Sunday, 22 January 2012

Curiga tunang layan adik angkat

SAYA sudah bertunang dengan lelaki pilihan saya. Kami bertunang pada Mei lalu dan tempoh perkenalan kami sangat singkat. Kini, saya mulai curiga dan pelik apabila menemui ada seorang perempuan yang dianggap adik angkat sering berhubung dengan tunang saya.

Namun saya kurang selesa sebaik mendapati dia selalu menghubungi tunang saya.
Malah saya tidak berpuas hati kerana perangai adiknya terlebih ‘gedik’ dan menjadikan tunang tempat bermanja.


Padahal dia tahu status tunang saya dan dia sendiri sudah punya teman lelaki.
Apabila saya meluahkan saya tidak selesa dengan tingkah laku perempuan berkenaan, tunang mengatakan saya terlalu cemburu dan tidak percaya padanya.

Sudah lama saya diamkan hal berkenaan dan setiap hari adik angkatnya semakin melampau. Apa yang saya perlu lakukan Dang Setia?

Daisy
Johor Bahru.




BERTERUS terang terhadap perkara yang tidak disenangi saudari mahupun pasangan adalah penting dalam memastikan hubungan berkekalan harmoni. Terus memendam dan menyimpan rasa tidak puas hati, dibimbangi akan memberi kesan buruk dalam hubungan.

Bagi Dang Setia, perasaan curiga dan cemburu menghantui saudari tatkala melihat tunang lebih mesra dengan wanita lain adalah normal.

Jika si dia berkata sikap saudari keterlaluan, lontarkan persoalan bagaimana penerimaannya andai saudari pula bermesra dengan lelaki lain.

Sekiranya tunang saudari menyatakan dia tidak cemburu, saudari perlu meneliti semula kedudukan saudari di sisinya. Bukan Dang Setia ingin menjadi batu api dalam hubungan saudari dan tunang, cuma saudari perlu jelas sejauh mana dia menyayangi saudari.

Tindakan ini dapat membantu mencegah sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan hubungan saudari dan tunang berantakan.

No comments:

Post a Comment