SALAM Dang Setia. Saya berusia 24 tahun dan baru saja menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di institusi pengajian awam tempatan.
Hampir setahun saya menjalin hubungan cinta dengan suami orang dan dia senior ketika di sekolah dulu. Dia bertugas dalam badan beruniform dan sudah memiliki dua cahaya mata.
Baru-baru ini, dia melamar saya supaya menjadi isteri keduanya. Memang itu yang saya idamkan tetapi memikirkan cabaran yang mungkin dihadapi, saya menjadi serba salah untuk menerimanya.
Terlintas di fikiran pelbagai masalah yang bakal timbul antaranya tentangan daripada isterinya, kebenaran orang tua saya dan pandangan orang kampung mengenai hubungan kami sebaik menerima lamaran kerana kami sekampung.
Saya akui memang punca daripada saya kerana memberi maklum balas positif terhadapnya menyebabkan hubungan kami erat sebegini.
Namun saya tidak dapat menolak kerana saya jatuh hati dengan kebaikan dirinya yang tidak pernah mengambil kesempatan serta jujur menyatakan dirinya sudah berkeluarga.
Dang Setia bantulah saya sama ada perlu meneruskan hubungan atau berlalu pergi daripada hidupnya?
Saiza
Kota Bharu
Saudari sedia maklum masalah bakal saudari hadapi sebaik menjalin hubungan dengan suami orang.
Namun saudari seakan-akan sukar menolak lamaran si dia, sekali gus menyebabkan kedudukan saudari ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Bukan hak Dang Setia menafikan dia pasangan sesuai buat saudari, cuma Dang Setia nampak tindakan saudari ini bakal melukakan hati banyak pihak. Tidak terbatas isterinya saja bakal dikecewakan, turut menjadi mangsa ialah keluarga saudari sendiri.
Fikirlah semasak-masaknya kesan setiap tindakan saudari ambil. Lebih baik saudari berbincang dengan orang tua kerana mereka memahami dan mengetahui perkara terbaik buat diri saudari.
Saudari, keredaan dan kebahagiaan dalam kehidupan bergelar suami isteri hanya diperoleh dengan restu ibu bapa. Jika mereka tidak menyenangi, lebih baik saudari mengundur diri.
Pernah diceritakan satu kisah direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadis hassan sahih. Abdullah Ibnu Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Atas sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu dan menyuruh anaknya mencerai si isteri.
Abdullah r.a. mengabaikan perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w. yang kemudian bersabda: “Wahai Abdullah Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.”
Selain itu, saudari dan si dia perlu bersemuka dengan isterinya bagi mengelak masalah lebih besar. Sudah tentu saudari lebih jelas perasaan isterinya sebaik dimadukan.
Dengan menemui isterinya diharap sedikit sebanyak dapat mengelakkan penderitaan lebih besar kepada isterinya. Malah saudari nampak lebih telus dan dapat memahami kedudukan sama ada pasangan saudari mampu berlaku adil atau tidak.
Andai usaha si dia mengahwini saudari dilihat membebankan pihak satu lagi, lebih baik saudari memikirkan alasan terbaik untuk menolak lamarannya.
No comments:
Post a Comment