Senyuman Menarik
Pengenalan
Senyuman merupakan perkara pertama yang dilihat pada seseorang individu. Ia menggambarkan kesihatan dan personaliti empunya. Senyuman yang menarik dengan gigi yang bersih dan gusi yang sihat boleh menonjolkan keyakinan diri dan keterampilan anda.
Bagaimana Untuk Menjadikan Senyuman Lebih Menarik?
Gabungan rawatan pergigian kosmetik boleh meningkatkan penampilan gigi dan senyuman anda. Antara rawatan yang mungkin diperlukan termasuklah:
- Menyusunkan gigi supaya lebih teratur
- Memulihkan gigi yang patah atau terserpih
- Menggantikan gigi yang hilang
- Menutup ruang di antara gigi
- Membaiki senyuman yang menampakkan terlalu banyak bahagian gusi
- Mencerahkan warna gigi
Proses ini mungkin melibatkan gabungan porcelain veneers, tampalan sewarna gigi, korona,jejambat dan pemutihan gigi.
Bagaimana Proses Ini Dilakukan?
Sebelum rawatan kosmetik dimulakan, masalah kesihatan yang ada perlu di rawat terlebih dahulu untuk memastikan anda sihat untuk menjalani rawatan pergigian. Doktor pergigian akan memeriksa dan menentukan status kesihatan pergigian anda. Bagi rawatan kosmetik pergigian, anda dan doktor pergigian anda boleh berbincang untuk menentukan gaya senyuman baru yang dikehendaki.
- Apa yang anda inginkan pada senyuman anda?
- Apakah yang anda tidak suka tentang senyuman anda dan apakah yang mahu diubah?
Setelah gaya senyuman ditentukan, beberapa rawatan akan dijalankan. Anda akan diberikan senyuman 'baru' dengan tampalan sementara terlebih dahulu kerana bahan porcelain memerlukan dua hingga empat minggu untuk disiapkan. Seterusnya tampalan sementara akan ditanggalkan dan diganti bahan porcelain.
Komplikasi
Tiada komplikasi yang dikaitkan dengan rawatan ini selagi kebersihan mulut dijaga dengan baik.
Berapa Lama Proses Ini Dijalankan?
Tempoh rawatan bergantung kepada jenis rawatan yang dijalankan. Jika anda hanya memerlukan pemutihan gigi, maka proses rawatan hanya memerlukan satu jam sahaja. Tetapi untuk rawatan yang lebih kompleks, seperti porcelain veneers atau korona porcelain, anda perlu ke klinik pergigian untuk beberapa kali lawatan.
Harga Rawatan
Bayaran bergantung kepada pelan rawatan yang telah dipersetujui. Rawatan biasa sering kali melibatkan 10 batang gigi hadapan, dan veneer. Harga satu veneer biasanya di antara RM 280 ke RM 1500 bergantung kepada bayaran makmal, kepakaran dan lokasi klinik pergigian tersebut.
No comments:
Post a Comment