Sunday, 22 January 2012

Sakit mencucuk selepas buang air kecil

pix_gal0
Soalan: SAYA berumur 20-an dan mempunyai sejarah masalah batu karang serta kencing kotor. Baru-baru ini, penyakit batu karang saya menyerang kembali di mana dalam seminggu, dua kali saya diserang kesakitan.

Setahun sebelum ini, doktor sudah mengesahkan terdapat batu karang dalam buah pinggang saya. Namun begitu, doktor menyatakan batu karang itu terlalu kecil dan memberi ubat ‘Ural’ dan tahan sakit.
Baru-baru ini, sakit yang menyerang ada perubahan sikit. Rasanya seperti perut memulas-mulas dan menghala ke bahagian kiri belakang. Selepas dua kali diserang rasa yang sama, saya pergi ke bahagian kecemasan dan kakitangan perubatan membuat x ray serta mengesahkan sekali lagi ada batu dalam buah pinggang saya.
Namun begitu, pemeriksaan sekali lagi dengan pakar pada minggu seterusnya menunjukkan tiada batu dalam buah pinggang saya. Selepas dua minggu kesakitan yang biasa berlaku pada tiap-tiap minggu sudah tiada namun rasa sakit lain pula timbul.

Sakit yang saya rasai sekarang ialah apabila membuang air kecil di mana rasanya sakit pada bahagian bawah dan depan zakar seperti mencucuk-cucuk apabila air kencing habis dikeluarkan.

Adakah kesakitan ini disebabkan penyakit batu karang yang saya alami atau masalah lain? Saya sudah menceritakan kepada doktor pakar yang merawat saya untuk penyakit batu karang ini. Namun, tiada jawapan yang jelas diberikan. Apakah yang perlu saya lakukan?

Mohon Bantuan
Jawapan: KEMUNGKINAN besar sakit yang saudara alami iaitu sakit bahagian bawah dan depan zakar seperti mencucuk-cucuk adalah disebabkan batu karang yang sudah turun di bahagian bawah ureter.

Fenomena ini dikenali sebagai referred pain. Ada juga kemungkinan batu itu sudah jatuh ke dalam pundi kencing. Namun, selalunya sekiranya ini berlaku, saudara akan merasakan aliran kencing tersekat-sekat dan air kencing akan bercampur darah.

Sakit memulas-mulas yang saudara alami pula dikenali sebagai renal atau ureteric colic bergantung kepada di mana sakit itu dirasai. Selalunya, sakit ini disertai dengan rasa loya dan muntah serta intensitinya amat tinggi.
Kebanyakan pesakit perlu mendapatkan rawatan kecemasan dan suntikan ubat tahan sakit perlu diberi untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.

Adakalanya pesakit merasakan seolah-olah hendak membuang air besar tetapi tidak ada najis yang keluar. Kadangkala ia disusuli dengan kencing berdarah dan pengeluaran batu karang semasa kencing.

Sekiranya sakit dirasai di bahagian belakang pinggang, ia disebabkan oleh batu karang yang terletak di dalam ginjal. Sekiranya ia dirasakan di bahagian bawah abdomen dan menjalar turun ke bahagian zakar atau testes, ia disebabkan oleh batu karang yang berada dalam ureter.

Sakit seperti ini berpunca dari tindak balas pengecutan berkala ureter akibat dari kehadiran batu karang di dalamnya. Ia akan berterusan sehingga batu karang jatuh ke dalam pundi kencing.

Ada juga batu karang yang tidak dapat turun dan tersangkut di dalam ureter. Ini akan menimbulkan sakit yang berterusan dan pada jangka masa panjang, ureter dan buah pinggang boleh membengkak akibat dari penyumbatan pengaliran air kencing dari ginjal.

Kejadian ini dikenali sebagai hydronephrosis dan hydroureter. Untuk makluman saudara, hanya batu kurang dari 6 milimeter (mm) dapat melalui saluran ureter dan sekiranya saiz lebih besar dari itu, kemungkinan besar ia akan tersangkut dan pelbagai masalah boleh timbul.

Saudara, ada juga batu karang yang tidak dapat dilihat di dalam xray di kalangan 30 peratus dari pesakit. Batu karang jenis ini (radiolucent stone) selalunya berasal dari jenis uric asid. Ia sering dikaitkan dengan peningkatan paras uric asid di dalam badan dan di kalangan pesakit yang mengalami masalah gout.

Pemeriksaan ultrasound pula hanya boleh mengesan batu karang di dalam pundi kencing dan ginjal saja serta tidak dapat mengesan batu karang yang berada di dalam ureter.

Pemeriksaan terbaik untuk mengesan kehadiran batu karang di dalam system urinari adalah dengan melakukan pemeriksaan CTU (CT urography). Pemeriksaan ini boleh mengesan sehingga 95 peratus dari batu karang yang berada samada di dalam ginjal, ureter mahupun pundi kencing.

Ia juga dapat mengesan batu karang sekecil beberapa mm .Pemeriksaan ini juga selamat kerana tidak memerlukan suntikan bahan pewarna (contrast) ke dalam badan pesakit sebelum pemeriksaan.

Saya ingin menasihatkan saudara supaya menjalani pemeriksaan ini untuk memastikan kehadiran dan kedudukan terkini batu karang di dalam badan saudara.

Saudara juga boleh menjalani pemeriksaan air kencing dan sekiranya wujud kehadiran sel darah merah di dalam air kencing (microscopic hematuria), kemungkinan besar batu karang masih ada lagi dalam badan saudara.

Jika saudara mengalami masalah batu karang di bahagian bawah ureter, rawatan yang akan diberi bergantung kepada saiz batu karang. Jika ia bersaiz kurang dari 6 mm, kemungkinan besar batu karang berkenaan dapat keluar dengan sendiri. Ini memadai dengan saudara mengambil banyak air putih dan teruskan dengan pengambilan ural.

Ural ialah ubat di dalam katagori ‘urinary alkaliniser’ iaitu sejenis bahan yang akan menukar pH air kencing dari berasid ke alkali. Apabila air kencing menjadi alkali, setengah batu karang terutama dari jenis uric asid boleh larut dan ia juga boleh mencegah dari batu karang dari terjadi semula.

Ia juga boleh melegakan kepedihan semasa membuang air kecil dan boleh menguranggan risiko untuk mendapat jangkitan kuman di dalam pundi kencing. Sekiranya batu karang bersaiz lebih dari 7mm atau jika saudara mengalami sakit yang berulang-ulang dan memerlukan suntikan ubat penahan sakit yang berterusan, batu terbabit perlu dikeluarkan dari badan dengan cara pembedahan endoskopik yang dikenali sebagai ureteroscopy (URS).

Satu alat yang kecil akan dimasukkan melalui saluran urethra dan kemudiannya masuk ke dalam saluran ureter. Apabila batu karang dapat dikesan, ia boleh dipecahkan dengan menggunakan laser.

Saya ingin menasihatkan saudara untuk berjumpa dengan pakar urologi untuk menyelesaikan masalah anda. Ini kerana seseorang yang mengalami masalah batu karang ginjal atau ureter boleh mendapat sakit yang berulang ulang terutama di bulan Ramadan akibat dehidrasi.

Nasihat saya kepada pesakit yang mengalami masalah batu karang ketika Ramadan adalah banyakkan meminum air masak semasa berbuka sehingga air kencing menjadi jernih.

Elak dari meminum kopi atau teh kerana kedua-dua minuman ini mengandungi kafein yang boleh mengurangkan kandungan air di dalam badan .Kepada pesakit yang mengalami masalah peningkatan uric asid di dalam badan atau gout, elak dari mengambil secara berlebihan makanan yang mengandungi daging merah (red meat), makanan laut terutama udang, ketam atau kerangan dan elak dari memakan kekacang.

Ini adalah kerana makanan ini akan meningkatkan sekresi asid urik di dalam ginjal dan seterusnya meningkatkan risiko mendapat batu karang ginjal terutama di dalam keadaan dehidrasi sepanjang Ramadan.

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.

1 comment: