakan dan memberi prognosis yang baik.
Ada tiga jenis hiperhidrosis iaitu hiperhidrosis berpunca dari emosi yang selalunya membabitkan telapak tangan dan kaki serta ketiak, hiperdrosis setempat dan hiperhidrosis menyeluruh iaitu di seluruh badan.
Punca hiperhidrosis ini kurang jelas dan ia dikaitkan dengan aktiviti berlebihan saraf autonomik dalam badan dan sebahagian kecil kerana kerana pembawaan genetik. Masalah ini pula boleh dialami baik lelaki mahu pun perempuan dan ia juga tidak mengira faktor usia.
Bagi mendapatkan rawatan hiperhidrosis ini, saudara perlu berjumpa pakar kulit kerana ada pelbagai kaedah rawatan dari segi ubat-ubatan dan juga pembedahan.
Hiperhidrosis menyeluruh mempunyai kaitan dengan masalah penyakit kanser dan urat saraf, masalah metabolik seperti hipertiroidisma, diabetes, hipoglisemia, gout, pheochorocytoma dan juga menopaus. Penyakit–penyakit lain yang menyebabkan demam juga boleh menyebabkan berpeluh satu badan. Ini penting bagi mencari punca-punca hiperhidrosis ynag boleh dirawat dengan betul. Malah ada beberapa ujian yang perlu dilakukan.
Dari segi rawatan, usaha mengatasi hiperhidroisis ini juga menjadi satu cabaran bagi doktor. Bagaimanapun, penggunaan krim atau sapuan topikal mengandungi asid borik, potassium permanganate, formaldehyade, aluminium choride juga dikatakan memberi kesan terhad dan mempunyai kesan sampingan seperti alahan.
Ada juga bahan sistemik digunakan seperti ubat antikoligenik. Contohnya propantheline bromide,oxybutynin dan benztropine lebih berkesan tetapi mempunyai kesan-kesan sampingan seperti penglihatan kabur atau kelabu, mulut dan mata menjadi kering, susah kencing dan sembelit.
Selain itu, ada pelbagai ubat-ubatan yang turut digunakan untuk rawatan hiperhidrosis. Suntikan toksin Botulinum atau Botox misalnya, amat berkesan untuk rawatan hiperhidrosis pada telapak tangan dan di bawah ketiak.
Pada masa sama, ada juga kaedah pembedahan yang digunakan sekiranya rawatan secara perubatan gagal. Rawatan ini memerlukan prosedur yang mana saraf simpatetik dimusnahkan secara endoskopi. Pembedahan lain adalah dengan membuang kelenjar peluh dengan menggunakan laser dan pembedahan. Oleh kerana rawatan hiperhidrosis adalah sesuatu yang mencabar dan keberkesanannya tidak seratus peratus, maka saudara perlu berjumpa pakar untuk kaunseling.
Oleh Dr Suhaimi Isa
No comments:
Post a Comment