Sunday, 22 January 2012

Risau kuat berpeluh

SAYA berusia 21 tahun dan masih menuntut di kolej. Saya ingin tahu, mengapa tapak tangan saya selalu berpeluh? Saya kadang-kadang malu hendak bersalam dan terpaksa mengelap tangan terlebih dulu.

Tapak tangan saya kerap berpeluh tetapi apabila berada dalam kelas berhawa dingin, tidak pula mengeluarkan peluh. Apakah ini normal atau sebaliknya? Untuk pengetahuan doktor, setakat ini saya tidak menghidap sebarang jenis penyakit.
Ingin Kepastian
MASALAH yang anda hadapi iaitu pengeluaran peluh yang berlebihan dikenali sebagai hyperhidrosis. Masalah ini melanda 2.8 peratus dari populasi dan membabitkan kedua-dua jantina lelaki dan perempuan secara sama rata.

Ia kerap melanda pada peringkat umur 25 tahun hingga 64 tahun. Hyperhidrosis ini boleh membabitkan keseluruhan badan dan dalam setengah orang, hanya membabitkan kawasan tertentu pada badan. Kawasan ini adalah tempat yang mempunyai konsentrasi kelenjar peluh yang tinggi seperti tangan, kaki, celah ketiak dan kawasan kelankang.

Hyperhidrosis boleh diklasifikasikan sebagai primer di mana ia sering bermula ketika seseorang remaja atau hampir remaja dan ia boleh berlaku kepada beberapa anggota keluarga kerana ia ada kaitan genetik (antara 30 peratus hingag 50 peratus anggota keluarga boleh terbabit).

Manakala hyperhidrosis sekunder berpunca dari masalah seperti penyakit pituitary, kencing manis, gout, tumor, menopause dan kesan sampingan beberapa jenis ubat ubatan. Namun yang paling sering dihidapi adalah hiperhidrosis primer.
Punca sebenar hiperhidrosis masih belum diketahui tetapi banyak kajian menunjukkan ia berpunca dari peningkatan aktiviti saraf simpatetik. Perasaan resah, gelisah, panic atau teruja boleh memburukkan keadaan berpeluh ini.

Juga faktor lain seperti sesetengah makanan, minuman, pengambilan nikotin dan kafein dan sesetengah bau boleh juga menyebabkan pengeluaran peluh yang berlebihan di kalangan penghidap hiperhidrosis.

Untuk makluman anda, ada dua jenis rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat masalah ini:

1. Rawatan perubatan

Rawatan dengan menggunakan ubat sapuan yang mengandungi aluminium chloride sering digunakan untuk pesakit yang mengalami hiperhidosis pada bahagian ketiak.

Namun dalam sesetengah pesakit, konsentrasi yang lebih tinggi diperlukan dengan tempoh antara tiga hari ke lima hari diperlukan untuk mendapat kesan.

Ubat ini kadangkala boleh menyebabkan irritasi pada kulit. Ubat ini juga boleh digunakan untuk hiperhidrosis pada bahagian tangan dan tapak kaki. Suntikan botulinum toxin jenis A (BOTOX) juga digunakan untuk merawat masalah ini. Selepas disuntik pada kawasan terbabit, kesan pengurangan peluh dapat dilihat dan ia boleh bertahan hingga empat atau sembilan bulan bergantung kepada tempat suntikan. Pengunaan BOTOX untuk rawatan hiperhidrosis pada bahagian ketiak mendapat kelululusan FDA (US Food and Drug Administration)

Beberapa jenis ubat dari kumpulan anticolinergic seperti oxybutynin ( Ditropan) digunakan untuk merawat masalah ini dan kesannya adalah memberangsangkan.

Bagaimanapun, ada kesan sampingan yang boleh dialami pesakit yang mengambil ubat ini. Ini termasuk rasa mengantuk dan rasa kering pada mulut.

2. Rawatan Pembedahan.

Ada beberapa jenis teknik pembedahan yang digunakan untuk merawat masalah ini. Antaranya membabitkan pembuangan dan pemusnahan kelenjar peluh yang terbabit dengan cara liposction dan ada juga menggunakan laser. Namun teknik ini sesuai untuk masalah hiperhidrosis yang membabitkan bahagian ketiak saja.

Satu lagi teknik pembedahan yang sering dilakukan ialah teknik endoscopic thorasic syphatectomy (ETS). Teknik yang menggunakan cara laparoskopik atau pembedahan lubang kekunci ini membabitkan pemotongan/mengetik (clamping) saraf simpatetik pada bahagian dada.

Mengikut kajian yang dibuat, teknik ini memberikan kepuasan pesakit lebih dari 80 peratus dan ia sesuai untuk kanak kanak. Teknik ini juga boleh mengurangkan peluh dari tapak tangan pada 85 peratus hingga 95 peratus dari pesakit. Pembedahan ini boleh dilakukan oleh pakar bedah kardiothorasik atau pakar bedah laparoskopik.

Penyakit hiperhidrosis boleh membawa kesan fizikal kepada kulit seperti infeksi dan jangkitan kulat dan kulit melecet. Selain dari itu, ia boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang akibat dari perasaan malu dan tidak selesa kerana pengeluaran peluh yang banyak. Ada pesakit yang mempunyai masalah memegang barang-barang terutama yang dibuat dari kaca.

Kebanyakan dari mereka juga malu untuk berjabat tangan dan sering mengelak daripada melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan peluh seperti bersenam. Kesan basah pada baju di bawah ketiak juga sering memalukan dan kadangkala boleh menimbulkan bau yang tidak enak walaupun sudah memakai deodorant.

Di dalam kes yang teruk, baju terpaksa ditukar beberapa kali dalam masa sehari. Peluh yang banyak pada tapak kaki pula akan menimbulkan masalah terutama apabila memakai selipar getah kerana sering tercabut. Penyakit ini juga boleh menjejaskan karier seseorang terutama pada mereka yang sering berinteraksi dan berjabat tangan ataupun mereka menggunakan benda tajam seperti pisau.

Saya menasihatkan anda berjumpa pakar kulit terlebih dulu. Ini kerana mungkin ada ubat yang sesuai yang boleh digunakan sebelum anda melakukan pembedahan.


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras
tanyadrxy@bharian.com.my

2 comments:

  1. Saya selalu berpeluh di bahagian badan,ketiak dan muka. Kat tangan tak pulak.ada x ubat yg sesuai?

    ReplyDelete
  2. Saya selalu berpeluh di bahagian badan,ketiak dan muka. Kat tangan tak pulak.ada x ubat yg sesuai?

    ReplyDelete