SAYA mempunyai seorang anak lelaki berumur 13 tahun dan menghadapi masalah chordee.
Bolehkah doktor jelaskan apakah itu chordee dan apa yang akan berlaku jika tidak menjalani pembedahan. Sekiranya pembedahan dilakukan, apakah kesan seterusnya?
Jika saya ingin membawa anak pembedahan, di manakah pakar terbaik di Malaysia dan berapa kos untuk menjalani pembedahan itu?
SAUDARA, seperti yang saudara maklum, masalah yang dihadapi anak saudara adalah masalah di mana kepala zakar membengkok ke bawah. Keadaan ini dikenali sebagai chordee.
Bengkok ini selalunya berlaku di persimpangan antara batang zakar dan kepala zakar. Ada juga pesakit yang mengalami kebengkokan ke atas, tetapi ini amat jarang sekali berlaku.
Chordee ini dapat dilihat dengan ketara apabila batang zakar menjadi tegang tetapi ia juga dapat dilihat ketika batang zakar menjadi lembik. Ia kelihatan seperti kepala zakar menunduk ke bawah.
Chordee ini adalah masalah congenital, di mana ia terjadi ketika tumbesaran batang zakar di dalam perut ibu lagi.
Kebengkokan kepala zakar ke bawah ini boleh berpunca akibat dari keadaan berikut:
* Kulit di bahagian bawah kepala zakar lebih pendek dan melekat pada bahagian atas kerandut zakar. Oleh itu, ia kelihatan seperti menarik kepala zakar ke bawah.
* Terjadinya tisu berparut (fibrosis) di persimpangan antara batang zakar dan kepala zakar.
* Keadaan batang zakar yang lebih panjang dari saluran urethra menyebabkan zakar kelihatan bengkok.
Sekiranya tidak dirawat, chordee ini akan menyebabkan masalah semasa hubungan seks. Ini kerana semasa zakar menjadi tegang kepala zakar akan tertarik ke bawah dan tidak tegang ke depan.
Masalah akan timbul kerana penetrasi tidak dapat dilakukan. Selain itu, dalam kebanyakan pesakit, chordee sering berlaku bersama-sama dengan masalah hypospadias.
Hypospadias adalah keadaan di mana pembukaan lubang kencing tidak berada di hadapan kepala zakar. Ia boleh terletak di bawah kepala zakar hingga ke kerandut zakar didalam kes yang teruk.
Saya ingin menasihatkan saudara membawa anak berjumpa dengan pakar urologi atau pakar bedah pediatrik. Walaupun umur anak saudara sudah mencapai 13 tahun, namun masih belum terlewat untuk mendapat rawatan.
Apa yang penting ialah, doktor harus memastikan anak saudara tidak mempunyai hypospadias. Rawatan untuk membetulkan chordee hanya dapat dilakukan dengan cara pembedahan.
Pembedahan ini selalunya tidak akan menimbulkan apa-apa kesan sampingan kerana ia adalah pembedahan kecil saja. Namun ia perlu dilakukan oleh pakar urologi atau pakar bedah pediatrik.
Jika anak saudara mengalami masalah hypospadias, ianya perlu dirawat melalui cara pembedahan pada masa yang sama. Saudara perlu bertanya pada hospital yang terdekat dengan tempat tinggal saudara.
Jika anda menetap di Lembah Kelang, hospital yang mempunyai pakar urologi dan pakar bedah pediatrik ialah Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Jika saudara adalah kakitangan kerajaan, rawatan di hospital terbabit diberikan percuma.
Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras
Asslamualaikum doktor
ReplyDeleteBayi yang berusia dua bulan lebih disahkan menghidap chordee.keadaan penisnya melengkung.lubang kencing berada di kepala zakar malah kelihatan seperti kerkhatan.tetapi diatas batang penis ada gumpalan kulit yg kelihatan seperti kulit kulup.sarung kerandut juga ada belahan.boleh doktor terang secara ringkas rawatan dan kos utk kerja swasta