TEH PANDA sangat berkhasiat? Ramai tidak percaya, tetapi inilah yang cuba diyakinkan seorang pengusaha China, An Yanshi apabila dia mengatakan menemui bahan rahsia untuk menghasilkan teh termahal di dunia iaitu dengan menggunakan najis panda.
Bekas guru kaligrafi itu membeli 11 tan najis dari pusat pembiakan panda untuk dijadikan baja tanaman teh di kawasan pergunungan di wilayah Sichuan di barat daya China yang menjadi kediaman beruang hitam dan putih itu.
Menurut An, tanaman tehnya yang diberikan baja najis panda itu akan dituai kali pertama pada musim bunga ini dan ia bakal menjadi ‘teh paling mahal’ di dunia dengan harga hampir 220,000 yuan (RM112,000) bagi 500 gram daun teh.
Peminum teh Cina menganggap teh yang dituai untuk kali pertama pada awal musim bunga sebagai teh terbaik dan tuaian berikutnya juga dianggap berkualiti tinggi dan boleh dijual pada harga 20,000 yuan.
Pengusaha berumur 41 tahun yang sangat teruja dengan projeknya itu mengenakan pakaian bertema panda ketika ditemu bual, pernah diejek dan disindir sesetengah orang di China kerana dakwaannya yang dianggap keterlaluan mengenai khasiat teh panda.
Bagaimanapun, An tegas dengan pendapatnya dan berkata, dia sanggup berhenti kerja daripada Universiti Sichuan untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada syarikat barunya, Teh Panda. Di logo syarikatnya terpapar gambar panda tersenyum, memakai tali leher reben sambil memegang secawan teh hijau panas.
Walaupun An berharap dapat membuat keuntungan daripada teh berkenaan yang ditanam di kawasan seluas satu hektar, misi utamanya adalah meyakinkan dunia untuk melindungi alam sekitar dan menggantikan penggunaan baja kimia dengan najis haiwan sebelum terlambat.
“Najis panda sangat kaya dengan khasiat dan ia sepatutnya lebih baik berbanding baja kimia. Manusia perlu mengadakan hubungan yang harmoni dengan syurga, bumi dan alam sekitar.
“Setiap orang bertanggungjawab melindungi alam ini,” katanya sambil duduk di meja teh tradisional Cina dan menikmati teh yang ditanam menggunakan baja najis lembu.
Dia kemudian menunjukkan kertas lukisan tradisional Cina yang semuanya mempunyai gambar panda yang ceria, buluh dan tulisan kaligrafi.
Pencinta teh ini mendapat ilham untuk menggunakan najis panda sebagai baja selepas menghadiri seminar tahun lalu apabila dia mendapati beruang berkenaan hanya menyerap 30 peratus khasiat daripada buluh yang dimakannya dan 70 peratus lagi akan dibuang sebagai najis.
An juga menunjukkan satu jag najis panda yang masih ‘segar’ dan digunakan untuk menyiram dua pokok teh di dalam pejabatnya dengan memberi penekanan terhadap ‘kualiti’ dan ‘warna hijau’ baja asli berkenaan.
Dia yang begitu yakin bahawa Teh Panda akan mendapat sambutan ramai, sudah mempatenkan ideanya itu bagi mengelakkan pesaing daripada meniru dan mencurinya - satu perkara yang sangat biasa di negara itu apabila ramai melanggar undang-undang melindungi harta intelek.
Dakwaannya yang mengatakan teh hijau akan membantu orang mengurangkan berat badan dan melindungi mereka daripada radiasi juga ditertawakan sesetengah pelayar laman web. Mereka secara terang-terangan melahirkan keraguan terhadap kesahihan manfaat kesihatan teh berkenaan, apatah lagi apabila An mahu menjual hasil tuaian pertama pada harga yang sangat mahal.
“Jika najis panda itu baja yang sangat baik untuk pokok teh, saya hendak tanya cikgu ini, mengapa dia tidak makan najis panda itu saja? Dengan cara itu, anda akan dapat 70 peratus khasiat yang tidak diserap badan panda,” kata salah seorang pelayar laman web, Baihuashu.
Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai 24-0 menulis, “200,000 yuan untuk satu jin (500 gram) daun teh yang dibaja dengan najis panda - ini minum teh ke minum darah panda?”
Walaupun mendapat pelbagai sindiran dan kecaman terhadap teh yang akan dituai hasilnya tidak lama lagi itu, An berkata, semangatnya tidak luntur malah kini memikirkan cara untuk memperluaskan perniagaannya.
“Selepas tuaian pertama, jika kualitinya betul-betul bagus, kami akan gandakan pengeluarannya,” kata An sambil melambaikan tangannya yang memakai sarung tangan panda - sebagai tanda keyakinan. - AFP
No comments:
Post a Comment