SAYA pengkid berusia 29 tahun. Saya mempunyai kerjaya bagus dan berpendapatan tinggi. Saya terjebak dengan dunia pengkid sejak zaman sekolah. Sebenarnya saya menyedari mempunyai perasaan sukakan perempuan sejak di tadika. Perasaan saya bukan dibuat-buat atau trend masa kini, tetapi ia naluri semula jadi.
Ibu tahu saya pengkid tetapi dia memahami dan selalu berdoa serta menasihati saya supaya berubah. Saya terlalu ingin berubah menjadi wanita biasa dan normal. Saya ingin berubah dan bertaubat kerana saya sayangkan Allah dan ibu bapa. Ibu bapa saya sudah tua dan terlalu inginkan seorang menantu dan cucu.
Mereka cuma mengharapkan saya seorang kerana abang saya tidak pedulikan hal keluarga dan tidak bekerja. Saya sudah tinggalkan kawan pengkid dan cuma berkawan dengan rakan sepejabat.
Alhamdulillah, setakat ini saya mendirikan solat dan sentiasa berdoa kepada Allah supaya tunjukkan jalan diredai. Namun saya sedar naluri saya belum berubah. Saya tetap sukakan perempuan dan sukar mempunyai perasaan terhadap lelaki. Saya dapat rasakan saya tidak mungkin berkahwin seumur hidup saya.
Saya takut dan sedih jika hajat ibu bapa untuk melihat anak mereka berumah tangga tidak kesampaian. Saya sering menangis mengenangkan nasib saya. Apa lagi harus saya lakukan?
ROZA
Setapak, Kuala Lumpur
Sebaik saudari meluahkan perasaan sesalan terhadap mengamalkan kehidupan songsang, teringat satu ayat yang diucapkan seorang rakan.
Ungkapannya berbunyi: ‘apabila neraca Allah tidak diguna pakai, kelakuan serta perbuatan kemanusiaan kian hilang akibat bertuankan nafsu penuh kebinatangan’.
Bunyi ayat yang kedengaran kasar itu sebenarnya adalah realiti paling jelas menggambarkan kerosakan individu yang mengamalkan kehidupan cara bertentangan akibat dorongan hawa nafsu.
Namun begitu, Dang Setia bersyukur adik insaf dan memilih menjalani kehidupan normal kerana perasaan kasih kepada Allah serta keluarga yang banyak berbakti kepada adik.
Sekurang-kurangnya, adik punya peluang memperbaiki diri dan bertaubat sebelum terlambat. Cuba hayati apa dilalui kaum Luth sebelum ini supaya ia dapat mendorong adik menepis sebarang hasutan mengulangi perbuatan itu.
Tidak dinafikan ‘nafsu dan kecenderungan meminati sejenis’ antara perkara terkutuk yang sukar dihentikan. Ia bagaikan dadah yang meresap jauh dalam darah. Malah, tempoh terlalu lama menghidapinya iaitu melangkaui lebih 20 tahun menyebabkan ia sukar dihakis.
Untuk itu, Dang Setia sarankan adik menjalani ‘reverse’ terapi dalam memulih keinginan luar biasa itu. Ia bukan dilihat sebagai perubahan sikap tetapi lebih kepada penyakit yang memerlukan rawatan sewajarnya.
Jangan segan mendapatkan bantuan profesional dan perlu diiringi dengan bimbingan agama berterusan.
Di samping itu, adik perlu ikhlas memohon kepada Allah supaya dibuka hati untuk mengenali dan menyukai kaum lelaki dalam usaha memperoleh kebahagiaan diri dan keluarga.
No comments:
Post a Comment