Sunday 22 January 2012

Lelaki Buntu lalui hidup selepas ditinggal isteri

SAYA dan isteri disahkan bercerai dengan talak satu kerana bekas isteri menuntut cerai. Kehidupan saya kini berbeza sebagai duda anak satu.

Saya sepatutnya mendapat hak penjagaan anak kerana bekas isteri nusyuz tetapi saya tidak sampai hati merampas anak berusia empat bulan yang masih menyusu badan ibunya.

Saya ingin meminta beberapa petua bagaimana saya boleh bangkit daripada kegagalan hidup yang lalu kerana ketika ini, saya buntu dengan arah kehidupan yang tiada tujuan.

Saya sudah memaafkan bekas isteri dengan rela hati dan terima jodoh yang bertahan separuh jalan ini sebagai qada’ dan qadar Allah SWT.


Saya sudah melakukan solat taubat nasuha tetapi seolah-olah Allah masih tidak menerima taubat nasuha saya. Saya sangat risau.


Saya cuba mengubah corak kehidupan saya yang serba kekurangan, seperti cuba berniaga untuk membaiki taraf ekonomi. Saya berniaga bukan untuk sesiapa tetapi bagi melunaskan hutang yang banyak serta menggalas tanggungjawab sebagai ayah.

Malah, hampir setiap hari pihak bank dan kad kredit menelefon saya sehingga saya menghidapi tekanan. Gaji saya habis untuk membayar hutang. Sebab itu saya berniaga bermatian-matian.

Namun, ada saja perkara yang menghalang saya untuk maju. Saya tak nak bekas isteri disenaraihitamkan pihak bank kerana kesalahan saya membuat pinjaman menggunakan namanya.

Kalau ikutkan nafsu amarah, sudah lama saya abaikan hutang itu. Namun, saya tidak sampai hati melakukannya.

Apa perlu saya lakukan supaya tidak tertekan dengan kegagalan perkahwinan dan masalah hutang yang tidak langsung berkurang?

PUTRA
Rawang, Selangor




Tidak dinafikan perceraian mahupun kegagalan sesebuah institusi keluarga juga disebabkan kekangan kewangan. Suami tidak mampu dan terlalu banyak hutang membuatkan isteri tertekan lalu tekad meninggalkan suami.

Namun, tidak bermakna bagi pihak suami, dia tidak membekalkan secukupnya keperluan mahupun nafkah, tetapi tidak sempurna seperti diharapkan isteri.

Akhirnya suami disalahkan kerana ‘kemampuan ala kadarnya’ gagal menggembirakan isteri, mengakibatkan situasi kegagalan rumah tangga dan saudara mengalami masalah kewangan.

Dang Setia nasihatkan sebaik menghadapi masalah sebegini, jangan terus mengenang perpisahan dengan bekas isteri.

Lebih baik mengalih tumpuan kepada pekerjaan sedia ada dan sibukkan diri dengan aktiviti lain. Ini membuatkan saudara tiada masa untuk memikirkannya.

Selain itu, tangani perkara yang menjadi punca iaitu masalah kewangan saudara disebabkan kegagalan dalam perniagaan sampingan dulu.

Cuba dapatkan nasihat daripada pihak berkenaan dalam usaha mengenal pasti usaha yang dapat membantu pengurusan kredit dan kewangan saudara.

Malah, sebaik diuji dengan kegagalan berniaga, jangan pula melihatnya sebagai halangan tetapi anggap ia pengalaman untuk mematangkan saudara.

Dang Setia bimbang kerap merenung kegagalan akan membuatkan saudara jauh daripada Allah, sedangkan ketika ini saudara perlu lebih dekat kepada-Nya.

Selain itu, penuhkan dada dengan ilmu dan persediaan mental mahupun emosi supaya saudara tidak melalui langkah yang salah berkali-kali. Ia membantu saudara lebih rasional dan optimis.

Selain itu, baca buku biografi atau penulisan mengenai mereka yang berjaya.
Juga, tingkatkan kesabaran dan iltizam serta berdoa agar menempa kejayaan.

No comments:

Post a Comment