Sunday, 22 January 2012

Tak tahan senggugut

Masalah berlaku pada usia lanjut mungkin disebabkan endometriosis

Soalan: Saya sudah berkahwin lebih kurang enam bulan yang lalu dan belum dikurniakan cahaya mata. Kitaran haid saya tidak bermasalah dan stabil seperti biasa. Namun, sejak berkahwin, saya mengalami senggugut yang sangat teruk setiap bulan. Senggugut itu pula disertai sakit-sakit badan, sakit kepala yang teruk dan muntah-muntah. Saya harap doktor dapat memberikan pandangan dan nasihat berhubung masalah ini.
SU
Jawapan: Senggugut yang puan alami itu sebenarnya kerap dihadapi kebanyakan wanita. Senggugut ini boleh berlaku ketika wanita itu pada usia remaja, di bangku sekolah atau sudah masuk zaman pekerjaan.

Dan, masing-masing ada punca yang berlainan. Contohnya senggugut semasa remaja kebiasaannya tidak mempunyai apa-apa sebab dan akan hilang atau beransur kurang apabila umur meningkat dan selepas bersalin.

Sebaliknya, senggugut yang berlaku ketika usia lanjut selalunya berpunca daripada masalah seperti endometriosis. Senggugut kadangkala menjadi serius seperti berlakunya muntah-muntah yang teruk, sakit kepala dan memerlukan seseorang itu mengambil cuti atau ubat penahan sakit yang kuat.

Puan Su, seperti yang saya terangkan diatas, kalau Puan Su boleh hamil secepat mungkin, ia akan dapat membantu puan sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Kehamilan dan menyusukan bayi dapat mencegah ovari daripada aktif dan berlakunya haid. Ini dapat mengurangkan masalah senggugut.
Alternatif yang lain, puan boleh mengambil pil penahan sakit yang kuat bagi mengurangkan sakit semasa haid. Sekiranya puan belum bersedia untuk hamil, pil perancang keluarga adalah yang paling sesuai.

Bagi masalah kesuburan, biasanya doktor akan memberi masa sehingga 12 bulan bagi pasangan yang masih muda sebelum mereka diberi bantuan untuk hamil. Sekiranya puan masih sukar hamil dalam masa enam bulan lagi, saya cadangkan puan berjumpa doktor pakar. Salah satu daripada caranya adalah melakukan siasatan bagi mengetahui masalah kesuburan puan dan ini membabitkan prosedur laparaskopi.

Laparaskopi bertujuan untuk melihat keadaan saluran peranakan puan dan di samping itu kami juga mengambil kesempatan melihat punca-punca senggugut tadi.

Info: Senggugut

  • Ada dua jenis iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder.

  • Senggugut primer berlaku sejak mula wanita itu didatangi haid dan memang susah dicari puncanya.

  • Senggugut sekunder pula biasanya mempunyai punca dan yang paling biasa disebabkan masalah endometrisis. Oleh kerana pertumbuhan dan perkembangan endometriosis bergantung kepada hormon estrogen yang dikeluarkan semasa haid maka ia akan terus membesar dan merebak.


  • Jawapan disediakan: Dr Suhaimi Isa, Pakar Perubatan & Sakit Puan, Hospital Pantai Ampang.

    No comments:

    Post a Comment