Sunday, 22 January 2012

Warga emas sukar tahan kencing

DOKTOR, saya berumur 60 tahun dan mengalami masalah besar. Saya tidak dapat menahan kencing. Untuk makluman doktor, saya terpaksa pergi ke tandas selang 15 minit.

Saya sudah mencuba mengurangkan minum air tapi tidak berkesan. Saya juga bangun malam lima hingga enam kali. Apa yang paling merisaukan saya ialah saya tidak dapat pergi ke masjid. Pada hari Jumaat, saya terpaksa menunggu iman habis baca khutbah baru saya boleh mengambil wuduk dan bergegas keluar sebaik saja sembahyang tamat.
Saya juga tidak dapat menunaikan sembahyang terawih pada bulan ramadan. Saya juga pernah terkencing dalam masjid hingga habis basah kain. Ini amat memalukan saya. Lebih merisaukan, saya akan berangkat menunaikan fardu haji pada musim akan datang. Tolonglah saya doktor.
Risau Masalah Besar


SAUDARA, kemungkinan besar saudara mengalami masalah pundi kencing yang terlalu aktif atau overactive bladder (OAB). Ini berdasarkan tanda-tanda yang saudara alami.

OAB adalah masalah di mana pundi kencing akan mengalami kontraksi sebelum sampai tahapnya. Pundi kencing boleh menakung sehingga 400 miliiter (ml) air kencing. Bagaimanapun, dalam masalah overactive bladder, pundi kencing akan mengalami kontraksi apabila air kencing mencecah 150 ml atau dalam kes yang lebih teruk, sebanyak kurang dari 100 ml.

Kontraksi pramatang pundi kencing ini akan menimbulkan tanda-tanda berikut:
  • Kekerapan membuang air kecil lebih dari 10 kali sehari.
  • Perasaan tidak dapat menahan kencing. Apabila ditahan, akan berlaku kesakitan pada bahagian bawah abdomen.
  • Kadangkala terjadi kebocoran air kencing secara tidak sengaja (urge incontinence).


Pada peringkat umur saudara, kebanyakan masalah overactive bladder adalah berpunca dari pembesaran kelenjar prostat. Saudara juga ada mengalami masalah bangun malam untuk membuang air kecil.

Untuk pengetahuan saudara, simptom ini dikenali sebagai nokturia dan ia adalah sebahagian dari tanda tanda pembesaran kelenjar prostat. Selain dari nokturia, tanda- tanda lain pembesaran kelenjar prostat adalah seperti berikut:

  • Aliran kencing yang perlahan.
  • Terpaksa menunggu lama untuk air kencing keluar.
  • Air kencing menititik pada akhir kencing.
  • Terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing.
  • Perasaan tidak puas selepas kencing. Rasa seperti air kencing masih ada lagi di dalam pundi kencing.


Selain dari overactive bladder, ada beberapa sebab yang lain yang perlu pastikan ketidakhadirannya sebelum diagnosis overactive bladder dibuat. Ini termasuk jangkitan pada saluran kencing.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang mengidap jangkitan kuman pada saluran kencing, selain dari kencing yang kerap, seseorang itu akan merasa pedih apabila membuang air kecil; rasa panas semasa air kencing melalui saluran urethra; sakit pada bahagian ari ari dan demam.

Kehadiran batu karang dalam pundi kencing juga boleh menimbulkan simptom yang sama. Namun, jika ada batu dalam pundi kencing, seseorang itu akan kerap mengalami kencing yang sakit serta kencing bercampur darah. Aliran air kencing juga akan menjadi tersekat-sekat.

Saya ingin menasihatkan saudara berjumpa dengan pakar urologi. Ini kerana beberapa pemeriksaan perlu dibuat sebelum rawatan diberi. Pemeriksaan air kencing akan dilakukan untuk mengetahui kehadiran kuman dalam air kencing.

Pemeriksaan ultrasound juga mungkin akan dilakukan untuk mengetahui kehadiran batu karang dalam pundi kencing. Melalui pemeriksaan ini juga, status buah pinggang boleh diketahui.

Doktor juga mungkin akan melakukan pemeriksaan digital untuk mengetahui tahap pembesaran kelenjar prostat. Pemeriksaan ini membabitkan memasukkan jari ke dalam lubang dubur.

Diari pundi kencing atau bladder diary juga perlu diisi. Dalam diari ini, saudara perlu mencatat jumlah air dan jenis air yang diminum, kekerapan saudara membuang air kecil dan jumlah air kencing yang keluar serta perlu dilakukan sepanjang tiga hari berturut-turut.

Ada pelbagai jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat masalah yang saudara hadapi. Ubat yang paling sering digunakan ialah dari jenis antimuscarinic. Ubat ini akan menstabilkan pundi kencing dan mengelak dari mengalami kontraksi pra matang.

Contoh ubat yang ada di pasaran ialah tolteradine (Detrusitol) dan Solifenacin (Vesicare). Kedua-dua ubat ini memerlukan preskripsi doktor. Kesan sampingan ubat ini adalah kering mulut dan sembelit. Namun, peratusannya amat rendah.

Selain itu, jika saudara mengalami pembesaran kelenjar prostat, rawatan juga perlu diberi untuk membolehkan aliran kencing saudara pulih seperti biasa.

Ada beberapa kaedah behavioral therapy yang akan diajar kepada saudara untuk membolehkan saudara menahan kencing dengan lebih lama. Ini termasuk time voiding di mana saudara akan diajar cara mengawal pundi kencing dan pergi ke tandas pada masa masa yang ditetapkan.

Selain itu, saudara juga perlu mengurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein terutama sebelum tidur. Ini kerana minuman yang mengandungi kafein seperti kopi mempunyai kesan diuretic iaitu kesan yang merangsang buah pinggang mengeluarkan lebih banyak air kencing.

Saudara juga perlu mengurangkan pengambilan air sebelum tidur untuk mengelak bangun pada waktu malam.

Bersama Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin,
Pakar Urologi,
Ketua Unit Urologi,
Pusat Perubatan UKM, Cheras.


Oleh Shamshul Azree Samshir

No comments:

Post a Comment