SAYA berkahwin dengan pilihan hati hampir dua tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia setahun enam bulan. Sepanjang perkahwinan kami, suami tiga kali curang dengan saya.
Tiga kali dia menjalin hubungan dengan wanita berlainan, tiga kali juga saya menangkapnya. Dia terkantoi ketika saya terbaca kiriman mesejnya.
Hati saya sangat terluka lalu minta dia lepaskan saya kerana kecewa. Meskipun saya tahu perceraian itu dibenci Allah, namun saya tidak dapat menerimanya lagi.
Tambah mengecewakan, dia tidak langsung rasa bersalah dengan kecurangannya, malah menyalahkan perbuatan saya membaca dan mengusik telefonnya. Tidak cukup dengan marah, saya turut ditendang.
Sekarang saya dingin dengan suami sehingga ada juga perasaan ingin curang di tempat kerja. Namun menyedari dosa dan maruah diri akan tercemar, saya mendiamkan diri di tempat kerja dan mula membenci lelaki, terutama ‘suami orang’ yang ada skandal.
Apa harus saya lakukan untuk memulihkan hati ini dan menjernihkan kembali keadaan seperti dulu? Jauh di sudut hati, saya masih menyayangi suami dan anak.
AIDA
Selangor
Tidak dinafikan terluka, kecewa dan derita menjadi rencah rasa dalam hati puan, sebaik perbuatan curang suami disedari. Lebih parah, kecurangannya dilakukan berulang kali tanpa ada istilah insaf di hatinya.
Malah, puan dimarahi dan ditendang kerana menyelongkar telefon sehingga membawa kepada penemuan sikap curangnya.
Dang Setia memahami situasi dilalui. Puan punya pilihan sama ada memulihkan hubungan dalam usaha menyelamatkan perkahwinan atau terus berputus asa dengan sikap suami yang tidak mahu berubah.
Namun Dang Setia melihat puan masih menyayangi suami dan berharap dapat memulihkan perkahwinan. Dang Setia sarankan puan berusaha mencari jalan untuk berbincang dengan suami jika mahu meneruskan hidup bersamanya
.
Puan perlu tabah berusaha memujuk suami biarpun terpaksa merayu supaya dapat berbincang daripada hati ke hati. Gunakan ayat yang dapat melembutkan hatinya daripada tindakan menyalahkan dia.
Hentikan perang ‘dingin’ dilancarkan kerana itu hanya membuatkan puan dan dirinya lebih jauh. Cerminkan perlakuan kasih dan sayang seperti mana saat berkenalan dengan suami.
Tanya mengapa dia masih menjalin hubungan luar sedangkan puan setia dengannya. Beri perhatian dan tunjukkan betapa puan ingin perbaiki hubungan.
Selain itu, sentiasa memohon kepada Allah supaya suami puan berubah laku dan tidak mengulangi perbuatan curang.
No comments:
Post a Comment