SUDAH tiga tahun saya berumah tangga dan anak saya masuk dua orang kerana ketika ini, kandungan saya mencecah empat bulan.
Sebelum saya mengahwini suami, kami menjalin hubungan cinta hampir lima tahun tetapi itu tidak bermaksud saya cukup mengenalinya.
Dalam menjalin hubungan cinta, dia seorang yang boleh bergantung harap tetapi sangkaan saya meleset kerana saya mendapati dia menjalin hubungan luar sebaik usia perkahwinan kami mencecah satu tahun.
Apabila saya mempersoalkan tindakannya, dia bukan saja tiada rasa bersalah turut memukul dan menyeret saya meskipun ketika itu saya mengandung lima bulan.
Padanya, tindakan berkenaan wajar kerana dia mahu mendidik dan mengajar saya.
Saya mengaku saya ‘provok’ dia tetapi kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian, menyebabkan tindakan agresif beliau bertambah teruk.
Dia bukan saja pukul malah tumbuk serta memijak kepala saya hanya kerana tidak tahan dengan bebelan saya supaya dia tidak pergi disko dan meminum arak.
Hinggalah satu tahap di mana saya gagal membendung kemarahan disebabkan dia mengambil arak pada malam rakannya meraikan majlis hari lahirnya. Saya menegur dan dia terus ‘melenting’.
Saya mengadu kepada bapa dan dia meminta saya merujuk kepada pejabat agama.
Tetapi suami tidak hadir dan memujuk saya untuk memaafkannya.
Termakan pujukan, saya kembali ke rumah dan berharap dia tidak mengulangi.
Namun, dia meneruskan tabiat lamanya dan masih pergi ke disko serta meminum arak. Apabila saya menegurnya lagi, saya pula menjadi mangsa penampar dan tendangannya.
Malah, dia selalu mengungkit bahawa saya tidak menjalankan tanggung jawab sempurna, maka tidak layak menegurnya.
Saya mengaku tidak dapat mengatur kerja rumah dengan baik akibat alahan teruk ketika mengandung. Saya benar-benar tidak tahan dan tertekan, Dang Setia.
SYARAH
Setapak, Kuala Lumpur
Sudah cukup derita atau mampu lagi bertahan hanya boleh ditentukan oleh puan kerana puan lebih memahami tahap kemampuan diri, bukan saja di segi fizikal dan mental malahan juga emosi.
Situasi yang Dang Setia perhatikan keadaan puan sebenarnya sudah cukup kritikal dan selayaknya memohon perlindungan diri. Isteri mahupun perempuan sewajarnya dilindungi dan bukannya bola ataupun bantal untuk ditendang serta dihentam sesuka hati.
Riwayat al-Bukhari dan Muslim berbunyi, sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan memukul hamba. Sedangkan dia menyetubuhinya pula pada akhir harinya (malamnya).
Hadis ini bertujuan menegur perilaku suami yang kerap melayan isteri sebagai hamba abdi berbanding menghormati isteri dan melihatnya sebagai amanah.
Hukumnya wajib ke atas suami untuk menghormati isteri terutama isteri yang mengingatkan suami ke arah kebaikan bukannya dibalas dengan kekasaran.
Jika diselami lebih dalam, puan sudah menjadi mangsa keganasan rumah tangga kerana kerap menjadi mangsa kepada penderaan suami. Puan perlu bersuara menerusi tindakan undang-undang dan bertemu pihak berkaitan untuk memohon pembelaan.
Berdiam diri dan tindakan memaafkan membuta tuli terhadap bentuk penderaan yang berterusan begini, dibimbangi kelak akan memberi kesan yang mendalam bukan saja membahayakan diri puan malah anak dalam kandungan.
Puan berhak mendapat fasakh atau tuntutan taklik khuluq seandainya perkahwinan yang puan lalui kini hanya membawa penderitaan dan dilihat tiada penyelesaian.
No comments:
Post a Comment