Sunday, 22 January 2012

Anak gadis berubah sikap sejak masuk sekolah berasrama penuh

SAYA mempunyai anak gadis berusia 16 tahun. Tahun depan dia bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia belajar di sekolah berasrama penuh (SBP).

Sejak kebelakangan ini dia berubah laku. Anak gadis saya dulunya lemah lembut dan mudah ditegur, tetapi kini bertukar sikap. Saya tidak pasti puncanya, tetapi percaya mungkin ia disebabkan pengaruh rakan.

Dia bukan saja mudah meradang sebaik ditegur, malah gemar mengugut saya serta suami tidak mahu bersekolah serta mendapat keputusan cemerlang andainya permintaan tidak dituruti.

Saya menegur dan memarahinya kerana sikapnya yang buruk dan kurang ajar terhadap suami. Saya tidak mahu menghukumnya kerana bimbang dia lari daripada rumah.


Masalahnya, permintaan dia makin tidak masuk akal apabila baru-baru ini meminta suami membelikannya iPad 2 kerana katanya semua rakannya mempunyai ‘gajet’ berkenaan.


Saya dan suami bukan orang senang, malah berpendapatan sederhana. Kini kami banyak menanggung perbelanjaan termasuk rumah, kereta serta keperluan anak lain.

Saya khuatir sikapnya sukar diubah. Saya pening memikirkan sikapnya yang mementingkan diri tanpa memikirkan ibu bapa yang bersusah payah mencari duit untuk membesarkannya.

ZAKIAH
Bota Kanan, Perak




Teori Erikson mengenai perkembangan psikologi menerangkan golongan remaja sememangnya dikenali sebagai ‘pemburu identiti yang sangat ekstrem’. Malah, perkembangan individu ketika ini dipercayai berada tahap kritikal dalam menentukan pembentukan personaliti dirinya.

Rentetan daripada konflik berkenaan, tidak hairan tingkah laku serta sikapnya bertukar secara drastik menyebabkan puan tidak dapat menerimanya. Peranan puan, tentu sekali puan tidak boleh menggunakan pendekatan kasar mahupun keras terhadap anak kerana ia menyebabkan anak mula menjauh daripada diri puan.

Beri peluang pada dirinya untuk menerima nasihat terlebih dulu serta jangan terus menghukum dirinya kerana ego dirinya semakin meningkat. Daripada terus menghukum tanpa menyatakan apa kesalahan dilakukannya dilihat puan tidak memberi ruang untuk dirinya meluahkan perasaan serta alasan.

Cuba mendengar berbanding membebel tanpa ada hala tuju jelas kerana ada kalanya perubahan sikap bermaksud dirinya menagih perhatian daripada ibu bapa yang mungkin lebih menumpu perhatian terhadap adik beradik lain.

Tambahan dia yang tinggal di asrama dan lebih banyak bergaul dengan rakan menjadikan apa jua keperluan rakan wajib ada pada dirinya. Itu kerana dia tidak mahu dipinggirkan oleh rakan yang mungkin dilihat lebih ‘advance’ atau punya segala berbanding dirinya.

Terus-menerus memberi tekanan dengan memarahi, menghentam setiap kesilapan serta mengungkit apa juga keburukan dirinya dilihat bukan jalan penyelesaian yang baik.

Lebih baik puan cuba berkongsi pandangan serta berbual seakan-akan dirinya sebagai rakan.

Ketika itu, puan boleh selitkan bagaimana imej ‘manisnya’ ketika kanak-kanak kian hilang dengan setiap perlakuan kasar.

Sentuhan lembut ibu, seperti pelukan serta ciuman di pipi diiringi doa antaranya, penawar terbaik buat anak yang keras hatinya supaya menjadi lembut dan menghormati ibu bapa. Insya-Allah kelakuan anak puan boleh dilentur kembali.

No comments:

Post a Comment