Sunday, 22 January 2012

Lelaki rindu teman sebilik

SAYA penuntut universiti awam di selatan tanah air. Saya berasal dari utara dan kini di kampung kerana bercuti semester.

Masalah saya adalah saya terlalu rindukan rakan sebilik. Saya tidak tahu mengapa, tapi hati saya menjadi tidak tenteram apabila berjauhan dengannya.

Hakikatnya saya seorang lelaki dan jika diteliti, perasaan saya kepadanya melebihi perasaan terhadap seorang teman. Saya juga kerap berasa cemburu sebaik terfikir apa yang dilakukan sepanjang waktu cuti ini.

Saya menjadi tidak bersemangat dan sering murung tatkala memikirkan bagaimana atau dengan siapa dia habiskan masa.


Tolonglah saya Dang Setia, saya tidak tahu saya mempunyai perasaan sebegini, sedangkan sebelum ini saya tidak pernah terfikir dirinya.


IZIE
Batu Kawan, Pulau Pinang




Cantaskan perasaan kasih adik sebelum ia tumbuh mekar di dalam hati. Bukan Dang Setia ingin menggalakkan perasaan benci, tetapi kasih kepada teman sejenis sesuatu yang dikutuk dan dicela Allah.

Tidak salah merindu tetapi terlalu merindu sehingga menyuburkan perasaan cemburu terhadap kawan sebilik tidak lagi dianggap perasaan kasih yang normal.

Sebelum tunduk dengan perasaan itu, fahami dulu rasionalnya adakah perasaan itu telus sebagai sahabat atau mempunyai elemen nafsu songsang.

Andainya terdorong menjadikan rakan sebagai teman memuaskan nafsu songsang, lebih baik adik menghindari dan beristighfar supaya perasaan itu tidak terus membelenggu diri.

Malah, adik perlu kembali kepada sirah bagaimana adab dan akhlak persahabatan yang diusulkan oleh Rasulullah SAW dan sahabat paling akrab baginda, Saidina Abu Bakar dalam memperlihatkan makna setia kawan.

Harus diingatkan sahabat baik adalah mendorong rakannya kepada sesuatu kebaikan berbanding menjerumuskan diri ke dalam lembah kehinaan. Insya-Allah, hubungan adik terhadap rakan adalah untuk perkara yang diredai Allah.

No comments:

Post a Comment