Sunday 22 January 2012

Krim halia ciptaan UKM sembuhkan kulit bersisik

BANGI: Sejenis krim halia, produk penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dihasilkan daripada sejenis sebatian aktif dari pokok halia terbukti dapat menyembuh penyakit kulit "psoriasis".

Pensyarah Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Azimahtol Hawariah Lope Pihie yang mengetuai penyelidikan itu berkata krim itu dinamakan Psorcare terbukti berkesan setelah diuji pada 250 pesakit psoriasis.

Katanya, pihaknya kini menerima tempahan daripada pelanggan luar negara termasuk Switzerland, France, England dan Kuwait.

"Krim ini diperbuat daripada sejenis keluarga halia yang dipanggil halia hutan dan ia bersifat antigatal, antikulat, antibakteria dan antimelanin," kata Hawariah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, psoriasis yang berpunca dari kegagalan fungsi sel darah putih yang menyebabkan inflamasi dan gerak balas keradangan pada kulit mengakibatkan proliferasi sel hingga berlaku pertumbuhan kulit bersisik dan kemerahan pada keseluruhan tubuh pesakit.

Hawariah berkata krim itu, yang diproses di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi dengan bahan utamanya, halia, yang ditanam di tanah seluas 20 hektar di Banting, akan bertindak membunuh sel-sel psoriasis yang rancak membahagi di samping menggalakkan pertumbuhan normal sel-sel berkenaan.

Beliau berkata kadar penyembuhan seseorang pesakit bergantung kepada luas jangkitan psoriasis.

"Sekiranya ia menjangkiti seluruh badan, tempoh antara satu hingga dua bulan diperlukan untuk sembuh, manakala jika hanya berlaku di bahagian kecil seperti di tangan, ia hanya mengambil masa dua minggu," katanya.

"Sebanyak 99 peratus daripada pesakit yang menggunakan krim ini sembuh. Pesakit datang berjumpa saya di rumah untuk mencuba krim ini dan pada mulanya mereka tidak yakin dengan produk ini. Tetapi selepas menggunakannya, barulah mereka percaya," kata Hawariah sambil menunjukkan beberapa contoh testimoni pesakit yang telah menggunakan krim itu.

Beliau berkata krim Psorcare, yang mendapat sokongan daripada pakar perubatan kulit, boleh digunakan bersama krim lain yang dibeli di farmasi dan klinik kerana ia tidak mendatangkan kesan sampingan.

Krim itu boleh didapati di pejabat fakulti itu di nombor telefon 03-89-21-31-83 dengan harga RM40 sekotak. BERNAMA

1 comment:

  1. Salam,

    Tumpang tny, mcm mana nak dapatkan krim halia ni? Sy try call nombor pejabat fakulti kt atas tak berjawab pun.

    Tq.

    ReplyDelete