Sunday 22 January 2012

Batu karang mudah serang lelaki

NAMA penyakit ini biasa didengar tetapi ramai yang masih tidak ambil endah mengenainya. Mungkin kerana ia tidak sekritikal penyakit jantung atau kanser yang diketahui umum boleh membawa maut.

Namun, batu karang jangan diambil mudah kerana ia boleh menjejaskan aktiviti seharian. Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan-akan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini merangkumi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.


Pembentukan batu biasanya bermula di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit berasa sakit yang teramat sangat.

Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Datuk Dr Ryan Ponnudurai berkata, penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita.


Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi, bagaimanapun warga emas dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.


“Batu karang terbentuk dalam buah pinggang. Di buah pinggang inilah berlakunya proses penapisan darah bagi menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan badan melalui air kencing dan najis.

“Daripada buah pinggang, air kencing dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter. Di sinilah air kencing disimpan sehingga dibuang daripada badan. Batu karang terbentuk apabila air kencing mengandungi banyak bahan, terutama kalsium, oksalat, asid urik dan sistein atau kekurangan bahan yang bertugas membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan mag- nesium,” katanya ketika ditemui di PCMC, Kuala Lumpur.


Kehadiran batu karang boleh menjadi petanda buah pinggang mula mengalami kerosakan. Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera supaya kerosakan buah pinggang dapat diperlahankan dan disusuli dengan penjagaan pemakanan serta mula bersenam bagi mengelakkan pembentukan berterusan batu karang.

Biasanya batu karang menyebabkan rasa yang sangat sakit pada bahagian tepi perut. Bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang. Ada juga pesakit batu karang yang tidak mengalami tanda dan masalah tetapi penyakit mereka dikesan secara tidak sengaja terutama apabila menjalani pemeriksaan kesihatan bagi tujuan lain.


Kajian sebelum ini menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah, antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria.


Banyak punca boleh menyebabkan pembentukan batu karang tetapi faktor utamanya ialah tabiat pemakanan dan kurang minum air. Batu karang biasanya terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu pekat.


Ini menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan mula membentuk kristal. Lama-kelamaan, kristal ini bergabung dan membentuk sebutir batu yang keras. Biasanya kes seperti ini memerlukan individu minum tiga liter air sehari.


Menurut Ryan, sesetengah orang biasanya mengalami penyakit batu karang hanya sekali, kemudian pulih dan penyakit batu karang itu tidak berulang lagi. Bagaimanapun dalam banyak kes, penyakit batu karang adalah penyakit berpanjangan seumur hidup.


“Penyakit batu karang biasanya jarang menimbulkan masalah ketika ia mula terjadi. Tetapi bila batu karang itu beralih atau bergerak dalam ginjal atau dalam saluran kencing, akan timbul rasa sakit yang amat sangat dan pendarahan kebiasaannya boleh berlaku sehingga batu itu dikeluarkan.


“Ada juga kes yang mana batu karang tersekat dan menyebabkan kesakitan dan akan membawa bahaya apabila kuman mula merebak. Jika ini berlaku, biasanya tanda-tanda seperti pedih ketika buang air kecil, rasa loya dan air kencing berbau busuk,” katanya.


Mengenai rawatan pula, ada secara moden mahupun tradisional.


Namun, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan segera kerana jika lewat boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah kematian seandainya ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah.

No comments:

Post a Comment