Sunday, 22 January 2012

Minyak urut punca kulit kerandut zakar kering

SAYA adalah seorang guru pelatih berusia 23 tahun. Sejak dua bulan lalu, saya mengambil minyak urut yang sudah terkenal di Malaysia untuk zakar dan sudah menampakkan hasilnya.

Namun, sejak kebelakangan ini, saya mendapati kulit kerandut zakar saya kelihatan kering dan kulitnya menggelupas tetapi ia tidaklah banyak. Adakah semua itu ada kaitan dengan penggunaan minyak urut itu atau ada punca lain?
Bagaimana hendak mengatasinya? Untuk pengetahuan doktor, zakar saya masih berfungsi dan mampu berereksi seperti biasa apabila terangsang dan ketika bangun pagi.
Saya juga aktif dalam sukan bola tampar. Saya mengharapkan agar doktor memberi penjelasan lanjut.

Terima kasih.

SAUDARA, jika masalah kulit kerandut zakar saudara menjadi kering dan menggelupas selepas mengunakan minyak urut terbabit, kemungkinan ia merupakan kesan dari penggunaan minyak berkenaan.

Ini kerana kulit kerandut zakar adalah nipis dan sensitif. Sekiranya ada pendedahan yang berterusan kepada bahan asing, reaksi allergi boleh berlaku dan hasilnya kulit kerandut zakar akan menjadi kering menggelupas dan kadangkala boleh menjadi gatal.
Satu lagi masalah yang sering mengenai kulit kerandut zakar adalah masalah jangkitan kulat atau fungus. Ia juga boleh menyebabkan kulit kerandut zakar menjadi gatal, merekah dan merah.

Masalah jangkitan kulat ini sering berlaku akibat perebakan jangkitan kulat dari bahagian celah kelangkang atau di bahagian paha. Saudara perlu hentikan penggunaan minyak urut itu terlebih dahulu dan lihat sama ada masalah itu akan pulih atau tidak.

Selain itu, saudara juga boleh mencuba meletakkan ubat pelembab seperti aqueous cream atau hydrocortisone cream 5% jika masalah ini menyebabkan saudara merasa gatal.

Kedua-dua ubat sapu ini boleh didapati dengan mudah di farmasi tanpa preskibsi. Sekiranya masalah ini masih berterusan, saya nasihatkan saudara berjumpa dengan doktor.

Saya juga ingin membangkitkan persoalan kenapa saudara perlu menggunakan minyak urut. Ini kerana saudara menyatakan bahawa zakar saudara berfungsi dengan baik dan mampu berereksi seperti biasa.

Jika saudara ingin membesarkan zakar dengan menggunakan minyak urut berkenaan, saya ingin menasihatkan saudara menghentikan perbuatan itu. Ini adalah kerana tidak ada minyak atau ubatan yang boleh membesarkan zakar saudara.

Lagipun zakar yang boleh berfungsi dengan baik dan yang mempunyai ketegangan yang baik sudah tentu boleh memuaskan pasangan saudara nanti. Saiz zakar bukanlah faktor yang menentukan kepuasan seks seorang wanita.

Sebagai seorang guru pelatih, saudara juga tentu faham mengenai konsep anatomi batang zakar. Ia terdiri dari dua tiub yang dibentuk dari tisu yang seumpama sponge yang akan membesar apabila dipenuhi darah.

Oleh itu, dari segi logiknya, tidak ada minyak atau cara urutan yang boleh membesarkan batang zakar.


Oleh Shamshul Azree Samshir

No comments:

Post a Comment