Sunday 22 January 2012

Pil hormon rosakkan hati, hempedu

KUALA LUMPUR: Pengambilan suntikan dan pil yang dikhaskan untuk wanita secara berlebihan oleh golongan mak nyah untuk menghasilkan kulit lembut, licin dan gebu sepanjang masa boleh menjejaskan kesihatan, merosakkan hati serta menyebabkan batu karang hempedu.

Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby berkata, masalah itu berkemungkinan berlaku jika pengambilannya dihentikan atau tidak dilakukan secara konsisten.


“Setahu saya, pil dan suntikan ini mampu bertahan sekurang-kurangnya seminggu dan selepas itu perlu diambil semula. Jika tidak diteruskan, kulit kembali seperti asal iaitu menjadi kasar serta tumbuh misai atau janggut.

“Jika diambil terlalu banyak pula boleh menyebabkan individu menjadi mual, loya dan muntah. Pengambilan pil ini turut menjejaskan kesihatan dan boleh merosakkan hati serta menyebabkan batu karang hempedu,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, keinginan menjadi perempuan sejati tidak menghalang mereka mendapatkan produk berkenaan meskipun harganya mahal iaitu kira-kira RM5,000 sebulan, selain perlu diambil sepanjang hayat bagi mengekalkan kecantikan kulit.


“Apabila terlalu obses pada kecantikan dan naluri perempuan yang menebal dalam diri, mereka sanggup lakukan apa saja meskipun berisiko tinggi. Demi mendapat apa yang diidamkan, wang bukan masalah besar.

“Bagaimanapun, pil dan suntikan yang diambil mestilah mendapat kelulusan doktor terlebih dulu dan ia tidak boleh diambil tanpa pengawasan kerana takut menjejaskan hormon dalam badan,” katanya.

No comments:

Post a Comment