Sunday, 22 January 2012

Suami pemalas Isteri tertekan

SAYA berkahwin dengan K tiga bulan lalu atas dasar suka sama suka. Kini saya hamil dua bulan. Sebaik berkahwin, kami tinggal bersama ibu bapa saya. Pada mulanya saya berasa tiada masalah serta bahagia.

Namun, kebelakangan ini saya kurang senang dengan sikap suami yang berat tulang membantu saya serta ibu bapa dalam urusan rumah.

Ibu menyuruh saya menegur suami yang kurang prihatin kerana enggan membantu saya membuat kerja rumah seperti membasuh pinggan, mengemas meja makan serta membasuh kain.

Bukan apa, ibu bapa bimbang suami kurang peka dengan keperluan saya ketika mengandung apabila urusan kecil begini pun dia mengelak untuk membantu.


Ada ketikanya bapa saya pula lebih mengambil tahu urusan saya berbanding suami yang lebih senang duduk dalam bilik.


Bapa kerap membantu mengangkat pinggan saya serta membantu menyediakan meja setiap kali makan malam.

Saya menjadi segan dan malu dengan perangai suami yang tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah yang gemar menghabiskan masa di bilik berbanding berbual dengan orang tua saya.

Dia juga banyak menghabiskan masa bermain permainan video. Perangainya begitu kebudak-budakan dan saya percaya ini kerana suami anak bongsu dalam keluarganya.

Saya menjadi serba salah bagaimana untuk menegur suami yang sensitif serta dalam pada sama mahu dirinya berubah sebelum anak kami dilahirkan.

AINI
Jitra, Kedah



Benar seperti dikatakan ibu bapa saudari. Melihat saja sikap suami gemar memberi perhatian perkara lain selain diri saudari menyebabkan mereka bimbang.

Pandangan orang tua yang lebih banyak pengalaman tidak boleh dipandang ringan dan puan sebagai isteri perlu tangani suami sensitif dengan sebijak-bijaknya.

Terutama memikirkan puan bakal melahirkan anak menuntut perhatian suami lebih daripada biasa kerana dia bukan saja perlu menjaga keperluan puan, malah anak.

Perkara perlu puan lakukan bermula dengan pendekatan lembut serta halus berbanding mengarah serta tampak menyuruh, selain meminta suami membantu setiap kali puan memerlukannya.

Pinta dengan elok supaya dia ringan tulang untuk membantu berbanding membebel kerana ia menyebabkan sikapnya yang keanak-anakan memberontak serta berat hati untuk membantu ketika bersama.

Andainya dia enggan, guna pendekatan memujuk rayu supaya dapat meraih simpati suami yang tidak mahu membantu serta tidak simpati melihat isteri.

Selain itu, ketika berdua, ambil peluang berbual mengenai perancangan dan berbincang mengenai pembahagian sementara menanti kelahiran anak.

Luahkan kebimbangan dengan sikapnya kini seperti kelihatan kurang mengambil berat bakal mengundang pelbagai masalah sebaik bayi dilahirkan.

No comments:

Post a Comment