SAYA baru saja memulakan kerjaya sebaik menganggur lebih daripada setahun. Saya akui saya kekok, lebih-lebih lagi saya tidak pernah berurusan dengan orang luar selain ahli keluarga. Saya kadangkala terdesak untuk melobi supaya rakan sekerja menyukai saya.
Disebabkan bimbang dan takut tidak digemari rakan sekerja, saya mengiyakan apa juga permintaan mereka seperti keluar minum sehingga jam empat pagi. Meskipun penat, saya turutkan juga kerana ingin menjaga hati mereka.
Apabila saya meminta kebenaran pulang awal, mereka mengutuk saya seolah-olah kera sumbang kerana tidak pandai bersosial. Kadangkala saya terlena di pejabat akibat mengikut rentak kehidupan mereka yang ‘memenatkan’ dan sering keluar bergembira sehingga awal pagi.
Saya pernah menolak permintaan mereka, akhirnya mereka memulaukan saya dan langsung tidak menegur ketika di pejabat.
Saya menjadi serba salah sama ada untuk terus bekerja di sini atau berhenti kerja kerana tidak mampu mengikut rentak rakan lagi.
ARAN
Cheng, Melaka
Sosial psikologi pernah mengeluarkan satu teori mengenai penerimaan individu dalam satu kumpulan atau komuniti contohnya, rakan sekerja saudara memerlukan saudara mengikut gaya hidup mereka yang gemar berhibur.
Tidak hairan, dengan gaya hidup dan personaliti saudara berbeza menyebabkan mereka menyisihkan saudara. Saudara kerap mengelak untuk menyertai mereka bersosial hingga ke pagi menyebabkan mereka tidak senang dengan sikap saudara.
Justeru, mereka melabelkan saudara kera sumbang dan tidak sepadan untuk dijadikan rakan. Lalu mereka memulaukan saudara hanya kerana saudara tidak mahu menyertai mereka berhibur sehingga pagi.
Layanan rakan saudara dingin sebagai hukuman gagal memenuhi kemahuan mereka membuatkan saudara tertekan. Akhirnya saudara tidak berasa puas dengan kerja baru saudara.
Terus terang Dang Setia katakan, tindakan mereka memulaukan saudara lebih baik daripada menerima saudara. Kelak Dang Setia bimbang mereka bakal mengheret saudara ke arah cara hidup negatif.
Gemar bersosial hingga ke pagi sehingga menjejaskan kualiti kerja serta kesihatan sendiri sudah jelas tidak begitu baik kesannya terhadap saudara.
Tiada gunanya membabitkan diri dalam perkara memberi kesan buruk terhadap diri sendiri.
Lebih molek saudara menumpukan perhatian terhadap kerjaya berbanding memikirkan cara untuk bergaul mesra dengan rakan.
Terus melayani kemahuan mereka tidak semestinya menjamin prestasi kerja mengagumkan. Malah dikhuatiri ia menjejaskan pencapaian saudara.
Kekalkan sikap optimis dan banyakkan bersabar dalam menangani masalah rakan sekerja. Serlahkan personaliti lebih positif dan ceria supaya saudara punya pesona sendiri dalam memperoleh rakan yang baik.
No comments:
Post a Comment