Sunday, 22 January 2012

Dilema ejakulasi pra matang

Kes 1

SAYA pemuda berumur 25 tahun dan mengalami masalah pancutan pra matang di mana tidak sampai seminit pun, saya boleh terpancut. Lebih teruk lagi, dengan hanya menyentuh wanita saja, pancutan berlaku.
Selepas pancutan, saya tidak berselera lagi untuk meneruskan hubungan. Apakah teknik untuk melambatkan pancutan? Ini kerana jika berlaku pancutan pra matang, hubungan boleh terkubur begitu saja.
Kes 2

SAYA berusia 25 tahun dan akan mendirikan rumah tangga, tahun depan. Saya menghadapi dilema di mana saya mempunyai masalah ejakulasi pra matang.

Masalah ini mungkin berpunca dari perbuatan kerap mengeluarkan air mani sendiri. Oleh itu, saya ingin meminta nasihat dan pandangan doktor berpandukan kepada beberapa soalan di bawah:

  • Bagaimanakah cara terbaik untuk mengatasi masalah ejakulasi pra matang?
  • Saya ada terbaca artikel mengesyorkan rawatan untuk masalah ini seperti penggunaan krim dan pil, amalan senaman dan penjagaan makanan. Bolehkah doktor beri ulasan lanjut mengenai rawatan yang disyorkan?

  • Apakah kesan daripada rawatan yang disyorkan?

  • Untuk pengetahuan doktor, saya mempunyai satu lagi masalah iaitu perasaan berdebar-debar atau anxious. Adakah ini salah satu faktor atau punca yang mengundang masalah ejakulasi pra matang?

  • Apakah kesan jangka panjang dari masalah ejakulasi pra matang ini? (Contoh masalah mati pucuk atau lain-lain)

  • Saya ada membaca mengenai krim Virile di mana ia digunakan untuk merawat masalah ini. Pada pandangan doktor, adakah krim ini selamat digunakan dan terjamin boleh merawat masalah ini?

    DARI aspek penjelasan terhadap masalah yang anda berdua hadapi, jelas menunjukkan bahawa saudara mengalami masalah ejakulasi pra matang. Ada dua jenis ejakulasi pra matang iaitu jenis yang kekal (primary) dan jenis sementara.

    Bagaimanapun, agak sukar pada tahap ini untuk menentukan sama ada masalah ini akan kekal atau tidak. Ini kerana saudara berdua masih muda. Selalunya pada orang yang muda dan baru melakukan hubungan seks , masalah ejakulasi pra matang ini boleh menjadi masalah sementara.

    Dari segi definasi mengikut International Society For Sexual Medicine, ejakulasi pra matang ada tiga ciri-ciri utama iaitu;

    - Ejakulasi yang berlaku dalam lingkungan masa satu minit atau kurang selepas penetrasi ke dalam vagina.

    - Tidak dapat mengawal atau melambatkan ejakulasi ketika penetrasi.

    - Memberi impak negatif kepada lelaki dan pasangannya, misalnya ketegangan hubungan, stress dan kemurungan. Kesannya, hubungan seksual boleh menjadi regang.

    Dari segi definasi, jelas bahawa masalah ejakulasi pramatang ini berdasarkan kepada penetrasi vagina dan bukannya berdasarkan ejakulasi cepat yang berlaku ketika masturbasi.

    Ada satu lagi jenis ejakulasi pra matang yang digolongkan dalam kumpulan acquired atau secondary. Ia mempunyai ciri-ciri yang sama seperti definisi di atas kecuali lelaki yang mempunyai masalah acquired premature ejaculation ini pernah mempunyai tempoh ejakulasi yang normal dan sudah melakukan hubungan seks yang memuaskan diri beliau dan pasangan.

    Punca utama ejakulasi pramatang belum lagi diketahui. Bagaimanapun, ia boleh diklasifikasikan kepada punca psikologi atau punca biologi.

    Punca Psikologi.

    Ramai doktor berpendapat, pengalaman seksual pada peringkat awal remaja boleh membawa kepada masalah ejakulasi pra matang. Ini termasuk:

    - Tabiat mastubasi yang terburu-buru dan menyebabkan seseorang mencapai klimaks dengan cepat. Ini selalunya terjadi apabila seseorang remaja melakukan mastubasi tetapi cuba mengelak dari diketahui rakan-rakan atau ibu bapa. Oleh itu, masturbasi dilakukan dengan tergesa-gesa dan ejakulasi berlaku dalam masa yang singkat.

    - Perasaan bersalah atau berdosa ketika melakukan hubungan seks atau masturbasi menyebabkan seseorang ingin cepat klimaks.

    Ada juga beberapa faktor yang lain yang boleh membawa kepada terjadinya ejakulasi pra matang. Ini termasuk:

    Masalah mati pucuk

    Seseorang lelaki yang menghidapi masalah mati pucuk boleh mendapat masalah ejakulasi pra matang pada masa yang sama.

    Anxiety

    Seseorang yang bersifat anxious terutama terhadap sexual performances atau isu-isu lain lebih cenderung untuk mendapat ejakulasi pra matang.

    Masalah rumah tangga

    Seseorang lelaki yang mempunyai masalah hubungan dengan isteri lebih cenderung untuk mendapat ejakulasi pra matang.

    Punca biologikal pula termasuk:
    - Paras hormon yang tidak normal.
    - Keabnormalan paras neurotransmitter dalam otak.
    - Keabnormalan dalam sistem ejakulasi.
    - Masalah kelenjar thyroid.
    - Inflamasi dan infeksi pada prostat dan urethra.

    Komplikasi.

    Ejakulasi pra matang ini tidak akan menyebabkan komplikasi dari segi kesihatan seseorang lelaki. Ia juga tidak berkait dengan penyakit yang serius seperti kencing manis atau sakit jantung.

    Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan masalah tekanan dan kemurungan yang serius serta boleh menjejaskan hubungan suami-ister,i malah boleh membawa kepada perceraian.

    Rawatan:

    Ada pelbagai bentuk rawatan yang boleh diberi kepada lelaki yang mempunyai masalah ejakulasi pra matang. Ini termasuk terapi seksual, ubatan dan psikoterapi.

    Ada beberapa langkah mudah yang boleh diambil sebagai langkah permulaan untuk merawat masalah ini. Ini termasuk melakukan masturbasi beberapa jam sebelum hubungan seks.Ini boleh membantu memanjangkan tempoh penetrasi.

    Selain itu, ada teknik di mana apabila seseorang hampir sampai ke tahap ejakulasi, stimulasi seksual perlu dihentikan dan tumpuan perlu dialihkan ke tempat lain. Teknik seperti squeeze technique dan teknik start–stop boleh dipelajari tetapi memerlukan masa dan komitmen dari pasangan.

    Selain itu, beberapa jenis ubatan dan krim boleh digunakan untuk memanjangkan tempoh penetrasi.

    Ubatan:

    Ubatan dari jenis antidepressants (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors) digunakan untuk merawat masalah ejakulasi pra matang. Ini kerana salah satu dari kesan sampingan ubat SSRI ini adalah pemanjangan tempoh untuk ejakulasi.

    Contoh ubatan yang boleh digunakan adalah sertaline (Zoloft); paroxetine (Paxil); fluoxetine (Prozac) dan yang terbaru ialah Dapoxetine (Priligy). Bagaimanapun, ubat- ubatan ini mempunyai kesan sampingan seperti loya, mengantuk dan kering mulut.

    Ubat-ubatan ini adalah ubat kawalan dan hanya boleh diperoleh selepas berjumpa dengan pakar urologi atau pakar psikiatri.

    Selain itu, krim yang mengandungi bahan untuk memberi kesan kebas (topical anaesthetic cream) juga boleh digunakan untuk merawat masalah ini. Konsep krim ini adalah untuk menimbulkan rasa kebas di bahagian kepala zakar.

    Krim ini berkesan terutama bagi mereka yang mempunyai kepala zakar yang sensitif .Krim ini perlu disapu di kepala zakar beberapa minit sebelum hubungan seksual dan perlu dibasuh terlebih dulu sebelum penetrasi. Jika memakai kondom, krim ini boleh diletakkan dalam kondom.

    Ada sesetengah lelaki yang merasakan apabila krim ini digunakan, kenikmatan hubungan seksual berkurangan. Ada juga yang mengalami alahan kepada krim ini. Krim ini boleh didapati di farmasi. Jenis yang sering digunakan ialah lignocaine gel atau SS cream.

    Saya tidak pasti apa sebenarnya kandungan krim virile yang saudara maksudkan. Tetapi, jika ia berbentuk krim, cara tindakannya mungkin sama seperti lignocaine gel.

    Bagi sesetengah lelaki, rawatan psikoterapi mungkin diperlukan. Ini terutama bagi mereka yang mempunyai masalah hubungan suami isteri atau masalah anxiety atau tekanan yang membawa kepada ejakulasi pra matang.

    Saudara, sudah semestinya masalah ejakulasi pra matang ini membawa kepada pelbagai masalah terutama apabila berumah tangga kelak. Namun, seperti yang saya terangkan, ada pelbagai rawatan yang boleh diberi untuk mengatasi masalah ini.

    Saudara juga tidak keseorangan dalam menghadapi masalah ini. Satu kajian yang dikendalikan di Malaysia, mendapati 29 peratus dari lelaki dari peringkat umur 18 tahun hingga 65 tahun menghadapi masalah sama.

    Apa yang saudara perlu lakukan ialah berjumpa dengan doktor atau pakar urologi yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan.


  • Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.

    3 comments:

    1. Adakah vimax merbahaya kepada kesihatan?

      ReplyDelete
    2. Adakah vimax merbahaya kepada kesihatan?

      ReplyDelete
    3. Vimax original tiada akan memberikan kesan sampingan. Ia tidak berbahaya.tetapi ramai yang pilih vimax palsu dari china (lot 9942) . Make sure ur vimax is genuine

      ReplyDelete