SUASANA waktu rehat bagi 30 pengawal penjara Afghanistan mulai berubah kerana kini mereka mengisi tempoh itu dengan melakukan senaman yoga melalui program yang diusahakan untuk mencambahkan ketenangan di negara berkenaan.
Pergerakan yoga yang dilakukan serentak dalam kumpulan itu diketuai guru dari Perancis, Amandine Roche, yang berusaha menyebarkan idea mengatakan bahawa ketenangan jiwa boleh menghentikan pergaduhan dan mengurangkan parut jiwa akibat peperangan.
Dia percaya askar Taliban, Afghanistan dan Barat juga perlu berlatih yoga dan meditasi supaya boleh membentuk hubungan sosial yang harmoni dan membantu menghentikan peperangan di negara itu yang berlanjutan selama 30 tahun.
Roche cuba menyampaikan mesej ini kepada semua pihak walaupun ia kurang mendapat sambutan. Setakat ini, kos untuk semua projeknya yang dilakukan secara kecil-kecilan keluar daripada poketnya sendiri. Walaupun secara umumnya masyarakat masih belum dapat menerima yoga tetapi dia sudah mempunyai pengikut berprofil tinggi.
“Ketenangan datang dari dalam diri sama seperti perang. Asasnya mudah, kita cuma perlu tingkatkan tahap kesedaran.
“Saya katakan, ‘saudara-saudara sekalian, mengapa anda tidak mahu berhenti (berperang)? Sudah 30 tahun anda membuang masa, marilah kita sama-sama duduk dan bertenang,” kata Roche yang ditemui di rumahnya di Kabul, ibu kota Afghanistan.
Walaupun pergerakan yoga dipanggil ‘downward dogs’ dan ‘sun salutation’ masih asing di kalangan komander askar yang mengetuai peperangan di Afghanistan tetapi sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan yang bertanggungjawab memantau penjara mendengar penerangannya mengenai program berkenaan.
Roche memberitahu Naib Laksamana, Robertt Harward, yang pernah mengetuai Pasukan Petugas 435 Tentera Laut Seal dan menjadi ketua penjara di bawah pemantauan Amerika
di Afghanistan.
“Dia berpendapat ini adalah program yang membina,” kata Mejar TG Taylor, jurucakap Pusat Perintah US Central tempat Harward bekerja sekarang.
“Dia sentiasa bersikap terbuka untuk menganalisis cadangan baru dan menyokong supaya cadangan baru yang unik dipertimbangkan,” tambah Taylor lagi.
Bagaimanapun, pegawai tentera yang masih berada di Afghanistan tidak menerima cadangan itu.
“Kami perlu melihat dan mengkaji program ini dengan lebih mendalam. Ia masih dibincangkan,” kata jurucakap Pasukan Petugas 435, Kapten Tentera Laut Amerika, Kevin Aandahl.
Meskipun cadangan memperkenalkan program yoga ini dipandang dingin tetapi Roche tidak berputus asa. Kini dia mengajar yoga dan meditasi sebanyak dua kali seminggu kepada askar Nato dan secara purata 16 askar yang tidak terbabit dalam pertempuran akan menghadiri kelasnya.
Dia juga mengadakan satu sesi meditasi dengan bekas komander Taliban, malah pernah cuba memperkenalkan programnya itu kepada menteri kerajaan dengan harapan akan mendapat sokongan kerajaan tetapi sampai sekarang, semua usahanya masih belum membuahkan hasil.
Mei lalu, projeknya ‘Sola Yoga’ tiba-tiba mendapat perhatian apabila dia menghadiri persidangan keamanan di New Jersey dan bertemu pengamal yoga kelahiran Iran-Amerika, Cameron Alborzian - juga seorang supermodel.
‘Yogi Cameron’ yang pernah membintangi video muzik Madonna ‘Express Yourself’ pada 1989 kini memperoleh pendapatan sebanyak RM95,400 seminggu sebagai guru penggubah gaya kepada bintang terkenal di Los Angeles dan sangat berminat untuk membantu Roche.
Jun lalu, dia berada di Afghanistan selama dua minggu melawat pegawai pemerintah untuk menyatakan sokongannya terhadap projek berkenaan. Malah dia berjaya memasuki penjara Pul-e-charkh dan Bamiyan serta memujuk pengawal di sana mencuba beberapa pergerakan yoga.
Komander penjara Bamiyan, Ghulam Ali Batur berkata, memang ada kakitangannya yang mencuba yoga (sekejap) tetapi masih tidak yakin ia berkesan walaupun dia mengakui yoga boleh menenangkan orang termasuk orang ganas.
“Percaya cakap saya, ini tugas yang sangat sukar (untuk memperkenalkan yoga kepada penduduk Afghanistan), apatah lagi ia ada unsur Buddha dan Hindu,” katanya.
Roche yang pernah bekerja dalam pasukan penenang untuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, Afghanistan mempunyai kaedah meditasi tersendiri ketika zaman pemerintahan Abdul Ghafar Khan, pemimpin pencinta kedamaian yang meninggal dunia pada 1988.
Namun laluan untuk yoga sampai kepada penduduk Afghanistan masih jauh. Malah isu kesihatan mental juga sangat jarang dibincangkan di negara itu tetapi Roche berpendapat, meditasi dan yoga boleh menjadi alat untuk membantu penduduk Afghanistan mencapai ketenangan daripada trauma yang berlaku di sekeliling mereka.
“Jika anda ada masalah mental, mereka kata anda dirasuk jin, syaitan. Mereka tidak tahu apa itu kesihatan mental. Saya boleh beri mereka alat untuk mengawal minda mereka yang trauma dan ketakutan.
“Semua penduduk Afghanistan ada pengalaman pahit untuk diceritakan, anda boleh buat buku mengenai kisah mereka,” katanya.
Setakat ini, kejayaan besar Roche ialah mengajar yoga kepada kanak-kanak jalanan di Kabul, bekerja dengan badan kebajikan Afghanistan Tomorrow untuk memberi inspirasi membentuk generasi yang lebih tenang.
Mengetuai sekumpulan gadis muda di dalam bilik yang dinyalakan lilin, Roche mengajak pelajarnya duduk bersilang kaki, memejamkan mata dan melupakan semua masalah mereka. Kemudian, dia menyuruh mereka berdiri tegak seperti pokok di atas satu kaki.
“Yoga menenangkan saya dan membantu saya untuk belajar lebih baik,” kata Roquia, 11, dengan nada tenang. - AFP
No comments:
Post a Comment