Sunday 22 January 2012

Buah zakar berpintal

Jumpa pakar urologi daripada terus berteka-teki

SEORANG rakan saya yang sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, baru-baru ini mengadu sakit seperti rasa senak pada bahagian alat sulitnya dan masalah itu sudah berlanjutan sejak sekian lamanya. Saya membawanya ke hospital dan doktor mengesyakinya mengalami apa dikenali sebagai masalah buah zakar terpulas. Apakah masalah ini dan bagaimana ia boleh berlaku? Untuk pengetahuan doktor, sahabat saya adalah seorang yang aktif bersukan dan berusia 20 tahun. Bolehkah masalah ini berlaku kepada sesiapa saja?
Sahabat Prihatin, Melaka
JAWAPAN Saudara, masalah yang rakan anda alami adalah masalah buah zakar berpintal. Ia lazimnya berlaku kepada kanak-kanak dan mereka yang di awal remaja. Bagaimanapun, ia juga boleh dialami golongan awal dewasa seperti rakan saudara.

Untuk pengetahuan saudara, situasi buah zakar berpintal ini merujuk kepada masalah yang mana buah zakar itu berpintal pada paksinya lalu menyebabkan pengaliran darah ke buah zakar terhenti. Ini seterusnya menyebabkan buah zakar tidak lagi berfungsi jika tidak dirawat dalam tempoh enam jam selepas ia berlaku.

Dalam kebanyakan kes, sakit akan bermula secara akut iaitu serta-merta. Ia lazimnya kerap terjadi selepas seseorang bangun dari tidur atau selepas menjalani aktiviti lasak. Sakit yang dialami pula akan disertai bengkak pada buah zakar.

Merujuk situasi rakan saudara, saya berasakan kemungkinan beliau mengalami masalah buah zakar berpintal adalah rendah. Ini disebabkan beliau mengalami masalah ini sejak sekian lamanya.
Seperti yang saudara ketahui, sakit akibat buah zakar berpintal adalah amat kuat dan selalunya menyebabkan seseorang itu terpaksa dibawa dengan segera ke hospital.

Daripada apa yang saudara katakan, doktor baru mengesyaki rakan saudara itu mengalami masalah buah zakar berpintal.

Nasihat saya, maklumkan kepada rakan saudara supaya segera berjumpa pakar urologi bagi mengetahui permasalahan sebenarnya dan inilah cara terbaik daripada terus berteka-teki apakah punca kesakitan atau senak yang dialaminya.

Kemungkinan besar saudara akan diminta menjalani ujian dikenali doppler ultrasound. Dalam ujian ini, aliran darah ke buah zakar akan dapat dilihat dan ini amat membantu bagi tujuan diagnosis.

Bagi kes akut, pembedahan akan dilakukan yang mana tempat buah zakar berpintal itu akan ‘dilepaskan.’ Jika ketika pembedahan buah zakar menunjukkan tanda-tanda tidak berfungsi, buah zakar terpaksa dibuang.

Selain masalah buah zakar berpintal, ada juga sebab lain mengakibatkan berlakunya sakit buah zakar. Ini termasuk jangkitan kuman pada buah zakar dan infeksi virus terutama virus sama yang menyebabkan masalah beguk.

Bagi keadaan seperti ini, sakit pada buah zakar akan diikuti dengan tanda-tanda seperti demam, sakit semasa kencing, rasa pedih semasa kencing dan sakit pada bahagian ari-ari. Ada ketikanya, cecair akan keluar daripada bahagian kemaluan.

Jika ada yang sudah mengalami masalah buah zakar berpintal dan tidak dirawat, buah zakar yang tidak berfungsi akan lama kelamaan menjadi kecil dan mengecut dengan sendiri.

Bagaimanapun, tidak perlu bimbang kerana seseorang lelaki ini boleh berfungsi secara normal dengan hanya satu buah zakar.

Apa pun, apa yang lebih penting sekarang adalah berjumpa dengan pakar urologi bagi mengesahkan permasalahan sebenar dialami rakan saudara itu.

Oleh Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin

No comments:

Post a Comment