Sunday, 22 January 2012

Mak nyah gugat rumah tangga

KUALA LUMPUR: Pertambahan mak nyah sejak kebelakangan ini bukan saja mengancam golongan bujang, malah turut mengganggu keharmonian institusi kekeluargaan, termasuk hubungan suami isteri.

Ini berikutan naluri perempuan yang menebal dalam diri menjadikan segelintir mak nyah tidak peduli dengan kecaman dan pandangan serong masyarakat, sebaliknya terus menjadikan lelaki tampan yang memiliki naluri sama sebagai sasaran untuk memenuhi kehendak nafsu songsang.


Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiyah Hassan berkata, naluri perempuan yang dipupuk sejak sekian lama membuatkan golongan lelaki lembut lebih cenderung terpikat sesama jantina.

“Kewujudan mereka secara tidak langsung boleh menggugat institusi perkahwinan. Disebabkan mereka lebih menyukai lelaki, tidak kira suami orang atau bujang akan diumpan menjadi teman jika perasaan suka membelenggu diri.


“Perlu diingat, golongan ini akan buat apa saja demi mendapat apa yang diimpikan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Beliau berkata, faktor persekitaran turut memainkan peranan seperti individu itu dilahirkan dalam adik-beradik yang ramai perempuan, di samping keinginan membuak-buak si ibu yang mahukan anak perempuan.

“Disebabkan terlalu mahukan anak perempuan, si ibu melayan anak lelakinya seperti anak perempuan. Contohnya memakaikan baju warna lembut seperti merah jambu, selalu ajar memasak, memakaikan bedak dan bersolek yang dianggap perkara biasa.


“Hakikatnya, perkara begitu akan membuatkan naluri lelaki luntur sedikit demi sedikit dan berubah kepada perempuan kerana sudah biasa dilayan dan diajar perkara yang menjadi fitrah wanita,” katanya.

Menurutnya, keinginan menjadi perempuan sememangnya susah diubah kepada fitrah asalnya, apatah lagi apabila kawannya daripada golongan sama.


Golongan ini juga terlalu taksub mahu menjadi wanita hingga sanggup menanggung risiko walaupun membahayakan diri sendiri dan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menjaga kulit dan kecantikan muka.


Justeru, katanya, tidak hairan ramai lelaki sejati sanggup meninggalkan isteri atau teman wanita kerana terpesona dengan layanan dan kelembutan mak nyah.


“Allah menjadikan manusia dengan dua kejadian iaitu lelaki dan perempuan. Allah mengharamkan hamba-Nya menukar jantina kecuali jika dilahirkan sebagai khunsa kerana mereka boleh memilih untuk menjadi lelaki mahupun sebaliknya mengikut kecenderungan.


“Apabila kita mengubah ciptaan Allah, bermakna kita tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Jika berlaku situasi seperti ini ibu bapa, rakan terdekat dan masyarakat turut mempunyai ‘saham’ selain diri sendiri.


“Mereka tidak boleh dibiarkan terasing, sebaliknya diberi sokongan dan dorongan supaya terbuka hati untuk berubah,” katanya.

No comments:

Post a Comment