Sunday, 22 January 2012

Gadis gempal jatuh hati pada teman baik

SAYA berumur 21 tahun dan masih bujang. Saya bekerja sebagai juruteknik di kilang. Saya mempunyai kenalan lelaki yang rapat.

Hubungan kami rapat kerana sikapnya yang mengambil berat mengenai diri saya.
Saya rasa diri dihargai dengan adanya rakan yang bersikap baik sepertinya.


Pada masa yang sama, saya tertarik dan mula jatuh hati padanya.

Namun saya tahu impian diterima menjadi kekasihnya mungkin hanya tinggal impian saja kerana mana mungkin, dia akan menerima saya sebab saya ialah seorang gadis yang bertubuh gempal, manakala dia kurus dan kacak.

Kadangkala saya berasa gembira setiap kali bertemu dengannya hinggakan saya semacam syok sendiri. Saya tidak dapat sorok perasaan saya lagi.

RIZQIN
Sungai Buaya, Selangor




Tiada definisi tepat mengenai kecantikan seseorang. Malah, seandainya perlakuan serta cara pemakaian kena pada pandangan individu memandangnya, ia sudah memadai.

Istilah cantik sangat abstrak dan subjektif kerana ia berbeza mengikut cita rasa individu. Ada lelaki yang meminati wanita gempal dan menganggap mereka jauh lebih cantik berbanding yang kurus.

Justeru, beranikan diri untuk berterus terang dengannya. Daripada terus menggigit jari, apa salahnya saudari luahkan saja perasaan serta perkara yang menyebabkan dia sangat menarik menurut pemerhatian saudari.

Kalau saudari malu, lakukan secara berlapik dengan memberikan bayangan tertentu bahawa saudari jatuh hati kepadanya.

Lazimnya lelaki memahami sesuatu bayangan yang diberi seseorang gadis berkaitan soal hati, apatah lagi jika dia turut meminati gadis berkenaan.

Jangan bimbang dengan sebarang penolakan, kerana sekurang-kurangnya saudari mendapat jawapan yang jelas mengenai kekusutan di hati saudari.

Bermula saat itu saudari tidak perlu mengharap kasih daripadanya kerana sudah jelas dengan kedudukan saudari di hatinya.

No comments:

Post a Comment