Monday 23 January 2012

Sebar HIV melalui seks meningkat

PEMINDAHAN virus HIV melalui hubungan seksual di negara ini semakin meningkat dan begitu membimbangkan iaitu sebanyak 48.6 peratus melebihi jumlah kes disebabkan perkongsian jarum oleh penagih dadah.

Mengikut laporan akhbar Harian Metro pada 2 Disember lalu, 20 peratus daripada 96,000 penghidap HIV positif di negara ini terdiri daripada wanita dan kebanyakannya mendapat virus berkenaan daripada pasangan masing-masing.

Statistik yang dilaporkan oleh Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (2010) mendapati kadar insiden HIV kebangsaan pada tahun itu adalah 12.9 kes bagi setiap 100,000 orang.

Jika dilihat statistik pada 2010 yang dilaporkan mengenai pesakit HIV, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan dikesan melalui sistem pengawasan HIV kebangsaan menjadikan pertambahan catatan 91,362 kes sejak wabak itu dikesan pada 1986.


Berdasarkan laporan, kira-kira 1,035 kes berkaitan Aids meningkat manakala 904 kematian dilaporkan menjadikan jumlah pesakit yang hidup dengan HIV di Malaysia sebanyak 77,064 pada Disember 2010.


Ia menunjukkan betapa pentingnya memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko dan kesan jangkitan HIV itu di samping memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Menyedari hakikat pentingnya pengetahuan dan bantuan mengenai pesakit HIV, L’Oreal melancarkan Kempen Amal Potongan Rambut bersama lima duta L’Oreal Artistic.

Antara duta yang hadir termasuk Albert Nico, Andy Chan, Kevin Woo, Miko Au dan Simon Koh serta mendapat kerjasama daripada salun terpilih bagi memberikan perkhidmatan memotong rambut kepada pengunjung yang hadir.

Ia dilancarkan Timbalan Pengurus Besar L’Oreal Malaysia, Heng Thang Yih dan Pengerusi Yayasan Aids Malaysia (Mac), Profesor Dr Adeebah Kamarulzaman bersempena ulang tahun ke-10 kempen L’Oreal Hairdressers Againts Aids.

Melaluinya, terdapat dua sesi yang diadakan setiap hari kepada pengunjung yang ingin mendapatkan khidmat potongan rambut iaitu bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang dan 5.30 petang hingga 8.30 malam.

Menariknya, pengunjung ditawarkan dengan kos minimum sebanyak RM15 daripada salun serta tukang gunting rambut profesional.

Kempen yang diadakan pada 26 hingga 27 November yang lalu itu berlangsung di tingkat satu pusat beli-belah 1 Utama, Damansara.

Sumbangan yang berjaya dikutip akan didermakan ke Yayasan Aids Malaysia untuk kanak-kanak dijangkiti HIV.

Bukan hanya mendapatkan khidmat potongan rambut, malah sepanjang tiga hari kempen berlangsung pengunjung turut berpeluang menemui selebriti terkenal tanah air seperti Jojo Struys, Genevieve Sambhi, Atilia, Chermaine Poo, Chelsia Ng dan Daphne Iking.

Selebriti hadir mendapatkan khidmat potongan rambut bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen yang dilakukan selain menyalurkan sumbangan mereka untuk pesakit HIV.



FAKTA:

  • HIV adalah virus yang menyerang sistem imun badan manusia sehingga ia tidak lagi mampu melawan penyakit. Mereka yang dijangkiti dengan HIV (pembawa HIV) kelihatan normal (tidak sakit) dan biasanya tidak sedar virus ini menjangkiti mereka.

    Virus ini boleh mengambil masa bertahun-tahun dan secara beransur-ansur melemahkan sistem imun seseorang sebelum mereka akhirnya jatuh sakit.


  • Aids adalah peringkat terakhir jangkitan HIV, apabila sistem imun badan benar-benar lemah dan terdapat beberapa gejala atau penyakit tertentu dihidapi seperti:

    1. Berat badan berkurangan lebih daripada 10 peratus.
    2. Cirit-birit berpanjangan.

    3. Mendapat jangkitan paru-paru, pneumonia pneumocystis carinii yang menjadi penyebab utama kematian di kalangan pesakit Aids.

    4. Dijangkiti demam kuning atau cytomegalovirus.
    5. Batuk kering.
    6. Jangkitan kulat seperti kandida dan histoplasma.

    7. Jangkitan toxoplasma otak yang boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami jaundis, pembesaran hati dan limpa serta menyebabkan badannya menggigil atau kejang.

    8. Dijangkiti virus herpes simplex atau kayap sejuk (biasa terjadi di bahagian bibir atau alat kelamin) dan herpes zoster (kayap).

    9. Kanser seperti sarkoma kaposi (tumor) dan limfoma atau penyakit kanser
    kelenjar
  • Oleh Hajahfarhana Tarmudi

    No comments:

    Post a Comment