Monday 23 January 2012

Ramai Wanita Pilih Kasut Tumit Tinggi (‘kasut pembunuh’)

MUNGKIN anda perasan, tumit kasut wanita sekarang semakin tinggi. Memang nampak cantik apabila digayakan tetapi sedarkah anda banyak kasut tumit tinggi terutama yang halus dan runcing boleh memberi kesan buruk bukan saja pada kaki tetapi keseluruhan badan?

Tidak hairan jika ada pakar penjagaan kaki atau podiatris menggelar kasut tumit tinggi ini sebagai ‘kasut pembunuh’ kerana ia boleh menyebabkan banyak masalah daripada buku lali tergeliat sehinggalah kesakitan kronik.


Kasut tumit tinggi

Masalah: Sama ada tumit tinggi atau separa tinggi, ia boleh menyebabkan kesakitan pada belakang tumit. Material kasut yang keras akan menekan bahagian tulang kaki sehingga boleh membuatkan kaki melecet, bengkak, sakit atau tendon Achilles (iaitu keadaan di mana tendon pada otot di bawah betis, di pergelangan kaki akan alami kecederaan). Bentuk kaki juga akan berubah sedikit di mana tulang pada kaki akan tertonjol keluar.

Kasut yang tumitnya terlalu tinggi akan memaksa semua tekanan (beban badan) tertumpu pada bola kaki. Bola kaki ini ialah bahagian kaki paling lebar di bawah ibu jari. Walaupun saiznya kecil, tetapi di sinilah pertemuan beberapa
tulang dan tekanan yang keterlaluan boleh menyebabkan tulang dan saraf di kawasan ini mengalami keradangan. Bahkan tekanan yang terlalu banyak juga boleh membuatkan tulang mengalami keretakan halus dan mengakibatkan kesakitan. Selain itu, semua kasut tumit tinggi boleh menyebabkan risiko pergelangan kaki terseliuh.

Penyelesaian: Carilah kasut dengan tumit lebih rendah. Ia dapat mengelakkan anda daripada berhadapan dengan risiko mengalami masalah yang disenarai di atas, tetapi pada masa sama, masih boleh bergaya. Pakar podiatris menyarankan memilih kasut yang tumitnya tidak lebih daripada dua inci (lima sentimeter) - itu pun tidak dipakai selalu.


Kasut tumit halus

Masalah: Walaupun semua kasut tumit tinggi boleh menyebabkan masalah, kasut yang lebih berbahaya ialah bertumit halus. Ini kerana semua berat badan akan tertumpu pada satu pusat saja. Orang yang memakai kasut tumit halus perlu berjalan lebih perlahan dan berhati-hati kerana risiko untuk terseliuh atau jatuh sentiasa menunggu, apatah lagi jika lantai agak licin.

Penyelesaian: Jika masih mahu memakai kasut tumit tinggi, carilah tumit yang tebal supaya berat badan diagihkan lebih sekata pada tumit. Ini membuatkan kaki lebih stabil berbanding memakai kasut tumit halus. Pun begitu, tekanan masih dirasai pada bola kaki, tetapi pemakaian kasut tumit tebal akan mengurangkan risiko jatuh.


Kasut tapak rata

Masalah: Siapa kata kasut tapak rata ini ‘mesra’ pada kaki? Berdasarkan perbandingan yang dijalankan Jurucakap Persatuan Perubatan Podiatrik Amerika, Hillary Brenner, kasut tapak rata ini tidak memberikan sebarang sokongan kepada kaki. Ia menghalang kaki daripada berfungsi sepenuhnya dan boleh menyebabkan masalah lutut, pinggul dan pinggang. Kekurangan atau ketiadaan sokongan pada tapak kaki dikaitkan dengan kesakitan yang dipanggil plantar fasciitis (keradangan pada tisu tapak kaki dan membuatkan tumit sakit ketika berjalan).

Penyelesaian: Jika suka memakai kasut tapak rata, beli pelapik kasut yang boleh memberi sokongan kepada kaki, sekali gus memberi kusyen pada tumit. Pelapik ini terutama yang dibuat khas untuk kaki akan mengurangkan semua masalah dan kesakitan kaki. Sokongan pada lengkungan tapak kaki akan mengurangkan tekanan pada bahagian kaki yang sensitif.


Selipar

Masalah: Ia tidak menawarkan perlindungan pada kaki dan kaki anda terdedah kepada kecederaan. Mereka yang ada kencing manis tidak digalakkan memakai selipar untuk mengelakkan sebarang kecederaan. Ingat, pada
pesakit kencing manis, luka yang kecil pun boleh mendatangkan kemudaratan kerana kaki mereka sudah tidak sensitif dan mungkin tidak sedar luka menjadi semakin teruk.

Apa yang lebih membimbangkan, luka yang tidak dirawat dengan rapi boleh menyebabkan gangren (tisu mati) sehingga membawa kepada pemotongan kaki (amputasi).

Selipar juga seperti kasut tapak rata, ia tidak memberi sokongan kepada kaki.

Penyelesaian: Carilah selipar sporty yang memberi lebih banyak sokongan pada kaki. Tapak selipar yang lebih tebal akan melindungi kaki daripada berasa sakit terpijak batu. Lebih baik jika selipar itu direka mengikut lengkungan tapak kaki.


Kasut tebal dan baji

Masalah: Kasut tebal dan baji biasanya mempunyai lantai yang keras dan ia menghilangkan biomekanik ketika berjalan. Ini akan membuatkan kaki cuba membengkok dalam cara tertentu, tetapi tidak berjaya kerana kasut yang keras. Jika tumitnya jauh lebih tinggi daripada bahagian ibu jari, maka tulang jari kaki akan berasa banyak tekanan.

Penyelesaian: Beli kasut tebal atau baji yang lebih rendah. Walaupun ia masih tidak disarankan, kasut ini tidak memberikan banyak tekanan berbanding kasut bertumit tinggi. Kalau masih mahu memakainya, selang selikan dengan kasut jenis lain, bukan dipakai setiap hari.


Kasut runcing di depan

Masalah: Ia mungkin nampak bergaya, tetapi kasut runcing di depan ini akan menghimpit keseluruhan bahagian depan kaki. Selepas satu tempoh, ia akan menyebabkan kesakitan saraf, bunion (ada benjolan sakit di bawah ibu jari dan menyebabkan jari bengkok), melecet dan jari kaki bertindan serta senget. Kasut runcing di depan adalah faktor paling biasa yang menyebabkan masalah bunion pada wanita.

Selain itu jari kaki akan nampak cacat kerana ia dipaksa berhimpit antara satu sama lain. Apabila kecacatan berlaku, ia tidak boleh dikembalikan kepada keadaan asal kecuali melalui pembedahan.

Penyelesaian: Cari kasut yang mempunyai rekaan lebar di depan. Jika masih mahukan kasut yang runcing di depan, pilih kasut yang bahagian runcing ini melepasi jari.


Salah saiz

Masalah: Sembilan daripada 10 wanita membeli kasut yang satu saiz lebih kecil kerana mahu kaki mereka nampak comel. Malangnya ia boleh menyebabkan belulang, melecet, bunion dan pelbagai masalah lain. Kajian menunjukkan ramai kanak-kanak kini juga memakai kasut yang salah saiznya dan meningkatkan risiko mengalami kecacatan kaki ketika membesar.

Penyelesaian: Ukur kaki dan beli kasut yang sepadan dengan saiz kaki.
Ketika mencuba, cuba kasut baru sambil berdiri dan berjalan. Lebih baik beli kasut pada waktu petang ketika kaki kembang sedikit. Paling penting, ia perlu selesa dan memberi sokongan yang diperlukan oleh kaki dan seluruh badan.

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

No comments:

Post a Comment